Pengenalan Tariqat Syathariah
PENGENALAN TARIQAT SYATTARIAH ANFASIAH
Bismillahir-Rahmanir-Rahim.
Alhamdulillahi-Rabbil a`lamin wabihi nastai`n wala haula walaa quwwata
illabillahil aliyyil adzim.Wasallallahu ala sayyidina Muhammadin
sayyidil-ambia`i wal mursalin wa a`laa ahli baitihi wazurriyyatihi wa
ashaabihi thoyyibin wal a`lal- musliminna wal muslimat wal mu`mininna
wal mu`minat. Amin ya Rabbal a`lamin.
Sumber
tariqat-tasauf adalah Al-Quran dan As-Sunnah ia dikembangkan oleh
perintisnya atas nama tariqat yang tertentu walau pun di zaman
Rasulullah SAW dan zaman para sahabat tidak dinyatakan dengan nama
tarikat tasawuf tertentu. Sama lah juga seperti ilmu fekah aliran imam
tertentu yang ternyata zahirnya nama-nama mazhab fekah Imam Syafie, Imam
Hanafi, Maliki dan Hambali dan lain-lain begitu juga ilmu akidah tauhid
aliran imam Abu As- Asya`ri atau pun mazhab Qadariah, Mu`tazilah dan
lain-lain itu tidak juga ada disebut pada zaman Rasulullah SAW dan zaman
para sahabat. Tetapi ianya diterima pakai [aliran imam-iman mazhab
fekah] dalam melaksanakan ibadat kepada Allah.
PENGENALAN RINGKAS TAREKAT-TAREKAT SUFISME DALAM ISLAM.
Asas Tareqat Syattariyyah telah dikaitkan oleh sejarawan bahawa
sanadnya adalah daripada Rasulullah SAW yang intipati peramalannya
dasarnya [akar amalan zikirillah] diturunkan melalui sahabat, sepupu dan
juga menantu kepada Baginda iaitu Sayyidina Ali Karramallahu wajhahu
yang kemudian diturunkan pula kepada anakanda baginda Sayyidina Hussein
Asy-Syahid r.a. dan seterusnyalah hingga kepada pengamal-pengamal
tariqat ini tali temali hingga ke hari ini yang dipimpin oleh para
Syeikh dan Khalifahnya daripada satu generasi ke satu generasi.
Nama
tarekat tertentu memang tidak wujud dan tidak disebut apabila melakukan
apa-apa peramalan wirid zikir dan doa dan lain-lain peramalan seperti
perilaku adab zohir dan batin seorang salik dalam bertariqat-tasawuf
pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat dan juga zaman salaf as-salih
sungguh pun perkara-perkara amal ibadah seperti dalam peramalan tareqat
itu ada diamalkan oleh mereka atau pun dalam tradisi Islam yang lebih
awal lagi daripada abad ke 8 Hijrah. Maka sebagai pengenalan kepada
organisasi tarekat-tarekat terentu dalam abad-abad perkembangan Islam
kemudiannya terutama dalam bidang kerohanian penganutnya maka hampir
semua aliran tarekat yang dikenali saat kemudiannya itu selalu
dinisbatkan kepada nama-nama para wali atau ulama mursyidin berabad-abad
setelah berlalunya zaman Rasulullah SAW.
Contohnya:
Tarekat Qadiriyah dinisbatkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani
(471-561H). Tarekat Syuhrawardiyyah dinisbatkan kepada Syeikh Syihab
al-Din Abu Hafsh al-Syuhrawardi (539-632H). Tarekat Rifaiyyah inisbatkan
kepada Syeikh Ahmad bin Ali Abu al-Abbas al-Rifa`iyyah (wafat 578H).
Tarekat Syadziliyyah dinisbatkan kepada Abu al-Hasan Ahmad bin
Abdullah-Syazili (593-656H). Tarekat Naqsabandiah dinisbatkan kepada
Syeikh Baha al-Din al-Naqsaband (717-791H) dan seterusnyalah begitu
banyak lagi tarekat muktabarah dalam perkembangan aliran tarekat sufisme
Islam hingga ada yang berpendapat sampai 40 aliran tarekat lebih yang
muktabarah keseluruhannya.
TAREQAT SYATTARIYYAH AN-NUFUSIAH
Demikian jugalah bagaimana terdirinya dan timbulnya nama Tarekat
Syattariyyah. Sebutan Syattariyyah dinisbatkan kepada Syeikh Abdullah
as-Syattari (W.890H/1485M). Seorang ulama Mursyidin yang ada talian
kekeluargaan dengan Syeikh Syihab al-Din Abu Hafsh Umar Suhrawardi yang
mempopularkan Tarekat Suhrawardiyyah daripada pamannya Diya al-Din Abu
Najib al-Suhrawardi (490-563H). Jika diselusuri lebih awal Tarekat
Syattariyyah ada keberkaitannya dengan tradisi Transoxiana (Asia Tengah)
kerana salasilahnya ada tali temali berhubungan sanadnya dengan Qutubul
Aulia Agong Syeikh Abu Yazid al-Bustami at-Thaifur (W.260H/873M) lalu
bersambungan lagi kepada Imam Jaafar as-Syadiq (W.146H/763M) kemudian
hingga kepada Imam Muhammad al-Baqir lalu bersambung kepada Imam Ali
Zainal Abidin dan seterusnya kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhahu
yang menerima langsung daripada Rasullah SAW Sayyidul ambia`i
wal-mursalin Sayyidina Muhammad SAW.
Tarekat
Syattariyyah tidak mengkatagorikan dirinya sebagai cabang
daripada mana-mana organisasi tarekat sufi yang lain. Ia adalah satu
tarekat yang tersendiri yang memiliki karekteristik-karekteristik
tersendiri dalam keyakinan dan praktiknya. Nisbah asy-Syattar adalah
berasal daripada perkataan Syatara ertinya membelah dua. Ada pun maksud
membelah dua ialah berkaitan dengan zikir akar tarekat ini iaitu kalimah
Laa ilaa ha illallah yang diamalkan sebagai zikir nafi dan ithbat.
Menurut
Syeikh Najmuddin al-Kubra istillah Syattar adalah bermaksud pencapaian
tingkat spiritual tertinggi seorang salik tarekat Syattariyyah yang
telah menempuh dua tingkatan terdahulu iaitu tingkatan orang akhyar
(orang terpilih) dan tingkatan orang abrar (orang terbaik). Ada pun
gelaran asy-Syattar itu dalam tarekat ini adalah para sufi yang telah
mampu (secara spiritualitas) meniadakan zat,sifat dan afaal dirinya
(pelenyapan ego dan raga diri) sendiri.
SEJARAH RINGKAS TAREKAT SYATTARIYYAH DI ALAM MELAYU-NUSANTARA.
Tarekat Syattariyyah di alam Melayu-Nusantara bermula di Acheh yang
bergelar Serambi Mekah. Pengembang terawal tarekat ini ialah seorang
ulama Mursyidin yang ulong iaitu Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri
al-Singkili (1024-1105H/1615-1690M). Beliau seorang tokoh ulama
tarekat-tasawuf dan fekah terbilang yang menjawat jawatan Mufti Besar
Kerajaan Acheh. Beliau telah menerima `Selendang Putih` [sebagai
pertanda bahawa beliau telah dilantik sebagai khalifat Mursyid dalam
orde tarekat Syattariyyah] daripada dua gurunya seorang ulama Madinah
Munawwarah iaitu Syeikh Ibrahim al-Kurani dari Turki (1616-1689M) dan
Syeikh Ahmad al-Qusyasyi seorang ulama daripada Palestina (W.1661).
Daripada Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri inilah tarekat Syattariyyah
berkembang pesat bersama-sama penyebaran agama Islam oleh murid-murid
beliau yang tersebar ramai di semua pelusuk Alam Melayu-Nusantara.
Antara
murid-murid beliau yang aktif dan masyhor sebagai pengembang Tarekat
Syattariyyah ialah seperti Syeikh Burhanuddin Ulakan (W.1111H/1691M)
daripada negeri Minangkabau, Sumatera Barat. Syeikh Abdul Muhyi
Pamijahan (Tasikmalaya) di Jawa Barat. Tetapi ada sajarawan berpendapat
perkembangan Tarekat Syattariyyah di Ceribon dan Banten berhubungan
langsung dengan Syeikhnya yang tinggal di Mekah. Misalnya antara
pengembang tarekat yang ternama itu ialah seperti P.S. Sulediningrat
yang dikatakan dari keturunan Syarif Hidayatullah (Sunan-Gunung Jati).
Begitu juga seorang lagi pengembang Tarikat Syattariyyah yang masyhor di
Tanah Jawa ialah Mbah Muqayyim pendiri Pasentren Buntet yang terkenal
di Cirebon.
Tarekat
Syattariyyah berkembang di Sulawesi Selatan di bawah pimpinan seorang
Syeikh Mursyid terkenal iaitu murid langsung kepada Syeikh Ibrahim
al-Kurani iaitu Syeikh Yusuf Tajul-khalawti al-Mangkassari (1629-1699M).
Dan seorang lagi pemuka Tarekat Syattariyyah di Nusantara-Melayu yang
tidak boleh dilupakan ialah murid kepada Syeikh Wajihuddin (Murid kepada
Syeikh Muhammad Gausth dari Gwalior-India) iaitu Syeikh Muhammad bin
Fadhlullah al-Bunhanpuri (W.1620) penulis kitab yang sangat masyhor
terutama di kalangan ahli Tarekat Syattariyyah di Nusantara Melayu iaitu
kitab 'Tuhfah-al-Mursalat ila Ruh an-Nabi'.
Di
Tanah Melayu pengembang Tarekat Syattariyyah yang berpengaruh ialah
yang masyhor sebagai `Keramat Tok Pulau Manis` iaitulah Syeikh Abdul
Malik bin Abdillah yang menjadi mertua dan penasihat (Mufti) kepada
Sultan Zainal Abidin 1, Sultan Terengganu. Kata setengah sajarawan
beliaulah penterjemah pertama ke dalam bahasa Melayu kitab HIKAM Syeikh
Athoillah al-Askandari. Beliau mengajar ilmu Tarekat dan Tasawuf di
Ribathnya di Pulau Manis yang mana ramai penuntut-penuntut dari segala
penjuru negeri rantau alam Melayu datang belajar dengan beliau. Syeikh
Abdul Malik adalah murid kepada Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri beliau
adalah seangkatan dengan murid Syeikh Abdul Rauf yang awal seperti
Syeikh Burhanuddin Ulakan-Minangkabau.
Perkembangan
agama Islam bersama penyebaran Tarekat Syattariyyah di Tanah Melayu dan
Fatani (Wilayah Thailand sekarang) adalah lebih pesat melalui murid-murid
Syeikh Muhammad As`ad Thohir. Antara yang terkenal ialah tiga orang
murid beliau yang masyhor iaitu Syeikh Daud Abdullah Al-Fatani, Syeikh
Abdul Rahim dan Syeikh Haji Asha`ari. Jaluran sanad (salasilah)
pengamalan Tarekat Syattariyyah Syeikh Muhammad As`ad Thohir adalah
sampai kepada Syeikh Ibrahim Al-Kurani. Beliau adalah seguru dengan
Syeikh Abdul Rauf Ali Al-Fansuri Al-Singkili iaitu mereka adalah murid
kepada Syeikh Ahmad Al-Qusyasyi. Seterusnya pula daripada Syeikh Ahmad
Al-Qusyasyi bertali temali hingga kepada pemuka tarekat ini iaitu Syeikh
Abdullah Asy-Syattari dan bertali pula sanadnya hingga kepada akar umbi
Tarekat Syattariyyah sampai kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhahu
dan baginda menerima talqin zikirnya daripada Sayyidina Muhaammad
Rasullullah SAW.
MENYELUSURI LEMBAH SEJARAH BANGKITNYA TAREKAT SYATTARIYYAH.
Tarekat Syattariyyah pada awalnya terkenal dengan nama
Tarekat `Iskiyyah di Iran atau Tarekat Bistamiyyah di Turki Uthmani. Ia
cukup popular pula di India apabila dibawah teraju Syeikh Abdullah
Asy-Syattari yang bersama pengembangan tarekat ini membawa misi
melakukan gerakkan perkembangan Islam melalui dakwahnya di kalangan
Non-Muslim di benua India. Sebagai sebuah gerakkan expansi keagamaan
Tarekat Syattariyyah lebih fukus kepada perjuangan meningkatkan nilai
moral dan spiritual melalui berbagai episod ajaran Islam yang terpaksa
pula berhadapan dengan berbagai tentangan dan halangan dengan tradisi
dan ritual setempat yang banyak dan kuat dipengaruhi tradisi
Hindu-Budha. Oleh itu beliau dengan bijak bersikap akomodatif tetapi
mesti tidak boleh bercanggah dengan Syariat dan Tauhid Ketuhanan Islam
dalam menarik perhatian Non-Muslim untuk memeluk ajaran Islam secara
sukarela.
Syeikh
Abdullah Asy-Syattari menetap di Mandu sebuah desa di bahagian tengah
India di situ beliau telah mendirikan sebuah pusat Khanqah
[Pasentren-Zawiah-Pengajian pondok dan Ribath] yang pertama bagi
memimpin para murid (salik) pengamal Tarekat Syattariyyah. Beliau telah
menulis sebuah kitab yang masyhur di kalangan pengikut Tarekat ini iaitu
kitab Lataif-al-Ghaibiyyah. Pendedahan isi kitab ini yang utamanya
ialah berkaitan perinsip-perinsip dasar mengenai Tarekat Syattariyyah
dan kaedah pengamalannya bagi mempercepatkan seorang murid mencapai
tingkat tertinggi makrifatullah. Dan itu lah yang di maksudkan
Asy-Syattar (cepat sampai ke puncak makrifat) pada nama tarekat pimpinan
beliau ini.
Selepas
beliau seorang tokoh pemimpin dan pengembang Tarekat Syattariyyah yang
didapati sangat berjasa ialah Syeikh Buddhan-gelarannya ialah Syeikh
Baha al Din ialah pengamal dan pengembang Tarekat Syattariyyah di
bahagian Utara India beliau menghasilkan sebuah kitab yang berkaitan
dengan selok-belok Tarekat Syattariyyah berjudul Risalah Syattariyyah.
Tetapi diantara begitu ramai para syeikh Tarekat Syattariyyah dari
awalnya yang paling banyak dan berhasil memaparkan doktrin ajaran
Tarekat Syattariyyah ialah Syeikh Muhammad Gauts. Beliau menulis
sejumlah kitab yang berisi pokok pengajaran Tarekat Syattariyyah
antaranya ialah kitab Jawahir al-Khamsah, Kilid Makhzan, Dama`ir Basayir
dan Kanz al-Tahid. Tetapi kitab yang popularnya menjadi teks bagi murid
ialah Jawahir al-Khamsah yang mana ianya di saat kemudian digunakan
oleh pengembang Tarekat Syattariyyah yang masyhor iaitu Sayyed
Sibghatullah bin Ruhullah(1606) dari Haramayn yang aktif mengajar di
Masjid An-Nabawi Madinah Munawwarah dan juga di Ribath beliau sendiri.
Sebuah
lagi kitab utama pengajaran selok belok Tarekat Syattariyyah yang
dikarang oleh syeikh Muhammad Ghauths ialah kitab BAHR AL-HAYAT. Kitab
Bahr-al Hayat adalah kitab yang mendalam mengenai bagaimana jasad
manusia sebagai alam soghir atau dunia kecil (mikrokosmos) dan
hubungannya dengan alam al-Kabir atau dunia besar (makrokosmos).
Perhubungan ini dapat direalisasikan dengan kaedah-kaedah tertentu atau
kaifiat tertentu mengikut kaedah pengamalan pelajaran Tarekat ini.
Melalui latihan-latihan tertentu sesaorang salikin diharap dapat
mencapai kesatuan antara tubuh lahir dan jiwa yang bersifat batin kepada
insan dengan Rohul-Al Adzim.
Wallahu A'lam.
Tiada ulasan