Header Ads

Pencak Silat Tongkat Melayu

SENI SILAT TONGKAT MELAYU

Alhamdulillahi Rabbil `alamin wabihi nasta`in wala haulawala quwwata illa billahil`aliyyil adzhim. Wasolallahu `ala sayyidina Muhammadin sayyidi Syaafi`in wa`ala aalihi wasohbihi ajmain ila yaumiddin. Amin Ya Rabbal `alamin.

Seni silat tongkat Melayu adalah salah satu teknik persilatan bersenjata dalam seni beladiri Melayu Nusantara yang sangat berkesan dan amat digeruni lawan yang bersenjata lebih pendek daripadanya seperti pisau, golok, badik, sewar, kerambit, rencong, keris, kujang, parang, lawi ayam, tekpi, pedang, lading, kelewang, parang panjang, kayu selengan dan sebagainya lagi kerana pukulannya yang boleh menjatuhkan senjata lawan, mematahkan tulang belulang, serta memecahkan dan meremukan tubuh di bahagian yang terkena pukulan serta pendarahan dalaman yang boleh membawa maut dengan sebab pukulannya itu andaikata sampai ajal yang telah ditakdirkan Allah s.w.t. Sasaran utama serangan tongkat ialah pada 13 bahagian utama (bahagian yang lemah terhadap serangan tongkat) pada tubuh lawan.

Seseorang yang pakar dalam Seni Silat Tongkat Melayu iaitu yang  mahir dalam teknik dan tektiknya insyaAllah boleh menewaskan lawan yang bersenjata atau tidak bersenjata dalam tempur jarak sedepa atau dalam jarak selengan atau jarak sehasta atau pun lebih hampir lagi daripada itu dengan menggunakan pukulan, sedokan, hentakan atau tumbukan hujung dengan dua putingnya, dan bedalan dengan batangnya kecualilah lawannya yang menggunakan senjata lain itu arif juga dengan teknik dan tektik silat tongkat Melayu dan ia pula lebih mahir lebih cekap dan cepat dalam gerak persilatannya.

Ukuran yang terbaik senjata seni tongkat Melayu asli ialah panjangnya diukor dari ibu kaki seseorang hingga separas sudu hati dadanya iaitulah ukoran sederhana panjang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek sebagaimana yang dikehendaki pada sikap seorang muslim sejati itu bersifat atau bertindak `Sederhana dalam segala hal`. Manakala ukuran lilitan (besarnya) tongkat  yang elok ialah segenggam kemas di tangan kanan dan kiri seseorang pendekar seni silat tongkat iaitu dari 3 hingga 4 inci besarnya.

Senjata tongkat dalam seni silat tongkat Melayu biasanya diperbuat dari kayu yang keras dan liat yang payah pecah atau tidak mudah patah. Sama ada digunakan dalam latihan atau pun sebagai senjata simpanan. Ada juga yang menyimpan sebagai senjata tongkat menggunakan kayu teras gemunggal yang di percayai dapat melemahkan musuh berilmu kebal badan. Ada juga yang menggunakan kayu teras kelo yang dianggap dapat menewaskan lawan berilmu hitam. Ada juga yang membuat senjata tongkatnya dari kayu penunduk gajah sebagai berkhasiat penunduk lawan dan juga membuat tongkatnya dari kayu kemuning dan kemuning hitam dan sebagainya lagi.

Sejarah penggunaan tongkat yang paling hebat sebagai senjata keramat atau mukjizat agong ialah penggunaan tongkat oleh Nabi Musa a.s. menentang kezaliman firaun iaitu menentang sihir ahli-ahli sihir Firaun dan penggunaan tongkat mukjizat baginda itu bagi membelah Laut Merah menjadikan laluan sebanyak 12 lorong untuk pengikut-pengikut baginda lalui menuju ka Semenanjung Sinai dari tanah Mesir.

Memang dalam sejarah nabi nabi dan para wali kebanyakan mereka memakai tongkat kerana melambangkan merendah diri kepada Allah s.w.t dan bergantung penuh kepadaNya. Sabatang tongkat bererti bergantung kuat dan harap kepada Allah yang Maha Esa seperti Firman Allah SWT:

قل هو الله احد. الله الصمد. لم يلد.ولم يولد. ولم يكن له كفوا احد
Ertinya: "Katakanlah! Dia adalah Tuhan Allah Yang Maha Esa. Allah adalah tempat bergantung. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan sebagai anak. Dan tidak sesuatu pun yang ada persamaannya dengan Dia."
                                              (Al Quran: Al-Ikhlas ayat 1-4)

Dalam syariat Islam memakai tongkat adalah suatu sunnah kerana disuruh oleh Rasulullah s.a.w. kepada siapa yang telah mencapai usia 40 tahun. Ia sebagai lambang merendah diri dan pergantungan diri kepada Allah Yang Maha Esa di samping sebagai sokongan terhadap diri fizikal yang sudah semakin lemah.

SUKATAN PELAJARAN TONGKAT GERAK SEJATI

1. ASAS TONGKAT
Belajar cara memegang tongkat yang betul dan cara memusingkan tongkat kiri kanan tubuh yang betul (tujuan mengelirukan lawan semasa akan menyerang atau menanti serangan)

2. BERGERAK BERSAMA TONGKAT.
a. Bergerak dengan kaedah kelek kiri kelek kanan (ertinya sangga kiri sangga kanan)
b. Bergerak dengan tebeng atas (sangga atas) pukulan puting bawah dan atas dan bedalan batangnya
c. Bergerak dengan hentakkan ke bawah dan cedukan ke atas dua putingnya dan bedalan batangnya.
d. Bergerak dengan tumbukan dua puting dan pukulan dua putingnya dan bedalan batangnya.
e. Bergerak dengan pacakkan tongkat dan lompatan berpaksikan tongkat
f. Gerakan pusingan tongkat empat penjuru alam diri.

3. PUKULAN DENGAN TAPAK TIGA
Latihan pukulan tapak tiga ini bertujuan memahirkan pergerakan kaki dan pergerakan tangan yang memegang tongkat dan membuat berbagai teknik pukulan pada suatu objek samada pukulan dengan teknik bedalan, pukulan puting atau cedukan atau tumbukan dengan penggiliran kedua hujong tongkat pendek kata mencakupi semua pelajaran terdahulu.

4. Pelajaran mematahkan penggunaan SEMUA SENJATA SENJATA PENDEK yang lain sama ada pendekar tongkat yang diserang atau tongkat yang menyerang lawannya.

5. PELAJARAN SERANGAN DAN BELAAN TONGKAT SESAMA TONGKAT.

6. RAHSIA SERANGAN TONGKAT.
Menggunakan semua kaedah dalam pelajaran 1.2.3 tersebut di atas. Tudingan serangan ialah kepada 13 kawasan bahaya bagi serangan tongkat.

Langkah Lela Hormat dari Seni Silat Tongkat Melayu - Perguruan Seni Silat Gerak Sejati Pancar Murni Malaysia

Kami amat menghormati sebarang kelainan pendapat daripada perguruan Silat Melayu Nusantara yang lain atau perseorangan yang lain yang arif mengenai Seni Silat Tongkat Melayu Asli. Jika ada perbezaan pendapat kami dengan tuan ia menjadi suatu penggayaan ilmu. Jika ada pebezaan jurus dan pukulan ia menzahirkan keindahan dalam arena persilatan Melayu kita.

Tiap yang handal ada yang lebih handal
Tiap yang gagah ada yang lebih gagah
Tiap yang perkasa ada yang lebih perkasa
Tiap yang pandai ada yang lebih pandai
Tiap yang kaya ada yang lebih kaya
Tiap yang mulia ada yang lebih mulia
Demikianlah seterusnya berkaitan kata...

Justeru itu, Janganlah kita mengagongkan sampai teruja walaupun `Siapa Saja Manusia` hingga seperti melupakan pula Maha KuasaNya Allah, Tuhan kita menyebabkan terkena dosa `Syirik` dan dimurkai ALLAH s.w.t. Hanyalah Allah yang berhak menerima segala pujaan pengagongan dan puji-pujian. Innallaha`ala kullisya`in qadir. Lahaula wala quwwata`illa billahil`aliyyil `adhzim. Ya Allah ya salam hidupkanlah kami dengan keimanan dan Islam, matikanlah juga kami dengan iman dan Islam. Rabbana aatinaa fiddunia hasanah wafil aakhirati hasanah waqinaa azaaban nar. Wasallallahu`ala sayyidina Muhammadin sayyidi syaafi`in wa`ala aalihi wasohbihi ajmain. Amin Ya Rabbal`alamin.

Selamat belajar selamat sejahtera semuga semuanya berjaya.

`Kesempurnaan belajar ialah dengan berguru`.

Sumbangsih
Al-FAKIR ILA RAHMATILLAH.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.