Header Ads

Seni Silat Kuntau Monyet (Siamang)

SENI SILAT KUNTAU MONYET

(Suatu catatan kata-kata guru di gelanggang latihan)
Assalamualaikum selamat sejahtera semua
. Dengan membaca artikel ringkas ini saudara-saudari yang di hormati mungkin mendapat sedikit faedah daripadanya terutama para pesilat semua. Insya-Allah.

Malam itu Guru ada mengatakan mengenai falsafah psikologi tempur Seni Silat Kuntau Monyet. Kata beliau, Falsafah Tempur ini adalah sesuai diguna pakai oleh pesilat Seni Silat Kuntau Monyet saja tetapi mungkin ianya juga berguna menjadi pedoman para pesilat jenis lain juga yang belum ada pemikiran mengenai teknik psikologi tempur jika terpaksa menghadapi cabaran-cabaran yang tidak terduga. Mempelajari ilmu silat adalah silap [berdosa] kalau berniat mencari gaduh semata atau kerana mahu mengganggu kehidupan orang lain atau bertujuan melakukan kejahatan atau jenayah tetapi ianya menjadi perkara yang sunat sekiranya berniat untuk mempetahankan diri sanak famili, jiran, rakan dan sahabat atau seseorang yang teranianya daripada kejahatan orang yang berniat jahat. Guru berkata lagi:

1. `Sekiranya seseorang pesilat itu tidak biasa dengan latihan yang  keras ia akan berasa was-was dan teragak-agak sewaktu bertempur [pergaduhan sebenar]. Sekiranya pendekar-pendekar itu tidak menerima latihan yang secukupanya ia akan kecut perut apabila berhadapan dengan pehak lawannya`.

2. Semua pergaduhan atau pertempuran adalah didasarkan kepada helah untuk mendapat kemenangan atau menewaskan lawan. Oleh yang demikian itu:

3. Tatkala berupaya, buat-buatlah tidak berdaya. Apabila dalam keadaan gagah dan cergas berlagak bagaikan tidak bermaya. Apabila lawan cuba mendekat buatlah seolah olah anda berada jauh daripadanya. Apabila jauh dengan lawan buatlah seolah-olah jaraknya satu lompatan sahaja.

4. Apabila lawan menumpukan sepenuh perhatian, bersiap sedialah untuk menentangnya, bilamana ia ternyata gagah dan kuat cari akal elakkan dari menentangnya cara berhadap-hadapan. Panaskan hatinya dan kelirukan fikirannya.

5. Seandainya lawan mu itu seorang yang bersifat panas baran, Ia berwatak tidak tegas, gugatkanlah kewibawaannya dengan berlaku lemah lembut terhadapnya. Kau akan menang melalui cara diplomasi sahaja. Jika musuhmu itu seorang yang bingal dan mudah naik angin, sakitkan perasaannya dan buatlah kerenah supaya dia naik berang, supaya ia rasa tidak senang duduk dan keliru dan tanpa apa -apa perancangan yang teliti akan menerpa dan tampa berfikir panjang akan menyerang kamu. Bersikaplah seperti tidak berdaya dan galakkan perasaan angkuhnya dan seranglah dia ketika lalainya itu. Jika ia seorang yang betul-betul kuat letakkan dia dalam situasi tertekan dan lelahkan dia. Serang dia ketika mana ia tidak bersedia. Pukul dengan hebat dan padu mengikut kemampuan kamu yang maksima ketika ia tidak menduga kehebatan pukulan kamu.

6. Ingat apa yang paling penting dalam pergaduhan atau pertempuran ialah kecepatan yang luar biasa, kamu jangan sekali-kali melepaskan peluang keemasan kamu seperti kata pepatah: `Apabila petir berdentum, tiada masa lagi untuk memekup telinga`. Ketika berlawan jangan sekali-kali kamu bayangkan kekalahan kamu kerana di sana akan berlaku perkiraan jiwa bawah sedar kamu merubah kamu menjadi lemah dan kalah. Bayangkan dan jazamkan bahawa kamu akan menang dengan kekuatan yang dikurniakan dan barakah daripada Tuhan.

7. Kemenangan adalah matlamat utama di dalam pergaduhan mempertahankan diri. Sekiranya kamu melengah-lengahkan peluang, persia-siakan tenaga, dan semangatmu luntur kemungkinan kamu akan tewas. Naikkan semangat waja kamu patahkan kekuatan lawan binasakan alat serangannya [anggota badan]. Andaikata kamu tidak setanding dengannya, maka buat sementara waktu cuba elakkan saja terhadap serangan-serangan awalnya dalam pada itu carilah kesempatan daripada bahagian yang menjadi kelemahannya. Kemudian bingkaslah dan capaikan kejayaan dengan pukulan pukulan padu dan tepat pada sasarannya bersama semangat yang kental... InsyaAllah berjaya.

Hidung
umbi telinga
dagu
tulang selangka
alat sulit

Falsafah tempur ini hanya pendapat peribadi seorang guru. Tidak semestinya tepat pada fikiran dan pendapat seorang guru lain dan kepada jenis silat yang lain. justeru ianya boleh dipakai atau boleh ditolak sahaja.

Wabillahi taufiq walhidaayah. Wallahu `alam. wassalam.

Catatan:
Untuk penyesuaian pembacaan  lihat geraksejati video dalam video youtube.com yang bertajuk Seni Gerakan Siamang.


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.