Header Ads

Pengertian Seni Silat, Pencak Silat Dan Gayong Silat

SIMPOSIUM RINGKAS - PENGERTIAN SENI SILAT, PENCAK, BERGAYONG

 Alhamdulillahi rabbil aalamiin wabihi nasta`inn. walaa haula walaa quwwata illaa billahil `aliyyil `adhziim. Wasallallaahu alaa  sayyidina Muhammadin wa`alaa aalihi wasahbihi ajmain.

Assalamualaikum wrt. Selamat sejatera. Semoga semua pembaca laman dalam sihat wal`afiat berkat peramalan ilmu persilatan Melayu Islam yang berlandaskan syariat Islam yang syumul dan keimanan yang benar serta bertauhid yang kukuh terhadap Allah SWT Tuhan penguasa sekelian alam. Amin.

Seni silat Melayu Nusantara mempunyai lima aspek persilatan sebagai satu kesatuan. Berdasarkan lima aspek tersebut dapat dibezakan dalam lima kategori ilmu persilatan Melayu Nusantara (Ini tidak termasuk silat olahraga sebagai silat sukan) iaitu:

1. Silat seni dan seni pencak (Seni tari-jurus-buah)
2. Seni silat beladiri (Silat tempur tanpa bunga seni)
3. Seni silat kebatinan (Pencak silat Pengendalian diri)
4. Seni silat jurus tenaga dalam (Pukulan jarak jauh)
5. Seni silat tenaga dalam (Berdasarkan kesaktian)

Maksud seni pencak silat gayong ialah apabila pergerakan seseorang itu yang mengandungi unsur-unsur lembut dan keras cepat atau pun perlahan dan beserta pergerakannya itu mengandungi tarian dan jurus serta buah pukulan dalam makna menyerang atau beladiri. Jelasnya setiap pergerakan seni pencak silat ialah membawa erti maknawinya dan setiap pergerakan itu bagaikan bercakap dengan cara gaya yang tersendiri dan yang penuh ARTISTIK dan ESTATIK.

Pengertian yang lebih lanjut SENI membawa erti ‘Yang Hidup’ manakala PENCAK SILAT pula ialah gerakan berstruktur. Bila dicantumkan ia memberi penjelasan ‘YANG HIDUP DALAM PERGERAKAN BERSTRUKTUR (Tersusun)'.

Bagi sesetengah orang, makna SENI dianggap tari atau bunga kerana ia cantik dan mempunyai langkah atau PERGERAKAN YANG TIDAK MATI, manakala SILAT (dari perkataan: silap menyilap iaitu gerakan tipu helah dalam gerakan bela diri) pula bererti pergerakan bercampur tarian dalam sesuatu pola tari berseni yang mengelirukan terhadap lawan.

Andaikata bertukar kepada gaya berlawan (gelut) tanpa bunga tari tetapi hanya menggunakan pencak iaitu gerakan pola-pola jurusan beserta buah-buah pukulannya sahaja maka nama khasnya ialah PENCAK GAYONG atau PEGAYONGAN atau GERAK PERTEMPURAN atau pun GERAK PERGELUTAN iaitu gerakan dalam jurus beserta dengan buah-buah pukulan menewaskan musuh atau gerakan pencak berserta buah pukulan dalam pergerakan SERANGAN atau BELADIRI.

SENI adalah satu konsep perbuatan yang sangat luas maksudnya serta sangat subjektif. Manakala SILAT ialah perkara yang jelas nampak (silap menyilap yang mengandungi gerak tari, jurus dan buah pukulan atau beladiri). Oleh itu SENI dan SILAT bagaikan ROH dengan JASAD. Oleh yang demikian, kedua-dua istilah itu bermakna melahirkan seorang pendekar yang mahir dalam pergerakannya yang berstruktur dalam membela diri atau menyerang lawannya.

Andaikata sesuatu aliran silat tidak mempunyai gerak tari dan struktur gerak yang tersusun (tidak mempunyai pola jurus khas) iaitu ia hanya mempunyai teknik pukulan dan buahnya saja dan gerakan serangan dan beladirinya hanya bergerak lurus sama ada ke depan atau ke belakang atau berpusing gaya bebas ke jurus kiri atau ke kanan ke hadapan atau ke belakang membuat serangan atau belaannya maka ia adalah jenis silat gayoman tunggal yang mempunyai seni buah pukulan dan seni buah belaan dalam gerak jurus yang lurus dan bebas yang tidak berstruktur seperti jurus-jurus yang dicipta dalam silat bunga seni atau pencak silat Melayu lain. Namun ia adalah tetap tergolong dalam seni silat Melayu yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Dalam silat ada seni tari dan pola jurus. Dalam seni tari dan pola jurus ada buah pukulan. Keterangan yang lebih lanjut lagi perkataan SILAT pada umumnya ialah satu teknik pergerakan berstruktur bersama BUNGA-BUNGA TARIAN DALAM MAKNA MENYERANG DAN BELADIRI. Manakala perkataan GAYONG atau pola GERAKAN JURUS SERANGAN DAN BELAAN yang mengandungi BERBAGAI TEKNIK atau pun MUSLIHAT BUAH PUKULAN yang boleh membinasakan pihak lawannya pula. Itulah yang dimaksudkan BUAH PERSILATAN YANG SEBENAR. Buahnya yang sebenar biasanya mengandungi HIKMAT-HIKMAT KESAKTIAN MENAKJUBKAN dan KEPANTASAN YANG LUAR BIASA serta KEPINTARAN MENGELIRUKAN PIHAK LAWAN yang terkandung di dalam tari dan gerak jurus atau pola gayangan yang pantas. Oleh itu kesimpulan pada keseluruhannya maksud Ilmu persilatan atau pun disebut juga Ilmu pergayongan (Ilmu bergayong) yang ringkas tetapi mengandungi makna keseluruhan seperti yang dihuraikan di atas ialah suatu kaedah ilmu berkelahi atau ilmu berperang jarak dekat Masyarakat Melayu Nusantara.

Dengan itu nama setiap perguruan Seni Silat Melayu Nusantara yang asli sering nama dipangkalnya di sebut SENI SILAT GAYONG... (nama)... sebelum meletakkan nama silat perguruannya. Namun tidak semestinya diletakkan perkataan GAYONG itu walaupun gerak jurus (pola pencak) gayong itu memang ada dalam tiap-tiap aliran persilatan asli Melayu Nusantara. Jika sesuatu pergerakan persilatan yang hanya menjurus kepada bunga-bunga tarian atau permainan silat dipenuhi dengan keindahan bunga tari dan bermain pukulan buah silap menyilap dengan waspada, estatik dan bersopan dan beradab terhadap lawan di sesebuah majlis keramaian maka acara persilatan itu dinamakan bersilat seni atau Bergayong Seni kerana persembahannya merupakan satu set gerak langkah kombinasi gerak tari berseni dalam jurus dan buah beladiri yang diperluaskan dan diperindahkan dengan keterampilan irama dan lagu serunai dan gendang. Aspek persilatan begini akan membentuk tarian dan juga jurus berserta ketepatan pukulan buah aliran persilatan masing-masing dan juga corak kedudukan dan pergerakan tubuh pesilat seperti tegak, sederhana rendah atau merendah tubuh, kedudukan sendeng atau mendada berserta langkahan-langkahannya, berkuda-kuda kaki, gerakan bunga tangkisan dengan tangan dan tangkisan dengan kaki sebagai pernyataan kepada gerakan menyerang atau menunjukkan teknik pintasan terhadap sesuatu tektik serangan lawan. Aspek-aspek dan falsafah persilatan begini selalunya dipertontonkan kepada umum sebagai hiburan kependekaran kepada masyarakat di dalam majlis-majlis keraian tertentu dalam masyarakat Melayu-Nusantara yang mementingkan sopan santun dalam bersilatur-rahim.

TEKNIK DAN FALSAFAH Seni Silat Melayu Asli Sejati (Gerak Sejati, Malaysia) boleh disimpulkan kepada kata kunci ini:

Dalam gerak ada tari dalam tari ada pencak
Dalam pencak ada buah
Dalam buah ada isi dalam isi ada sakti

Mati tari kerana tumbuk
Mati tumbuk kerana buah
Mati buah kerana cepat
Mati cepat kerana rasa
Mati rasa kerana cahaya
Mati cahaya kepada
Allahu nuurussama waatiwal ardh
Wahuwa ala kullisyain qadir

Wallahu~alam!

Sementara mendapat ilmu persilatan yang lebih baik, mungkin daripada yang ada pada kami, cubalah baca pantun perguruan ini;

JIKA TUAN PERGI KELADANG
JANGAN LUPA MEMETIK LADA
JIKA USIA MASIH PANJANG
JUMPALAH GURU SEMASA ADA

Jika mengambil suluh di siang hari
Tiadakan pudar cahaya mentari
Jika bersuluh di kelam malam
Takdir ternampak sebutir bintang
Sudah boleh dibuat perintis jalan…

Wallahu a`lam.

Oleh:
Haji Wan Ismail Wan Embong
Seminar Seni Silat Warisan Melayu
Mahmudiah, Kuala Berang, Terengganu

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.