Header Ads

Seni Silat Seri Rama (Serama)

ASAL USUL SENI SILAT SERI RAMA  ( SILAT SERAMA ASLI )

Bismillaahir - Rahmani - Rahim. Assalaamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Selamat sejahtera kepada pembaca semua.

Ada pendapat mengatakan bahawa Seni Silat Seri Rama apabila diteliti daripada kaedah bunga tarinya [Simbolik kepada kaedah serang-bela] adalah mengambil ilham daripada bentuk tarian patung Seri Rama dalam pertunjukan wayang kulit. Namun begitu ada beberapa perguruan Silat Melayu yang mengatakan nama silatnya juga Silat Seri Rama atau pun mengaitkan nama silatnya dengan nama Pahlawan Seri Rama misalnya Silat Harimau Seri Rama dan lain lain perguruan lagi tidak pula mengatakan tarian silatnya mengambil ilham dari bentuk tarian patung wayang kulit cerita Seri Rama. Oleh itu, jika ada suatu hipotesis telah dibuat mengenai asal usul nama Seni Silat Seri Rama yang mengaitkannya dengan Nama Seri Rama kerana mengikut ilham gerakan dan bentuk tarian patung Seri Rama dalam pertunjukkan wayang kulit tersebut bolehlah diterima atau pun boleh juga ditolak.

Menurut cerita yang didapati daripada catatan buku buku tulisan tangan [manuskrip lama] mengenai negeri Terengganu dan juga melalui cerita-cerita lisan ada menyatakan bahawa di masa pemerintahan Bendahara Padang saujana Johor (Tun Habib Abdul Majid (1688-1697M) menjadi sultan bergelar Sultan Abdul Jalil III) ada seorang pahlawan di Johor-Riau yang berjasa bernama Wan Abdul Rahman (panggilan biasa Wan Derahman). Ia banyak membuat kebaktian dan berjasa kepada rajanya  (Tun Habib - pengganti Sultan Mahmud mangkat di julang) dan negeri. Bagi mengenangkan jasa-jasanya, beliau telah diangkat tarafnya daripada setingkat demi setingkat. Pada mulanya beliau dilantik menjadi Ketua Juak Raja, kemudian dikurniakan gelaran Panglima Muda selepas itu pula digelarkan `Megat Seri Rama` [Beliau ini bukan Laksamana Bentan terdahulu yang nama gelarannya juga Megat Seri Rama yang membunuh Sultan Mahmud Mangkat di julang].

Kehebatan Ilmu peperangan dan persilatan Megat Seri Rama dalam pertempuran penaklukan negeri negeri sekitar Selat Melaka bersama bala tentera Johor-Riau dan para pengikutnya itu berkemungkinan besar adalah ilmu warisan daripada kemahiran ilmu persilatan dan peperangan yang beliau pelajari daripada para pewaris pahlawan Melayu Melaka yang berundur ke Johor (1511M) dan yang seringkali membuat serangan balas terhadap Portugis untuk mengambil semula Melaka dari tangan Peringgi dan mulai tahun 1641M untuk mengambil semula Melaka dari tangan penjajah Belanda melalui kerja sama  dengan para pahlawan angkatan angkatan  tentera laut Acheh.

Setelah Megat Seri Rama berjaya menakluk Pulau Tujuh dan menewaskan Linggi ia diberi gelaran `Laksamana`. Kemudian beliau dapat menewaskan negeri Jambi lalu digelar `Paduka Raja` iaitu satu gelaran Diraja kerajaan Melayu tradisi sebelum diangkat kepada pangkat pegawai kerajaan yang paling tinggi iaitu `Bendahara Paduka Raja`. Setelah demikian berjaya dalam kerjaya kesatriaannya timbullah angkara hasad dengki dari teman sejawatnya [Tun Pikrama, Seri Amar wangsa, Seri Akar Diraja, Raja Mahkota dan lain-lain lagi] untuk berlomba meraih pangkat dalam istana lalu berlakulah fitnah yang menyatakan beliau telah bermukah dengan dengan saorang gundik Sultan Abdul Jalil IV.

Adu domba dan jarum fitnah itu telah berjaya mempengaruhi fikiran Sultannya lalu baginda sangat murka terhadap Paduka Raja Laksamana Megat Seri Rama Wan Abdul Rahman. Maka dengan nasihat pembesar-pembesar yang dengki baginda membuat satu rancangan membunuh Paduka Raja dengan mengadakan temasya lawatan ke pulau-pulau jajahan takluk dengan diiringi oleh para pegawai dan tentera yang ramai termasuklah Paduka Raja Laksamana Megat Seri Rama. Apabila sampai di lautan Riau, Sultan memerintah beberapa orang panglima pengiring baginda menembak dengan meriam perahu Paduka Raja dan terus mengejarnya untuk ditangkap.

Pada mulanya Paduka Raja yang ditembak tanpa mengetahui sebab maka cuba hendak melawan tetapi meriam yang berada dalam kapalnya yang bergelar `Seri Jamlor` [Seri Johor] ketika diguna untuk menembak balas ke bahtera Raja pelurunya keluar hanya sejauh enam  hasta saja dan mulut meriamnya pun putus (pecah) ini mungkin kerana berlaku kegopohan dek kerana keliru kenapa Rajanya menyerang beliau dan orangnya. Beliau pula merasakan itu suatu alamat bahawa beliau rakyat Melayu tidak boleh derhaka kepada Rajanya. Lalu beliau mengambil keputusan berundur diri bersama anak buahnya dengan lima buah kapal perang lalu dikejar oleh 20 buah kapal perang Raja bertiang layar besar dua dan 13 buah perahu besar bertiang  layar besar satu serta 43 buah perahu perahu perang (April 1688M, Rujuk tarikh: Buku Sejarah Darul Iman, ms 101).

Pasukan Paduka Raja Megat Seri Rama terus berundur. Beliau dengan dengan kapalnya bernama `Kota Beredar` menuju ke Pahang. Berlaku peperangan di Pulau Bayan dengan pihak Sultan iaitu Datuk Bendahara Johor yang dibantu oleh orang orang Laut pula. Pihak Sultan telah dapat menawan dua buah kapal pengikut Paduka Raja. Pasukan Paduka Raja Megat Seri Rama [termasuklah anaknya yang bergelar Laksamana, Temenggong dan Seri Nara Diraja, Seri Perdana Menteri, Seri Bija Diraja] terus berundur ke Terengganu tetapi tidak sempat masuk ke kuala Terengganu kerana dikejar angkatan Sultan di belakangnya lalu beliau belayar menuju ke arah barat dan berlaku suatu pertempuran hebat di `Pulau Batu Rakit di Lautan Terengganu` [kemungkinan di hadapan Pulau Redang dan Pulau Pinang - pulau indah tempat bemain hidupan laut sekarang]. Perang sungguh hebat berlaku [5 Ogos 1688M] daripada petangnya hingga esok hari. Paduka Raja Megat Seri Rama berjuang habis-habisan dengan segala kekuatan yang ada kepadanya menentang lawan yang cukup ramai itu. Kekuatan serangan lawan dan terlalu ramai  menyebabkan anak lelakinya [Laksamana dan Temenggong] terpaksa undur ke Pahang dalam masa berkecamuk perang itu.

Paduka Raja  Laksamana Megat Seri Rama terus berundur ke arah barat lagi lalu beliau singgah mendarat di Pantai Bari Setiu [sebuah Pantai peranginan sekarang ini] kata setengah cerita lisan di pantai Penarik [nama Penarik itu ialah mengambil sempena apabila perahu-perahu perang itu disadai di pantai kemudian ditarik naik ke darat] Manakala Tun Zainal Abidin  iaitu adinda kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1697M mengganti Sultan Abdul Jalil III, Bendahara Padang Saujana Johor) kemudiannya yang bersama dalam angkatan Paduka Raja itu terus dibawa ke Fatani oleh Wan Abdullah (anak kepada Paduka Raja) yang menjadi abang angkat kepada Tun Zainal Abidin yang amat di kasihi baginda. Masa itu usia baginda Tun Zainal Abidin antara 9-11 tahun, ada juga kata antara 15 ke 20 tahun. Kemudian menjadi anak angkat Raja Fatani, Nang Chayang [Pra Nang Chau Yeng = Baginda Raja Perempuan].

Dipanjangkan sedikit kisah Tun Zainal Abidin:
Sebagai anak angkat kepada Paduka Raja Laksamana Megat Seri Rama dan menjadi adik beradik angkat kepada anak-anak Paduka Raja iaitu yang bergelar Laksamana dan Temenggong dan juga pendekar Wan Abdullah itu [Keluarga pahlawan lagi pendekar] adalah mungkin sekali Tun Zainal Abidin juga telah belajar  ilmu-ilmu persilatan dari ayah angkat baginda itu. Sebab ada cerita mengatakan sejenis silat hulubalang adalah pakaian ilmu beladiri pengawal sekitar kota Batang Mahang dan di Kota Langgar [Ulu Terengganu sekarang]. Apakah nama ilmu persilatan para hulubalang pengawal di Kota Batang Mahang ini?

Setelah Bendahara Padang saujana [Sultan Abdul Jalil III] mangkat 5 ogos 1697M. Pembahagian kuasa Empire Johor-Riau berlaku:

1. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil memerintah Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.
2. Tun Abdul jamal memerintah Pahang bergelar Bendahara Tun Abdul Jamal.
3. Tun Mahmud Indera Bongsu memerintah Daik menjadi Yam Tuan Muda. Tetapi Tun Zainal Abidin tidak mendapat bahagian dalam pembahagian pemerintahan anak-anak Sultan Abdul Jalil tersebut. Dengan pengaruh Raja Fatani, Tun Zainal diberikan memerintah Terengganu oleh kekandanya Sultan Abdul Jalil IV.

Mengikut Raja Haji Ali dalam buku Tuhfatun Nafisnya (ahli sejarah Bugis ) mengatakan di bawah kehendak Sultan Sulaiman Badrul Alam Shahlah (Yang dipertuan besar Negeri Johor, Pahang, Riau dan jajahan takluknya mulai 1726-176o iaitu Anak saudara Tun Zainal Abidin) Tun Zainal Abidin dilantik menjadi Sultan Terengganu yang pertama. Sebenarnya raja-raja yang memerintah Terengganu sebelum Sultan keturunan Bendahara Padang Saujana Tun Habib Abdul Majid ini adalah terputus-putus semenjak zaman penulisan Batu Bersurat Terengganu [1303 Masihi] zaman pemerintahan Seri Paduka Tuan atau Raja Mandalika yang memerintah sekelian raja-raja daerah, mengistiharkan bahawa Islam menjadi agama rasmi negeri ini dan menganutinya `Maka titah Seri Paduka Tuhan menduduki tamra ini di Benua Terengganu...` (Rujuk: Sejarah Darul Iman ms.29 dan 33)

Apakah nama atau jenis ilmu persilatan Melayu Zaman Raja Mandalika Seri Paduka Tuhan (Tuan) di benua Trengganu ini?

Petikan dari buku Sejarah Darul Iman:
`Setelah selesai urusan mengenai sempadan negeri, maka berangkatlah Zainal Abidin ke Terangganu bersama-sama dengan puteranya yang bernama Tuan Raja Senik dan pengiringnya  [dari Fatani-p] dikatakan seramai lebih kurang 80 kelamin melalui Kelantan. Ketibaan itu disambut oleh orang-orang besar Terengganu, di antaranya Tun Zain Indera, Tuk Raja Kilat bergelar (Sultan Sulaiman) dan Tun Lamat atau Tuan Buana yang menjadi bendahara atau Temenggung Kuala Berang dan Tun Ismail (Raja Tersat)'.

Pada saat yang baik, Zainal Abidin pun ditabalkan menjadi Raja Negeri Terengganu bertempat di Tanjung Baharu, berkota Batang Mahang [Jauhnya dari Kuala Berang 8 km]. Di Tanjung Baharu, baginda beristerikan seorang wanita daerah dan memperolehi seorang putera bernama Engku Tanang Wangsa. Tidak berapa lama bersemayam di situ hingga buruk Kota Batang Mahang baginda berpindah hilir ke Langgar [Hilir Kuala Berang 4.83km]. Semasa di Langgar baginda berkebun nyiur pinang dan beristerikan cucu Datu Wan Ismail serta memperolehi seorang putera bernama Tengku Mansur (Ku Tanang Mansur) dan seorang puteri bernama Maha Dewi. Kemudian berpindah ke Pulau Manis. Di Pulau Manis baginda beristerikan anak perempuan Datuk Pulau Manis [Syeikh Abdul Malik bin Abdullah, beristerikan anak perempuan Tuk Raja Sawa Lila yang datang dari Johor] seorang alim lagi dianggap keramat. Antara beberapa lama, baginda berpindah ke Chabang Tiga. Akhirnya, baginda memilih tempat persemayamamnya di sebelah matahari naik Bukit Keledang yang sekarang di kenali dengan nama `Kota Lama`.

Kembali fokus kepada kisah Paduka Raja Laksamana Megat Seri Rama:
Paduka Raja Laksamana Megat Seri Rama telah kehilangan ramai pengikutnya sama ada mati dalam pertempuran atau pun berundur untuk menyelamatkan diri masing-masing. Dari penarik atau pantai Bari Paduka Raja telah naik ke darat berjalan kaki hingga ke Padang Permaisuri [sebuah kampung lebih kurang 7km dari pantai Penarik]. Para hulubalang  Sultan  Abdul Jalil yang mengejar beliau telah menawan kapal Paduka Raja `Kota Beredar` di Penarik atau pun di Pantai Bari [5 km dari penarik] lalu dibawa balik ke Kuala Terengganu kemudian dibawa masuk ke Seberang Takir bersetentangan dengan bandar Kuala Terengganu [Teluk warisan - tempat acara pertandingan perahu layar, Monsun Cup Terengganu Sekarang ini] dan dirampasnyalah segala senjata dan barang-barang berharga di dalamnya oleh orang angkatan Sultan Abdul Jalil IV itu.

Dalam masa menjadi Laksamana Johor-Riau dan semasa perang saudara ini dan juga semasa mendarat mencari perlindungan di daerah Setiu, Paduka Raja tentulah pada hemat kita beliau ada mengajar ilmu persilatannya kepada anak buah dan para pengikutnya serta orang tempatan di Setiu atau Besut atau pun orang-0rang dari Kelantan untuk memperkuatkan semula para pengikutnya [Setiu daerah yang lebih kurang 40 km sahaja dari Pasir Putih negeri Kelantan]. Maka anak buah dan pengikut serta murid-muridnya yang berselerak selepas kematian beliau nanti tentulah mengajar atau menurunkan pula ilmu pesilatan Datuk Paduka Raja Megat Seri Rama ini dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Haruslah atas dasar mengingati pahlawan yang hebat ini maka aliran silat warisan daripada beliau diberi nama SILAT SERI RAMA mengambil sempena gelaran beliau itu tetapi dengan dibuangkan gelaran `Megat` bagi menserasikan pula dengan kemasyhoran kepewiraan Wira epik Ramayana dalam cerita wayang kulit Cerita Seri Rama yang amat suka dilihat dan di dengar oleh masyarakat Melayu traditional sebagai alat hiburan utama pada zaman lampau itu.

Satelah lama berlindung di Setiu, pada suatu ketika seorang pembesar [Penguasa] Terengganu bernama Tun Lahat telah mengerah segala pendekar dan hulubalang untuk mencari Paduka Raja di daerah Setiu. Dengan tipu helah [tanpa pertempuran] Paduka Raja dapat di bawa balik ke Kuala Terengganu bersama-sama dengan To` Batinnya [Nakhoda juragan kapalnya] dan juga para gegelangnya [pengikut atau anak perahunya]. Ketika rombongan ini dalam perjalanan menuju Kuala Terengganu tiba-tiba datanglah perintah sulit dari pesuruh Sultan Abdul Jalil supaya dibunuhkan Paduka Raja dan pengikut-pengikut yang berserta beliau [pemerintahan Terengganu masa itu di bawah takluk Empire Johor-Riau]. Apabila tiba di satu tanjung semua juak Paduka Raja dibunuh tanpa memberi peluang mempertahankan diri. Tempat pembunuhan itu terkenal hingga sekarang dengan nama `Tanjung Gegelang` yang terletak tidak jauh dari kampung Mengabang Teliput, mukim Batu Rakit sekarang. Perjalanan diteruskan apabila sampai di kawasan sebelum Seberang Takir sekarang, dibunuh pula To` Batinnya [Hingga sekarang tempat pembunuhan itu terkenal dengan nama kampung `Telaga Batin` [Hampir dengan kawasan komplek Lapangan Sultan Mahmud sekarang] sebagai mengenang peristiwa zalim berdarah itu dan memperingati nama gelaran `Batin` tersebut. Apabila sampai di kawasan Seberang Takir iaitu kawasan yang berhampiran terletaknya Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, Kuala Terengganu sekarang tidak jauh daripada kawasan Teluk Muara Takir dibunuh pula Datuk Paduka Megat Seri Rama. Beliau tidak Melawan mungkin kerana beberapa sebab, pertama merasa telah ditipu secara licik sekali oleh Tun Lahat. Kedua para pengikut setianya telah habis dibunuh dengan zalim. Ketiga kerana mengenangkan perintah secara langsung oleh Sultannya melalui pesuruhnya yang resmi maka ia merasakan `sumpah setia lama Melayu` [Sosial kontrak antara Raja dan rakyat]  yang Melayu pantang sekali-kali menderhaka kepada rajanya adalah `suatu tindakan rasional` dan dipandang tindakan saorang satria bangsa. Namun sosial kontrak inilah telah dipergunakan oleh Inggeris (mulai 1874M) pula bagi mempengaruhi Sultan-Sultan rakyat Melayu menyekat kebangkitan para pahlawannya untuk menentang  atau menghalau para penjajah barat. Pada hal unsur pusaka warisan sosial kontrak antara Raja dengan rakyat Melayu ini [Bermula zaman Demang Lebar Daun di Bukit Si Guntang Maha Meru] inilah membolehkan Raja-Raja Melayu menyatukan segala umat Melayu di bawah satu kesatuan ketaatan bangsanya bagi membela dan meninggikan darjat agama Islam, kedaulatan bangsa dan negaranya supaya menjadi cukup teguh bersatu dan kuat perkasa cemerlang serta menjadi bangsa hebat yang terbilang dengan semangat kesatriaannya.

Note: Tempat pembunuhan Datuk Paduka Raja Megat Seri Rama ini dinamakan `Teluk Datuk` Pada suatu masa dahulu pusara beliau sering diziarahi orang mungkin juga para murid dan pengikut beliau yang lari dan yang tidak terbunuh atau pun juga orang-orang awam yang tahu kerana beliau di anggap orang suci [Mulia] sebab beliau dibunuh dengan tidak ada dosa terhadap rajanya dan hanyalah teranianya oleh suatu fitnah yang berat terhadap dirinya oleh para pembesar istana Sultan Abdul Jalil IV yang hasad dengki terhadap kejayaan dalam karier beliau sebagai pahlawan ternama yang bakal menjadi Datuk Bendahara Empire Johor-Riau. Wallahu a`lam.

Sekian. Wassalam.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.