Header Ads

Pencak Silat Jurus Alam Bunian

 

Jurus Pencak Silat Makhluk Bunian

(Memperkatakan mengenai suatu penerokaan ke alam makhluk ghaib yang tidak nampak di mata kasar sebagai suatu pengetahuan tambahan alam persilatan)

 Bismillahir rahmaanir rahiim. Segala pujian hanyalah tertentu untuk Allah SWT yang maha mencipta alam nyata (syahadah) dan alam ghaib. Cucuran rahmat senantiasa ke atas Nabi muhammad s.a.w. galian bagi segala rahsia. ke atas keluarga, sahabat-sahabat serta para pengikut baginda yang berbahagia hingga hari kemudian. Amiin.

Sesungguhnya alam ciptaan Ilaahi terlalu banyak. Tetapi dapat kita himpunkan kepada dua jenis utama berdasarkan pandangan mata kasar yang dikurniakan Allah iaitu alam nyata dan alam tidak nyata [ghaib dari pandangan mata kasar]. Oleh itu alam ghaib bukan bermakna tiada. Ia ada. Ia alam wujud yang diciptakan Tuhan dalam bentuk jisim yang lebih halus daripada alam syahadah seperti alam malaikat alam jin dan syaitan iblis, alam barzakh dan sebagainya lagi.

Untuk tembus pandang seseorang akan alam ghaib ini ia boleh melihatnya melalui mata ketiganya atau mata kebatinannya. Walaupun begitu jika makhluk alam ghaib ini ingin menunjukkan diri mereka kepada manusia melalui pandangan zahir mata manusia memang dapati iaitu melalui `kimia penjelmaan` berbentuk jisim kasar. Begitu juga roh seseorang yang telah mati terkadang boleh dilihat seseorang hidup dengan mata kasarnya melalui proses yang sangat misteri yang tidak terfikirkan oleh akal bagaimana. Hanya Allah sajalah yang maha mengetahui. Sebagai suatu contoh: Pada suatu masa ada seorang guru silat yang di negeri Terengganu - pernah ingin menuntut ilmu lipat bumi {berada di suatu tempat di penjuru bumi ke suatu penjuru bumi yang lain hanya dengan sekelip mata (iaitu sebagaimana kehebatan sayyidina Asif bin Barkhia dapat memindahkan istana Balqis dari Sana`a ke Palestine zaman nabi Sulaiman AS, hanya dengan sekelip mata sahaja) daripada keramat [wali Allah]  Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). 

Pada suatu malam jumaat kira-kira pukul tiga yang gelap gelita si guru menuju makam syeikh keramat tersebut. Sebelum sampai kawasan perkuburan ia telah pun terserempak dengan Tok Pulau Manis dengan beratus-ratus orang mengikutinya di belakang beliau. Lalu Tok Pulau Manis menyapa nama sang Guru dan bertanya apakan tujuannya. Sang Guru menjawab bahawa kedatangannya semata-mata mahu menemuai Tok Pulau Manis. Oleh itu, lalu Tuan Syeikh mengajaknya dengan kata `Marilah ikut`. Lalu sang Guru mengikutnya dengan kedudukannya paling terkebelakang  dalam barisan pengikut arwah Tuan syeikh. Setelah agak lama berjalan sampailah ke satu kawasan `Ruang yang amat cerah`. Tuan syeikh telah memasuki ruang cahaya itu diikuti oleh pengikut-pengikut beliau seorang demi seorang dan yang terakhir adalah sang Guru. Tetapi apabila habis sahaja pengikut Syeikh yang terakhir memasuki ruang cahaya itu, ruang cahaya (lubang) menjadi ghaib dan suasana menjadi gelap gelita semula. Tinggallah  sang guru berkeseorangan di dalam kubah makam kuburan keramat Tok Pulau Manis. Peristiwa pertemuan serupa ini di alami sebanyak dua kali oleh sang Guru. Tetapi yang peliknya setiapkali sang Guru berjumpa dengan Tuan Syeikh, ia menjadi terlupa untuk menyatakan tujuan sebenarnya ingin mempelajari ilmu `berjalan lipat bumi` dari tuan Syeikh Abdul Malik. Semasa hayatnya Tuan Syeikh Tok Pulau manis memang memiliki ilmu itu dengan  kebolehan beliau berjalan lipat bumi, iaitulah salah satu keramat yang dimiliki beliau semasa menuntut di Mekah al Mukarramah di mana dikatakan beliau dapat kembali ke Terengganu (Malaysia) dalam sekelip mata dari Mekah [Arabia] pada satu  malam iaitu kerana mengambil buah durian untuk ditunjukkan kepada guru beliau di Mekah sebagai suatu bukti kebenaran percakapan beliau. Disabitkan peristiwa itulah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) pengarang kitab Hikam Melayu [Hikmah Ketuhanan dan Tasauf] yang masyhor itu dianggap seorang wali Allah yang mulia {dikurniai karomah}.

Satu peristiwa lain ada seorang rakan penulis pernah beberapa kali melakukan tafakur di satu kawasan di atas puncak Gunung Setebu [Terengganu]. Dalam masa tafakurnya beliau pernah beberapa kali didatangi oleh dua golongan bunian {golongan makhluk jin yang lebih banyak unsur angin daripada unsur api} golongan yang satu adalah golongan Islam yang datang menegur rakan penulis dengan memberi salam serta nama rajanya serta pengiring-pengiringnya pun bersamaan dengan nama Islam. Manakala satu golongan lagi [jin kafir] datang dengan tidak memberi salam tetapi hanya memerhati sahaja. Warna tubuh mereka hitam tidak cerah bercahaya seperti tubuh golongan petama tadi. Hal ini membuktikan makhluk alam ghaib boleh menunjukkan diri mereka secara fizikal kepada manusia jika mereka mahu. Namun begitu melalui `will power` dan ketajaman mata batin manusia boleh juga melihat atau meneroka alam makhluk ghaib ini setakat diizinkan Allah.

Dalam masyarakat makhluk ghaib [makhluk berjisim halus] seperti masyarakat Bunian kehidupan sosial mereka samalah seperti manusia iaitu mempunyai raja dan negeri serta rakyat. Mereka beristeri dan beranak. Mempunyai tentera dan pendekar persilatan, mereka juga berperang seperti manusia kerana merebut kawasan negeri, takhta, harta, wanita dan sebagainya lagi. Kekuatan ketenteraan secara tradisi dalam pertempuran golongan bunian mereka juga menggunakan ilmu persilatan sepertimana manusia  tradisi. Melalui pengesanan kebatinan terhadap kumpulan Bunian Bukit Jugra Selangor di bawah pimpinan dan pendekar utamanya Ali Syaifullah @ Ali Zainal Abidin ilmu persilatan mereka hebat dan mempunyai sebelas jurus utamanya iaitu:

1. Jurus tari serampan dua mata
2. Jurus tarian pedang
3. Jurus gerak kilat menyembar
4. Jurus bunga lawang
5. Jurus tongkat lima-satu
6. Jurus pukulan berantai
7. Jurus tumbukan gerak kuda kepang
8. Jurus gerak penumbuk kipas sakti
9. Jurus panah lalang berbunga padi
10. Jurus intai-intain
11. Jurus gerak ular menyusur akar

Di negeri Terengganu ada sebuah bukit di Daerah Setiu terletak di antara bandar Permaisuri Setiu dengan bandar Jertih Besut. Di Bukit Bintang (Kawasan kampong Bintang-Besut) ini dalam alam Bunian ia adalah sebuah negeri besar bunian di bawah taklukan seorang Sultan bernama Sultan Ahmad. Para hulubalang Sultan Ahmad mempunyai sembilan jurus jurus persilatan yang hebat juga iaitu seperti tersebut ini:

1. Jurus tumbuk lesong
2. Jurus pukulan bangau putih
3. Jurus lompatan kucing hutan
4. Jurus larian puyuh
5. Jurus pukulan paku
6. Jurus Helang menyambar
7. Jurus panah dewa<
8. Jurus Menyonsong angin
9. Jurus layang-layang putus tali

Mengikut pendapat orang-orang yang pakar alam ghaib ini seseorang yang kuat `Will Power`nya boleh menggunakan jurus persilatan alam bunian Islam ini untuk maksud perobatan bagi menentang gangguan makhluk yang ghaib dan jahat terhadap sesaorang anak Adam. Sebab penyakit yang disebabkan gangguan makhluk ghaib yang jahat bukanlah sesuai diobati dengan berbagai ubatan-ubatan dari farmasi atau kedoktoran modern.

Wallahu`alam.


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.