Header Ads

Seni Silat Bunga Pencak Cekak Pongok

SOROTAN RINGKAS SILAT BUNGA CEKAK PONGOK

Silat Bunga Seni Cekak Pongok adalah seni silat Melayu asli yang jarang didedahkan permainannya kepada khalayak umum hingga kini. Ia masih terpelihara sebagai suatu khazanah budaya bangsa yang amat bernilai sekali. Siapakah pelupor atau pendekar cipta mulanya? Masih belum benar-benar terjawab dengan tepatnya.

Bismillaahi rahmaani rahiim. Alhamdulillahi rabbil `aalamin. Wassolaatu wassallam `ala sayyidinaa Muhammadin wa`alaa aalihi wasohbihi ajma`inAssalamu`alaikum dan selamat sejahtera semua.

Silat Bunga Seni Cekak Pongok adalah salah satu aliran persilatan Melayu yang sejati  asli. Silat pusaka warisan Melayu ini sekarang hampir pupus ditelan zaman oleh kerana ianya tidak dikembangkan atau sengaja dirahsiakan oleh para pewarisnya selama ini sehingga ramai daripada peminat-peminat seni mempertahankan diri Melayu asli sendiri tidak pernah mendengar nama Silat Bunga Seni Cekak Pongok ini dewasa ini. Zaman sekarang  ini silat yang paling ramai ahlinya mungkin difikirkan oleh khalayak umum sebagai silat yang terhebat tapi pada zaman tradisi aliran jenis silat yang dirahsiakan daripada umum dan tidak ramai ahlinyalah yang dianggap lebih hebat. Sebabnya di zaman tradisi dahulu bukan senang mencari aliran silat yang dimaksudkan demikian, terkadang seseorang pencari terpaksa merentas lautan atau mendaki bukit bukau dan gunung ganang untuk mendapat pimpinan dan tunjuk ajar seorang guru yang benar-benar hebat dan yang berjaya mendapatnya hanyalah penuntut berhati cekal dan waja sahaja. Hari ini bukan murid yang mencari guru tetapi pihak perguruanlah biasannya yang berusaha mencari dan menambah keramaian ahli-ahlinya dengan berbagai cara terutama apabila ilmu beladiri sudah menjadi semacam `alat commercial` terutama di bandar bandar besar dalam negara  malah merebak ke seluruh dunia di samping bertujuan memperkenalkan dan menghidupkan budaya bangsa atau kononnya sesetengah berkata untuk menjadi benteng kedua pertahanan dan kedaulatan negara. Walau apa sekali pun pandangan yang diberi apabila merujuk kepada maksud  untuk pengkayaan  dan pengekalan khazanah ilmu persilatan Melayu asli dalam masyarakat dan negara, pihak PSSGSM merasakan perlu mengenengahkannya dalam laman ini sebagai suatu pengetahuan kepada masyarakat tentang sejenis aliran persilatan Melayu Asli yang hampir pupus ini kerana ia adalah juga suatu warisan pusaka budaya bangsa Melayu  yang sungguh bernilai yang tidak patut diabaikan.

Silat Bunga Seni Cekak Pongok bukanlah `Seni Silat Cekak Malaysia` atau `Seni Silat Cekak Hanafi` yang umum telah mengetahui pelopornya ialah Allahyarham Ustaz Hanafi Hj.Ahmad. Tetapi Silat Bunga Seni Cekak Pongok aliran dalam Gerak Sejati ini tidak diketahui siapakah pendekar pencipta mulanya. Pada suatu masa dahulu ia popular di beberapa daerah dalam negeri Terngganu - Malaysia iaitu daerah Dungun, daerah Marang dan daerah Kuala Terengganu. Kalau tidak salah pendengaran penulis pernah guru tua Seni Silat Belebat Lian iaitu Arwah Ayahda Hj. Jusoh Manir memberitahu bahawa Silat Pongok juga salah satu aliran yang diajar oleh Arwah Tengku Jaafar Dungun selain dari silat Belebat Lian. Wallahu`alam. Hingga kini kami tidak dapat mengesan di mana ada lain perguruan yang mengajar aliran Silat Bunga Seni Cekak Pongok ini yang mungkin juga masih ada di mana-mana tempat lain di Malaysia atau Nusantara ini.

Silat Bunga Seni Cekak pongok adalah salah satu seni gerak beladiri Melayu asli yang mempunyai pergerakan jurus dan bunga tari yang bermaknawi (serang-bela) sepertimana seni silat Melayu yang lain juga. Agak berbeza sedikit dengan kebanyakan seni silat Melayu yang lain (jenis tari) kerana dalam gerak tarinya berpaksikan gerak jurus yang bersilang pada empat pedahat saperti tanda campur dalam ilmu matematik (+). Kerana dalam seni silat tari Melayu yang lain biasanya tariannya bergerak dalam jurus empat pedahat atau belengkuk pada bulatan empat penjuru gelanggang. Pergerakan silat ini juga dalam kedudukan kaki yang senantiasa berkekuda [Rendah] dengan gerakan bunga tarinya yang `Tidak kembang` iaitu `Bunga kuncup dan bersilang `[kedudukan kedua sikunya pula selalu melindungi dua rusuknya-`kepit rusuk`-`tidak buka`]. Hal tarian begini nampaknya kontra dengan jenis-jenis silat bunga tari Melayu yang selalunya `Buka` atau memberi ruang (umpanan) untuk musoh menyerang sapertimana Silat Seri Rama, Silat Langkahan Laksamana, Silat Helang Melayang atau Silat Emas Sepuloh atau pun juga Silat Habib Hamid yang popular dengan kaedah bukanya dan lain-lain jenis Seni Silat Bunga Melayu. Fenomena yang nyata teknik gerakan tari kedua tangannya selalu dalam gerakan  bersilang dan jari jemarinya selalu dalam keadaan terbuka (tidak berkepalan penumbuk) keadaannya seperti selalu bersedia untuk membuat tangkapan (cekak) dan terus membuat kuncian terhadap serangan-serangan lawan. Walaubagaimana pun teknik yang popular dalam seni beladiri silat ini ialah menggunakan kaedah `mengelak atau terus mara` bila diserang sambil makan iaitu memukul dan menangkap mengunci anggota lawannya serta membuat jatuhan terhadap lawan. Serangannya pula melalui beberapa kaedah seperti pelbagai teknik tumbukan, paras, tikam, tetak dan pancung berserta teknik tendangan kaki secara lurus, sendeng, layang dan tajian belakang. Satu lagi falasafah tekniknya ia tidak akan membuat serangan atau pukulan atau juga tidak membuat belaan selagi tidak pasti dalam jangkaannya tepat sampai senjatanya atau pukulannya ke badan lawan.

Ada pendapat mengatakan asal nama pongok itu sebenarnya ialah `pongoh` yakni merbahaya dan bengkeng serta `berani bertarung`. Tetapi ada pendapat yang agak lebih lembut iaitu yang mengatakan `silat pongok` itu adalah mengambil sempena nama sejenis burung tempatan yang boleh tunjuk diajar untuk menjaga dan mengawal sawah ladang dan rumah tangga iaitu `Burung Pungguk`. Bahasa kampungan ada menggelar burung pungguk ini `Burung Hantu` kerana bunyi suaranya terkadang ada yang menggerunkan atau menakutkan iaitu bunyinya seperti `orang menyiat kain kafan untuk bungkus mayat`. Masyarakat Melayu tradisional ada juga mempercayai suatu pertanda atau alamat jika terdengar burung hantu ini bunyi suaranya seperti menyiat kain kafan tersebut pada `waktu malam gelap` itu bererti suatu pentanda `seorang daripada anggota  masyarakat kampungnya itu akan menemui ajal`. Burung pungguk memang `famous` dalam masyarakat Melayu kerana `suaranya yang sayup merawan ketika waktu malam bulan bercahaya` kerana ia juga menjadi lambang kepada seseorang  teruna dara yang sedang asyik dalam percintaan atau sedang merindui kekasihnya yang berada jauh dimata lalu mengelamunlah ia dalam `percintaannya` sebagaimana terdapatnya suatu perumpamaan dalam masyarakat Melayu mengatakan `Bagaikan Pungguk merindukan bulan`. Jadi pendapat bahawa silat pongok ini berasal dari karektor burung pongok mungkin benar kerana banyak daripada Seni Silat Melayu Asli  falsafah teknik gerakan beladirinya adalah mengambil ilham dari sumber alam keliling saperti angin, air, halilintar, petir dan banyak juga mengambil ilham dari pergerakan-pergerakan pertarungan binatang saperti tedung, harimau, singa, siamang, mentadak, garuda, bangau, helang dan lain-lain lagi termasuklah burung `pungguk` yang diisyaratkan ini. Tetapi Seni Silat Bunga Seni Cekak Pongok bukanlah `silat cinta` yang mana si pencinta itu asyik berkhayal saja saperti kata perumpamaan Melayu `Pungguk merindukan bulan` itu tetapi  Silat Bunga Seni Cekak Pongok adalah sejenis silat Melayu asli yang tidak berdasarkan khayalan tetapi kenyataan  iaitu boleh diharapkan untuk beladiri daripada sebarang serangan jarak dekat  dalam pertarungan. Melalui ilham terhadap seekor pungguk maka falsafah silat bunga cekak pongok ialah `membela pelihara hak dengan penuh semangat kesatriaan dan keberanian serta  menggentarkan musuh-musuh durjana, semoga hidup aman tenteram dengan penuh kasih sayang`. Wallaahu a`lam.

Ada lima unsur gerakan yang dapat kita fikirkan asal nama Silat Bunga Seni Cekak Pongok ini mengambil ilham dari nama burung pungguk. 

Pertama apabila diperhatikan pada gerak tarinya yang `Tidak Buka` pada ruang rusuk dan bahagian dadanya maka ini adalah ilham dari kedudukan sayap pungguk yang selalu membungkus bahagian rusuk dan dadanya. 

Perkara kedua kita dapati semasa ia menari dan bergerak dalam jurusnya itu kepala pesilat selalu bergerak berpusing ke kiri ke kanan seperti mengintai gerakan lawan sebagaimana gerakan kepala burung pungguk yang selalu bepusing ke kiri ke kanan mengintai menilik kedudukan mangsanya. 

Perkara yang ketiga kita dapati pergerakan kaki pesilat selalu dalam keadaan berkuda-kuda [rendah-berumah] sebagaimana kedudukan burung pungguk yang selalunya bertenggek dengan berkuda-kuda. 

Keempat gerakan menangkap (cekak) lawan agak pantas sebagaimana pantasnya burung pungguk menyambar mangsanya dan,

Perkara kelima walau pun pada ketika mengintai mangsa atau mengintai gerakan lawannya itu ia kelihatan tenang saja tapi penglihatannya tajam dan tangkapan yang dibuat selalunya tepat. Wallahu a`lam.

Untuk melengkapkan artikel ini bagi peminat-peminat semua jenis seni silat Melayu asli boleh melawat videonya channel Youtube GerakSejati.

Wassalam.


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.