Header Ads

Pencak Silat Tekpi Melayu

SENI SILAT TEKPI MELAYU

الحمد لله رب العا لمين والعاقبة للمتقين والصلاة واسلام على رسوله الكريم محمد وعلى اله واصحابه اجمعين
Seni Silat Tekpi Silat Melayu Asli Sejati adalah antara beberapa kaedah seni beladiri bersenjata Seni Silat Melayu dari rumpun Nusantara yang mashur namun jarang dapat dipelajari secara sistematik dan dengan meluas. Boleh jadi ia sengaja disimpan oleh para guru dan hanya diajar kepada segelintir murid-murid sahaja yang bakal menjadi pengganti guru dalam aliran perguruannya atau para murid yang setia atau yang dikasihi kerana bakti dan jasanya yang banyak kepada guru dan juga perguruannya. Hal begini tidak berlaku di zaman tradisitional yang mana pemberian ilmu kepada murid tidak berdasarkan komersil seperti yang banyak berlaku pada zaman ini.

Pernah dikatakan di dalam MAJALAH PENDEKAR awal 1990-an iaitu majalah mengenai beladiri di Malaysia sebelum Majalah bulanan SENI BELADIRI bahawa `TEKPI ADALAH RAJA SENJATA TRADISIONAL` dan kemudian ramai yang bersetuju dengan kata-kata itu. Dalam artikel bertajuk `Keris Lok 13` ini dikatakan pula bahawa `KERIS ADALAH RAJA SENJATA TRADISIONAL`. Hal ni seperti bertentangan!. Sebenarnya ia kenyataan ini tiada bertentangan kerana masing-masing senjata tersebut menjadi `Raja Senjata` dalam ruang lingkup fungsi masing-masing. Jika keris menjadi Raja Senjata dalam fungsinya sebagai pembangkitan semangat, magis, keramat, ritual, dan darjat sosial kepada si pemilik dalam kepercayaan tradisi dan juga fungsinya dalam pertempuran boleh mendatangkan luka dan rasa ngeri yang sangat kepada sesiapa yang terkena tikamannya maka senjata TEKPI boleh bergelar RAJA SENJATA dalam ruang lingkup fungsinya sendiri terutama dalam pertempuran fizik kerana sungguhpun ia sejenis senjata pendek tapi fungsinya boleh menewaskan senjata yang lebih panjang darinya seperti kayu cota, parang panjang, sundang, pedang atau tongkat panjang dan lain-lain lagi. Begitu juga terhadap senjata-senjata tempur yang lebih pendek daripadanya seperti kerambit, badik, golok, keris, sewar, parang dan lain-lain apatah lagi jika yang melawannya dengan tangan kosong saja kerana TEKPI mempunyai 4 alat belaan dan serangan utamanya yang berkesan iaitu teknik BEDALAN dengan BATANGNYA, TIKAMAN MATA PEPISAU HADAPANNYA, TUMBUKAN PUTINGNYA DAN CAKUKAN DUA PENYANGKUT kiri kanan di bahagian putingnya.

Pada pendapat amnya jika seseorang menggunakan yang mana satu antara dua jenis RAJA SENJATA (Keris atau Tekpi) ini pun jika ia bukan seorang pakar dalam teknik penggunaan dua senjata ini dan tidak mahir atau tidak cekap dan lagi tidak pantas dalam gerakan silat atau seni beladirinya maka ia boleh tewas juga dengan lawan yang lebih mahir, cekap dan pantas dan tangkas dalam gerakan persilatannya walaupun menggunakan sebilah `parang kontot` atau bertangan kosong sahaja.  Wallahu`alam.

Adalah tidak di ketahui bilakah mulanya ilmu persilatan Melayu yang menggunakan tekpi di Nusantara Melayu ini. Adakah senjata Tekpi ini berasal sebagai senjata asli tradisional Melayu atau pun ianya diperkenalkan dari Negeri Cina atau India? Perlu dilakukan kajian lanjut yang teliti.

SUKATAN PELAJARAN GERAK SEJATI

Dalam Seni Gerak Sejati (GSPM) pelajaran senjata Tekpi mempunyai silibus yang khas sebagaimana silibus Silat Keris lok 13 dan juga silibus silat Tongkat Melayu. Silibus pembelajaran tekpi adalah seperti berikut (diterangkan secara ringkas);

1. Pelajaran memutar balik tekpi.
2. Pelajaran gerak jurus tekpi
     a. Jurus ibu 19 langkahan
     b. Jurus kembangan 5 jurus.
3. Pelajaran menggunakan tikaman, bedalan, cangkutan (kuncian) tekpi secara tubi.
4. Pelajaran gerak tempur menggunakan tekpi dengan tekpi. Ada tiga level iaitu
     a. Level I.  Buah buah asas
         - 7 titik tikaman
         - 7 titik cangkutan
         - 7 titik bedalan
     b. Level II. Buah kembangan
     c. Level III. Buah rahsia serangan.
5. Penggunaan tekpi menentang senjata senjata pendek yang lain.
6. Penggunaan tekpi menentang senjata yang lebih panjang daripada tekpi.
7. Permainan bunga seni tekpi (solo dan beregu) untuk majlis-majlis keraian Atau perasmian (silat bunga [silat pulut] seni tekpi Melayu)

"Kesempurnaan Ilmu ialah dengan berguru"

SEKIAN, TERIMA KASIH
Al Fakir Ila Llah.



Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.