Header Ads

Silat Panca Indera Harimau Serama

Silat Panca Indera Harimau Serama

Seni Silat Panca Indera Harimau Serama dari perguruan Gerak Sejati Malaysia adalah gabungan teknik dua aliran silat Asli Melayu Nusantara iaitu dari Seni Silat Gayong Harimau dan Seni Silat Gayong Seri Rama.

Bismillahir rahmaanir Rahim.Alhamdulillahi Rabbil a`lamin wabihi nasta`in wala haula wala quwwatailla billahil aliyyil adzim. Wassolaatu was salam alan nabiyyil karim waa`ala aalihi wasohbihi ajma`in.

Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh dan doa Selamat sejahtera kepada semua pengunjung laman dan ahli pertubuhan seluruh persilatan Melayu Nusantara yang dihormati dan  dikasihi semua. Semoga artikel kali ini sedikit sebanyak dapat memberikan sumber inspirasi dalam peningkatan ilmu beladiri Melayu kita  masing masing walau dimana anda berada. InsyaAllah.

Maksud Seni Silat, ialah ilmu teknik bergaduh atau berperang Melayu ianya meliputi kemahiran fizikal dan juga kekuatan batini melalui peramalan wirid wirid dan doa terhadap Yang Maha Esa yaitu tempat pergantungan atau sandaran kekuatan pendekarnya. Ilmu persilatan atau seni beladiri yang tidak bersandar kekuatan dan penyerahannya (tawakkal) kepada Allah SWT adalah Syirik. Setiap ilmu beladiri  jenis apa pun tetapi yang bersandar kekuatannya kepada diri sendiri atau pun yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan, jin dewa, Ifrit, iblis, bunian atau pun apa-apa sahaja daripada benda benda alam ciptaan Tuhan [makhluk-athar-kaun] adalah perbuatan bidaah dan syirik dan ini bukanlah sifat seorang pesilat yang mempunyai akidah yang betul  disisi agama Islam dan akan menerima kemurkaan Allah dihari pembalasan kelak.Tidak ada gunanya segala kekuatan yang berdasarkan akidah syirik walau pun ia amat gagah dan kuat tidak terlawan oleh sesiapa pun  dalam dunia ini kerana firman Tuhan:

Innallaha laa yaghfiru annyushrakabihi wayaghfiru maa duuna zalika liman yyashaa`u.

Ertinya: Bahahawasanya Allah Taala tiada mengampuni Ia akan  bahawa disekutukan dengan Dia dan mengampuni Ia akan barang yang lain daripada itu bagi mereka yang menghendaki Ia akan dia... (An-Nisa`:48)

Dan lagi Firman Allah:

`...Lahaa maa kasabat wa a`laihaa maktasabat...`

Ertinya:`..bagi seseorang itu pahala barang apa yang mengusahai ia akan dia daripada kebajikan.Dan atasnya dosa barang yang mengusahai ia akan dia daripada  kejahatan.... (Al- Baqarah:286)

Silat Panca Indera Harimau Serama adalah seni beladiri Melayu yang menggabungkan dua kaedah kedudukan seni beladiri. Iaitu kedudukan permainan Harimau yang kedudukannya lebih rendah dari sasarannya iaitu Persenyawa [Kemaluan ] musuh. Ia jua salah satu kaedah mengatasi musuh yang mahir menggunakan pukulan dengan gaya kaki tinggi.

Pancaidera Harimau Serama mempunyai teknik serangan dari aras bumi disebut `Buah Baring Hariamau` Iaitu suatu helah dalam gerak gayoman yang memudahkan pendekar mengelak dan menyerang balas dengan menggunakan kakinya samaada melalui sapuan rebah atau guntingan rebah. Teknik yang lain yang sepadu dengan gerakan tinggi Gayong Seri Rama ialah apabila Silat Panca Indera Harimau Serama melakukan serangan dan belaan cara melompat dan berguling dengan tidak melangkah atau berjengket jengket atau melilit seperti teknik silat bunga [pulut].

Silat Panca Idera Hariamau Serama menggunakan semua pancainderanya bersama keterampilan tujuh anggota utama fizikal dalam menghadapi pertarungan.Silat ini mengambil ilham dari daya gerak semula jadi manusia dan juga mengambil ilham dari gerak geri gaya pertarungan harimau belantara yang sering merendahkan badannya ke bumi. satu posisi yang memudahkan ia mengelak dan menyerang balas.Gayong Seri Rama berjengket dan berkedudukan tinggi atau separa tinggi sebagai berjaga-jaga atau mengumpan lawannya merapat dan menerkam lalu dengan itu aplikasi gerak Harimau  dengan serta merta merebahkan dirinya berserta menggunakan `Keempat-empat kakinya` yang berkuku tajam  terus membuat gerakan menyerang lawanya. Ada pun  sasaran-sasaran utama teknik  atau kaedah baring  Silat pancaindera Harimau Serama ialah sendi buku lali, sendi lutut, kemaluan, ulu hati, rusuk dan pematahan tulang betis. Sementara gerak gayong Seri Rama menumpukan pukulan dan kuncian atau pematahan bahagian atas fizikal lawan sekiranya tidak perlu mengubah gaya pertarungan kepada gerakan silat gaya harimau.

Catatan peringatan dari Pak Long Mat Hassan, Pendekar Kg.Undang Mengenai Silat tari [Silat Bunga -Pulut] Silat Tari Seri Rama, 1989:

1. Dalam gerak ada gerik. Gerak itu kasar. Yang halusnya gerik. Ini lah yang perlu difahamkan dalam gerak tempur silat.
2. Orang kata Seni Silat Tari yang baik hendaklah langkah sembahnya baik dan juga  indah serta ada tertib. Keindahan dalam seni silat tari bukan bermakna tiada bisanya. Kerana seni tari silat yang indah dan langkahan yang baik itu umpamanya sepohon pokok yang rendang lagi subur maka pokok yang sedemikian tentulah bunga dan buahnya pun lebat dan baik  juga begitulah jika yang  sebaliknya.
3. Sesetengah murid ada yang nak cepat tamat belajar. Padahal langkah sembah belum betul-betul mahir dah tak sabar-sabar lagi nak belajar `Pecah Gelombang` Hal perlakuan semacam inilah yang mencacatkan permainannya.
4. Oleh yang demikian permainan buah  banyak tidak menjadi [Tidak peka, tidak masak, tiada keterampilan]. Sedangkan jika mahu menjadi handal dalam permainan buah silat sekurang-kurangnya kenalah `Faham  betul Ilmu Sifat Dua Puloh` dalam Ilmu Usuluddin.
5. Aku berpesan pada mu hari ni `Jika kamu kepalang belajar bagai bunga kembang tak jadi, mu tau tak maksudnya?`.

Wallahu a`lam.
Wassalam.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.