Header Ads

Kerosakan Iman dan Islam Seseorang

بسم الله الرمن الرحيم
Alhamdulillahil Qaail wassolaatu wassalam ala sayyidinaa Muhammadin sayyidul mursalin waala aalihi wasohbihi ajmain. Amin.

Allah s.w.t berfirman yang ertinya, `Rasul telah beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadanya dari Rabnya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya (mereka mengatakan;) `Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya..`(surah Al-Baqarah:285).

لقدكان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجواالله واليوالاخروذكرالله كثيرا

Ertinya: `Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang-orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah`.  (Al-Ahzab:21)

Akan tetapi masih ada manusia dan jin yang  tidak mahu beriman (percaya) kepada Muhammad s.a.w. Pada hal bagindalah saja pembawa dan penyeru risalah terakhir dan penutup segala pesuruh Allah untuk ummat manusia dan jin hinggalah dunia fana ini berakhir (kiamat). Baginda tidak mendakwahkan ajaran yang mengikut pemikiran atau nafsunya sendiri tetapi mendakwah ajaran dari perintah Yang Maha Mulia Allah s.w.t. Baginda mengajak mengesakan dan mentauhidkan Allah Maha pencipta seluruh makhluk, mengajak manusia kepada berbudi pekerti dan berakhlak baik dan mulia, penuh kejujuran dan amanah, mengerjakan segala kebaikan dan kebajikan, saling bertolongan, bertoleransi, saling menyintai, saling bermaafan, berjabat tangan, sangat memuliakan tamu, simpati dan berbuat baik kepada anak yatim, orang-orang miskin dan dhaif,  janda dan ibnu sabil, serta suka menyambung hubungan keluarga, berbaik dengan jiran tetangga, silaturahim, berbaik sangka sesama mukmin, menyebar salam. Baginda menyampaikan kepada manusia dan jin bahawa Allah melarang melakukan perbuatan pada perkara keji, kemungkaran, permusuhan, fasad, peranianyaan dan kezaliman begitulah seterusnya berbagai lagi ajaran Allah Pemberi Rezeki dan nikmat kepada sakalian makhluk. Baik melalui lisan Baginda yang benar untuk kebaikan dan kemaslahatan sekelian umat manusia dan jin di dunia ini dan untuk keselamatan mereka di hari akhirat tetapi masih juga ada mereka yang engkar, tidak berterima kasih dan mensia-siakan seruan dan ajakan serta ajaran beliau. Malah ada yang (kafir) menghinanya disebabkan ajakannya kepada kebaikan itu, maka apakah kesalahan SEORANG YANG MULIA yang amat pengasih dan penyampai ajaran Allah s.w.t. ini terhadap orang-orang yang membenci baginda? Manusia jenis apakah ini? Sesudah hujah ini kami ingin memetik satu Firman Allah s.w.t. yang diperintahkan kapada Sayyidina Muhammad Rasulullah (saw) sebagai juru selamat terakhir (Rasul terakhir-penutup sekelian nabi dan rasul) ke jalan yang lurus yang diredhai Allah s.w.t. bacakan kepada seluruh ummat manusia dan jin:

فمن شاء فليوء من ومن شاء فليكفر

Ertinya, `Maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir`. (Surah Al-Kahfi:29)

A. AKIDAH KEPERCAYAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN DASAR-DASAR ISLAM:

1. Beriktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya atau alam ini kekal selama-selamanya (menafikan kiamat).
2. Iktiqad bahawa Pencipta (Al-Khaliq) alam ini baharu, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat baharu, atau pun mempunyai anak isteri, atau berbilang-bilang (ramai) atau menerima mati.
3. Iktiqad MENAFIKAN KEBENARAN apa-apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAYYIDINA MUHAMMAD s.a.w.  Beriktiqad bahawa sungguhnya nabi Muhammad (saw) yang sebenar hanyalah yang disebut Muhammad batin dan bukan Muhammad (saw) yang zohir perlu diikut. Iktiqad bahawa kerasulan Muhammad (saw) hanyalah untuk bangsa Arab sahaja. Iktiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (saw) ialah hukum-hukum yang telah lapuk tidak sesuai dengan zaman ini. Iktikad mengingkari mana-mana Rasul Tuhan terdahulu dari baginda. Iktiqad ada lagi Nabi dan Rasul yang membawa syariat baru sesudah nabi Muhammad (saw).
4. Iktikad bahawa tidak ada balasan pahala dan dosa. Tidak ada Surga dan neraka. Tidak ada kebangkitan dan hidup semula sesudah mati. Tidak ada atau tidak akan terjadi hari kiamat dan segala perkara yang berlaku pada hari kiamat.
5. Iktiqad bahwa ruh orang yang mati berpindah dari satu tubuh kesatu tubuh yang lain (incarnation).
6. Iktiqad bahawa agama lain selain agama Islam adalah lebih baik daripada agama Islam.
7. Berbolak balik hati antara hendak menjadi penganut agama lain selain agama Islam atau tidak. Bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa akan datang.
8. Mempercayai adanya Nabi dan Rasulullah yang lain lagi selepas Kenabian dan Kerasulan Muhammad S.A.W.

B. PERKATAAN (LISAN) YANG BOLEH MEROSAKAN IMAN DAN ISLAM.

Maksudnya ialah tiap-tiap perkataan yang Mencaci, Menghina, Merendah rendah, Mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama ALLAH, SIFAT-SIFAT ALLAH, RASUL-RASUL ALLAH, KITABULLAH dan AYAT-AYATNYA. HUKUM-HUKUM ALLAH yang telah diterangkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan juga perkataan yang menolak, menafi atau mengingkari segala perkara yang sekata oleh PARA ULAMA` MUKTABARAH  dan lagi ALIMBILLAH yang menyabitkan atau menafikan serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu daripada agama.

Contohnya seperti katanya terhadap mana-mana mengenai hukum agama Islam:
1. `Hukum apa begini`? (menyindir atau tidak bersetuju).
2. `Hukum begitu sudah lapuk !`
3. `Zaman sekarang tak patut diharamkan sistem riba kerana menghalang kemajuan`.
4. `Dalam zaman moden ini wanita tak perlu bertutup berbungkus`
5. `Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?`
6. `Minum arak kalau tidak mabuk atau kalau untuk menyihatkan badan untuk menguatkan ibadat apa salahnya`?
7. `Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima nasib untung rugi apa salahnya?`
8. `Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam kita tidak boleh maju`
9. Berkata, `Aku tidak mahu memakai serban (masa solat terutamanya) atau menyimpan janggut atau tidak mahu potong kuku walau pun sunnah (sunat)` Apabila diberitahu bahawa melakukan perkara-perkara tersebut adalah sunat dalam Islam.
10. Berkata `Ah... menyalak dah tu....!` Semasa ia mendengan azan solat oleh muazim (bilal). Hal begini pernah saya terdengar diperkatakan oleh orang-orang awam yang `fasiq` dan orang-orang yang `berilmu hakikat songsang` Jabariah Mulhid.
11. Membaca ayat-ayat suci Al-Quran, hadits Nabi, nama-nama Allah s.w.t, bersolawatkan nabi dengan cara mempersenda dan mempermain2kannya.
12. Kata-kata yang mengkafirkan seorang muslim lain, pada hal orang itu tidak diyakini atau tidak jelas mempunyai ciri-ciri kafirnya, atau mempunyai satu-satu sebab nyata yang boleh menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadits Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.
13. Kata-kata `Menggantungkan diri jadi kafir jika...` dengan sesuatu keadaan. Contohnya: Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: 'Jikalau aku melakukan perkara itu jadilah aku kafir!`. Sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduh kepadanya itu, maka jadilah ia kafir. Kecuali kata-katanya itu diturunkan dengan tujuan hanya melepaskan diri daripada tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir. Sesungguhnya dengan demikian pun ia telah melakukan suatu dosa dengan kata-kata tersebut walaupun ia benar yakni tidak melakukan perkara yang dituduh orang kepadanya tapi tidak ia menjadi kafir. Namun ia tetap berdosa kerana dengan perkataannya itu memberi erti ketiadaan tetapnya keazaman berpegang teguh dengan agama Islamnya.

C. PERBUATAN-PERBUATAN YANG BOLEH MEROSAKAN IMAN DAN ISLAM.

1. Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk meghormati atau membesarkan atau mengagongkan mana-mana makhluk dengan cara yang hanya untuk membesarkan dan mengagongkan Allah s.w.t. seperti SUJUD kepada makhluk walaupun dengan niat untuk menghormatinya. Atau TUNDUK kepada mana-mana makhluk hingga sampai kepada had sekurang-kurangnya perbuatan RUKUK dalam solat dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati  dan memuliakan Allah s.w.t. Tetapi kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu MURTAD tetapi hukum tetap haram.
2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang agama lain dari Islam dengan mengikut atau menurut (lakukan) upacara yang mereka lakukan.
3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain daripada Allah Azzawajalla.
4. Meletakkan ayat-ayat suci Al-Quran, hadits-hadits Rasulullah (saw), Nama-nama Allah s.w.t, Nama-nama Rasulullah, Malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab ilmu agama di tempat najis dan kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya. Kalau tidak dengan tujuan tersebut  pun hukumnya tetap haram. Demikian jugA HARAMnya meninggalkan kertas-kertas yang tertulis padanya ayat-ayat suci, hadits-hadits Rasulullah (saw), Nama-nama Allah s.w.t. serta ilmu-ilmu agama Islam yang suci untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu, tetapi kalau perbuatan yang dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi Murtad.
5. Meninggalkan sembahyang fardhu (solat) dan lain-lain rukun Islam yang lima maka ia berdosa dan fasiq, jika ia ENGKARKAN akan WAJIBnya pada HUKUM maka menjadi kafir.

Wabillahi taufiq walhidaayah
Mudahan sedikit keterangan di atas menjadi ingatan kepada kita yang beriman dan Islam.

Wassalam.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.