Fungsi Asas Persilatan Melayu Nusantara
BERGULAT ATAU PUN BERSILAT DILIHAT DARIPADA SEJARAH FUNGSI DASARNYA MENYUSUR DARI ZAMAN PERMULAAN NABI BESAR MUHAMMAD (SAW) DIANGKAT MENJADI UTUSAN ALLAH (SWT)
Bismillahir rahmaani raahiim. Alhamdulillahi Rabbil aalamin wabihi nasta`in. Wassolaatuwassalam a`la sayyidina Muhammadin waa`la aalihi wasohbihi ajma`in. Aamin.
Assalamua`laikum warahmatullahi wabarakaatuh. Terima kasih semoga sejahtera semua. Bergulat atau bergelut atau pun bergusti perkara yang lebih kurang sama dengan maksud perlakuan bersilat atau bagaimana cara atau helah teknik berkelahi iaitu bertujuan menumpaskan atau menewaskan lawan. Jika seseorang ahli bergulat atau bersilat atau pun lain-lain nama seni beladiri itu mempunyai kekuatan fizikal, ilmu peramalan dan ketajaman pemikiran serta kebijaksanaan dalam menghadapi lawan maka layak digelar pendekar. Untuk mencapai taraf itu manusia biasa [bukan nabi dan Rasulullah] memerlukan latihan-latihan yang berat dan lama dan juga pengalaman.
Dalam zaman kehidupan masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang dan peraturan ketat atau zaman peraturan yang tidak bertulis sesiapa yang kuat perkasa dan pendekar ialah yang layak menjadi ketua ataupun menjadi pemerintah. Terkadang pula apabila nafsu telah menguasai diri sang ketua atau pemerintah ia bertindak sewenangnya pula terhadap golongan yang lemah. Anggota masyarakat yang lemah akan menjadi hamba, pengikut atau rakyat kepada yang kuat. Keadaan semacam ini menyebabkan sesaorang akan berusaha menguatkan fizikalnya, kebatinannya, ketahanan tubuhnya dan mencari serta mempelajari sebaik-baik teknik seni mempertahankan diri yang difikirkannya berguna bagi menaikkan status sosial dirinya menjadi seorang yang perkasa lagi pendekar dan tidak akan ditindas lagi.
Di zaman kesultanan Melayu tradisioanal atau zaman negara beraja di mana-mana pun dalam dunia ini kalangan pendekar memang mendapat tempat dalam istana pemerintah. Akhir kepada kerjaya mereka ini ialah menjadi hulubalang atau menteri hatta terkadang dapat menaiki takhta sebagai raja pula. Para Sultan atau raja-raja seringkali mengadakan pertandingan bergulat atau bersilat atau apa-apa saja nama seni berkelahi atau seni beladiri bagi memilih siapakah pendekar yang paling handal dan juga yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam ilmu persilatan untuk dijadikan pengawal peribadi, pegawai istana dan hulubalang diraja.
Di zaman peperangan atau penjajahan kuasa-kuasa dunia ke atas satu puak bangsa yang lain para pendekar ini biasanya menjadi pejuang-pejuang nasionalis yang mempunyai semangat patriotik. Tetapi di zaman aman ada juga para pendekar ini menggunakan keahliannya bagi mendapatkan duit dan kemashuran nama jagoan dengan memenangi perlawanan di atas pentas pentas pertarungan pergulatan atau persilatan yang berbentuk perjudian.
Meneliti kepada sejarah fungsinya yang ringkas itu apakah sebenarnya fungsi ilmu bergulat atau ilmu persilatan atau pun mana-mana ilmu seni beladiri apabila sesaorang itu mempelajarinya jika dikaji dari segi pemahaman Islam?
Mari kita melihat daripada satu peristiwa di mana hadist meriwayatkan mengenai bergulat atau persilatan ini;
Dalam salah satu riwayat dikatakan: `Nabi saw. melakukan gulat dengan Rukanah yang terkenal kuat, kemudian dia berkata, `Domba dengan domba` [Pertaruhan-p]. Kemudian Nabi bergulat dengannya, lalu dia berkata, `Ulangilah denganku pada kali lain.` Kemudian Nabi bergulat dengannya lagi, lalu dia berkata, `Ulangilah denganku pada kali lain lagi. `Kemudian Nabi bergulat dengannya lagi, lalu laki-laki itu berkata, `Apa yang harusku katakan kepada keluargaku? Nabi menjawab, `Katakan: `Domba telah dimakan oleh serigala dan larilah domba itu.` Ia bertanya lagi, `Lantas apa yang aku katakan pada kali yang ketiga?` Nabi saw menjawab, `Kami tidak dapat mengalahkanmu dalam bergulat, maka ambillah kambingmu`. [HR.Abu Daud]
[pertaruhan-p] : Peristiwa ini berlaku ialah sebelum diharamkan berjudi dalam Islam namun Nabi saw tidak menerima pertaruhan dan hal itu pun tidak terlaksana.
Di kota Mekah zaman sebelum Islam seringkali diadakan pertandingan siapa lelaki pendekar perkasa yang paling hebat antara mereka. Di kalangan mereka ada suatu penilaian bahawa kehormatan seseorang terletak pada kekuatan fizikalnya dan ketangkasannya mengalahkan lawan. Salah seorang pendekar yang gagah dan hebat lagi pemberani serta gentar hati lawannya ketika mahu bertarung dengannya dan belum pernah dapat ditewaskan dalam pertandingan ialah Rukanah bin Abdu Yazid. Beliau adalah samseng bengis Mekah yang ditakuti dan digeruni ramai. Beliau mempunyai satu lembah perladangan - ternak yang mana orang lain tidak berani berkongsi dan tidak berani masuk ke kawasan perladangannya tanpa izinnya.
Pada suatu hari Rasulullah saw masuk seorang diri ke tempat yang ditakuti oleh semua orang Quraisy itu. Melihat kedatangan Rasulullah saw, Rukanah mencabar, `Berani betul kamu Muhammad (saw) masuk ke tempat ini pada hal aku ada di sini. Sebenarnya di antara kita ada hubungan kekeluargaan, kalau bukan kerana itu sudah aku bunuh kamu. Namun begitu marilah kita cuba dahulu, kalau engkau sanggup mengalahkan aku, akanku berikan kepada kamu satu pertiga kambing-kambingku ini.`
Rasulullah s.a.w. memenuhi cabaran Rukanah. Dalam perlawanan pertama ini dengan mudah saja Rasulullah saw menumbangkannya. Rukanah tidak puas hati mungkin juga ia berfikir dia tidak bersedia betul-betul atau tidak menggunakan semua kekuatan dan kepandaiannya. Rukanah berkata, `Hebat juga kamu Muhammad (saw). Belum pernah aku berjumpa dengan orang Quraisy seperti ini. Tetapi marilah kita berlawan sekali lagi. Jika kamu sanggup mengalahkan aku, akanku berikan kepada kamu dua pertiga daripada kambing-kambingku ini. kemudian Rasulullah saw dan Rukanah pun memasang sikap untuk berlawan. Dalam perlawanan itu Rukanah terkena satu tumbukan dan tendangan Rasulullah s.a.w. Rukanah pun tumbang ke tanah sekali lagi.
Rukanah bangkit dan berkata, `Hebat sungguh kamu Muhammad (saw). Tapi mari kita berlawan lagi untuk kali ketiganya. Kalau kamu menang akan ku berikan kepadamu semua kambingku yang ada di lembah ini.` Rasulullah s.a.w. memenuhi permintaannya itu lagi. Dalam pertarungan itu Rasulullah s.a.w. dapat menewaskan Rukanah dengan mudah juga. Rukanah memenuhi janjinya dengan mengatakan: `Bererti kamu menang dan sekarang aku berikan kepada kamu semua kambingku ini. Ambillah ini semua dan ini sudah menjadi milik kamu.` Rasulullah s.a.w.menjawab, `Aku tidak berhajat kepada kambing-kambing kamu itu, tetapi yang aku hajatkan adalah diri kamu sendiri. Aku minta supaya kamu mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah s.w.t. dan bahawa aku adalah utusan Allah s.w.t'. Rukanah membalas kata, `Wahai Muhammad (saw), tinggalkanlah tempat ini sekarang juga.`
Rasulullah saw pun melangkah meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba datanglah Abu Bakar As-Siddiq lalu berkata, `mengapa kamu datang ke tempat ini ya Rasulullah? Ini adalah lembah milik Rukanah yang ditakuti oleh semua orang.` Rasulullah saw menjawab, `Aku sudah menumbangkan samseng itu.`
Pada suatu peristiwa lain Rasulullah saw terserempak dengan Rukanah di tengah jalanan, baginda pun mengajak Rukanah memeluk agama Islam seraya berkata, `Wahai Rukanah, sebaiknya kamu bertakwa kepada Allah SWT dengan memeluk agama yang aku bawa ini.` Rukanah menjawab dengan bongkaknya, `Jika agama yang kamu bawa itu benar, pasti sejak dulu lagi aku sudah memeluknya.`
Apabila mendengar ejekan Rukanah itu, Rasulullah saw. berkata dengan nada menangkis ejekan kesombongannya itu demi menjaga kehormatan Islam supaya tidak dihina dan dikeji oleh orang kafir, `Bagaimana jika aku dapat menewaskanmu dengan beradu kekuatan? Adakah kamu dapat menerima dan meyakini bahawa agama yang aku bawa ini adalah benar?`. Rukanah menjawab dengan angkuh, `Baiklah kalau itu yang kamu kehendaki` Rasulullah saw membalas, `Bersiap siagalah sekarang.` Rukanah berdiri dengan memasang kuda-kuda kemas untuk menyerang Rasulullah saw. Akan tetapi serangan Rukanah ditangkis Rasulullah saw dengan suatu tamparan sahaja Rukanah jatuh terjelepok ke tanah termangu. Seperti tidak percaya dengan kepantasan dan tamparan Rasulullah saw. Ia tetap berdegil dan memikirkan kependekaran dan kekuatannya tidak terkalahkan selama ini lalu berdiri semula untuk berlawan pada jurusan kedua. `Mari kita ulangi semula wahai Muahammad'. Rasulullah s.a.w. menjawab, `Kalau begitu berdirilah`. Rukanah pun berdiri dengan memasang kuda-kuda mantap kemudian menyerang dengan jurusan yang keduanya tetapi serangannya hanya disanggah dengan satu tolakan tunggalnya sahaja oleh Rasulullah s.a.w. Rukanah jatuh tersungkur ketanah. Rukanah insaf akan kehebatan pergulatan Rasulullah saw. lalu berkata, `Aku benar-benar hairan di atas kemampuan kamu di dalam menewaskanku. Padahal sebelum kamu tiada siapa pendekar dan jagoan Mekah yang mampu mengalahkan aku.`
Rasulullah saw. berkata kepada Rukanah, `Ada lagi sesuatu yang sangat mengkagumkan. Jika kamu ingin melihatnya, akan aku buktikan. Tetapi dengan syarat nanti kamu harus bertakwa kepada Allah SWT dan memeluk agamaku.` Lalu Rukanah menjawab, `Silakan kalau kamu masih mempunyai kelebihan yang akan kamu perlihatkan padaku. Aku belum mahu beriman sehingga kamu sanggup menunjukkan bukti.` [kebenaran lagi].
Rasulullah saw. berkata, `Kalau aku menunjukkan bukti, adakah kamu beriman?` Rukanah menjawab `Ya,` Ketika itu mereka berada berdekatan dengan sebatang pokok. Rasulullah s.a.w. berkata kepada pokok itu, `Datanglah ke sini dengan izin Allah s.w.t`. Pokok itu pun terbelah dua. Sebelah datang mendekati Rasulullah s.a.w. dan sebelah lagi mendekati Rukanah. Melihat yang demikian itu Rukanah berkata, `Kamu telah menunjukkan bukti yang cukup mengkagumkan kepadaku. Sekarang suruh ia pergi ke tempat asalnya.`
Rasulullah s.a.w. berkata, `Kalau ku suruh, lalu ia pergi, apakah kamu mahu beriman?` Rukanah menjawab, `Ya, saya akan beriman.` Rasulullah pun menyuruh pokok itu kembali ke tempat asalnya. Pokok itu pun kembali ke tempatnya dan bersatu semula. Rasulullah s.a.w. berkata, `Sekarang mengucaplah` Tetapi walaupun dengan suatu mukjizat yang menakjubkan ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. Rukanah masih berdegil dan tidak mengkotakan janjinya. Namun begitu, Rasulullah s.a.w. yang amat penyabar tidak menempelaknya. Maka Rukanah tetaplah berkeras dengan kekufurannya hinggalah peristiwa penaklukkan Islam ke atas Kota Mekah barulah beliau beriman. Beliau wafat zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 42 hijrah.
Jelas dari riwayat peristiwa bergulat atau bersilat Rasullullah s.a.w. ini semata-mata atas kepentingan dakwah dan mempertahankan kehormatan Islam. Baginda tidak mengambil pertaruhan yang ditawarkan oleh lawannya walaupun lumayan dan masa itu belum lagi turun wahyu Ilahi melarang perjudian atau pertaruhan dalam Islam. Kias daripada peristiwa ini ialah bahawa menggunakan ilmu persilatan adalah mendapat pahala jikalau niat seseorang itu mempelajarinya ialah untuk mempertahankan kehormatan diri, keluarga, kehormatan agama, membela kebenaran membenteras yang batil dan mempertahankan tanah air sebagaimana berpahalanya jika seseorang yang memiliki sebilah keris atau pedang atau pun apa-apa senjata dengan niat akan digunakan dalam jihad fiisabilillah. Di sini dinilai atas niat sesaorang. Jika niatnya membeli senjata untuk membuat kerja jahat yang bertentangan dengan nilai-nilai haq agama misalnya, jika diniat guna untuk merompak atau membunuh orang dengan jalan yang tidak benar [batil] maka hukumnya adalah berdosa memilikinya. Mempelajari dan mengajar persilatan serta menggunakan ilmu persilatan untuk berdakwah terhadap orang kafir supaya memeluk Islam adalah jejak Rasulullah s.a.w. Jejak ini diikuti oleh para pendakwah di zaman awal Islam di Nusantara saperti para wali sembilan di Indonesia dan lain-lain wali atau ulama` dan para pendakwah di Nusantara ini. Andaikata seseorang mengajar ilmu persilatan atau menggunakan kepandaian ilmu persilatannya kerana wang ringgit dan kemashoran nama semata-mata dengan mengenepikan usaha dakwah Islamiah maka yang demikian itu adalah suatu kealpaan malah boleh dianggap melakukan suatu penyelewengan dari fungsi dasar ilmu pergulatan atau pun ilmu persilatan dalam Islam. Lebih-lebih lagi kalau kepandaian ini diajar kepada musuh-musuh Islam pula maka apakah akibat dan hukumnya? Tetapi jika ilmu persilatan digunakan sebagai pertunjukan di majlis keraian atau majlis yang berunsur silaturrahim atau majlis yang berunsur berkebajikan adalah diharuskan.
Wabillaahi taufiq walhidaayah. Wallahu `alam.
Terima kasih. Wassalam.
Tiada ulasan