Zikrullah Antara Sunnah Dan Bid’ah
Antara pelbagai ilmu dan amalan yang
disyariatkan Allah dengan jelas ialah ilmu dan amalan zikrullah.
Wujudnya dalam Islam tidak boleh diragukan, apatah lagi untuk ditolak
atau dinafikan. Penolakan dan penafiannya bermakna tidak percaya, tidak
beriman terhadap beberapa ayat Al-Quran yang menyuruh supaya
memperbanyakkan zikrullah, ayat-ayat yang menjelaskan kebaikannya,
kepentingannya, contoh amalannya dan ayat-ayat lain yang berkaitan
dengannya. Penolakannya juga bermakna tidak mempercayai kebenaran
hadith-hadith Nabi dan hadith-hadith Qudsi yang menyentuh ilmu dan
amalan zikrullah.
Ketulenan atau kesahihan ilmu
dan amalan zikrullah seperti juga berbagai ilmu dan amalan lainnya bukan
hanya dapat dibuktikan menerusi Al-Quran dan hadith Nabi s.a.w tetapi
juga dapat dipastikan menerusi latarbelakang sejarahnya sejak zaman
awalnya (zaman Nabi s.a.w) hinggalah ke hari ini.
Hubungan
dengan ilmu tasawuf sangat erat kerana zikrullah juga dianggap sebagai
satu unsur yang menjiwai ilmu tasawuf dan prinsipnya yang utama.
Demikian juga hubungannya dengan ilmu tauhid, kerana ianya dianggap
sebagai jalan cepat dan dekat untuk sampai ke ma’rifah. Malahan
zikrullah adalah menjadi asas dan gandingan yang tidak boleh dipisahkan
dari amalan tafakkur, tazakkur, tafahhum dalam kesungguhan mujahadah
seseorang hamba untuk mengenal Allah dan masuk ke dalam hadratnya secara
zauqi sesudah mengenainya secara sama’ie.
Wujudnya
pelbagai thariqat yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia
adalah berasal dari ilmu dan amalan zikrullah ini yang mana pernah
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sesetengah sahabat secara khusus
sehingga timbulnya di zaman kemudian dalam tasawuf dua jenis zikrullah;
zikir darajat dan zikir hasanat. Bangunlah para mujtahid sufiyah
menumpukan usaha mereka secara khusus dalam ilmu dan amalan zikrullah
dengan digariskan berbagai adab dan kaedah amalannya yang akhirnya ilmu
dan amalan zikrullah yang diijtihadkan itu dinisbahkan kepada namanya.
Maka wujudlah berbagai nama thariqat Naqsyabandiyah, Qadiriyah,
Ahmadiyah, Syathariyah, Shaziliyah, Rifa’iyah dan sebagainya lagi.
Berbagai aliran thariqat tersebut dari satu sudut samalah juga seperti
wujudnya pelbagai mazhab feqah; Hanafi, Maliki, Shafi’e dan Hanbali.
Kini
zaman Nabi s.a.w telah berlalu lebih dari 14 abad yang bermakna banyak
ilmu yang hilang berikutan kewafatan para ulamak. Tidak semua yang
mereka ketahui, fahami dan amalkan dapat kita warisi sepenuhnya. Abu
Talib Makki (W. 386 H) dalam kitabnya, Qutul-Qulub menyatakan bahawa di
abad ke 4 hijrah telah berlaku salah faham umat Islam mengenai pelbagai
amalan Islam sehingga sesetengah amalan yang diamalkan oleh orang ramai
telah lari jauh dari kebenaran. Pengkhususan dalam pengajian Islam
menyebabkan kebanyakan ulamak sekarang hanya dapat mengetahui dan
memahami sesuatu bidang pengajian sahaja. Semua faktor-faktor tersebut
disamping berbagai faktor lain menyebabkan ilmu dan amalan zikrullah
menjadi luput secara beransur-ansur. Akhirnya ianya menjadi satu amalan
yang paling kontroversi dan selalu dihubungkan dengan amalan bid’ah dan
sesat.
Syaitan yang menjadi musuh ketat manusia
memang sentiasa menyesatkan manusia. Syaitan mengadakan pelbagai ilmu
dan amalan tiruan atau mencampur-adukkan unsur-unsur batil dalam ilmu
dan amalan Islam. Yang menjadi mangsa ialah mereka yang jahil dan yang
tidak ikhlas. Faktor tersebut menyebabkan ilmu dan amalan zikrullah
mudah bertukar dari sunnah kepada bid’ah, dari hak kepada batil.
Disebabkan kejahilan juga maka amat sukar untuk menentukan yang hak dan
yang batil, sunnah dan bid’ah. Akhirnya kita ambil jalan mudah dengan
menolak semua jenis amalan zikrullah, semua thariqat, walaupun ada di
sudut hati kesedaran adanya thariqat mu’tabarah. Dengan kurnia, rahmat
dan hidayat Allah semoga kertas kerja ini dapat menjelaskan dan
memberikan garis panduan dalam usaha kita memelihara kebenaran ilmu dan
amalan zikrullah dan pelbagai thariqat sufiyah.
Tiada ulasan