Memancar Api Petir dan Membelah Bulan
Bismillahir Rahmaanir Rahim. Alhamdulillahi Rabbil aalamin. Lahaula walaa quwwata illa billaahil `aliyyil a`dzim. Alhamdulillahi lladzi tawad`a kullu shay`in lia`zmatihi, walhamdulillaahi lladhzi dhalla kullu sha`in li`izzati, walhamdulillaahi llaahi lladhzi khad`a kullu shay`in limilkihi, walhamdulillaahi lladhzi astaslama kullu shay`in liqudratihi.
Wasollallaahu `ala sayyidina Muhammadin nabiyyil ummiyyi wa`alaa aalihi wasohbihi ajmain, amin ya Rabbal `. Aalamiin.
MEMANCAR API PETIR.
Semasa Rasulullah s.a.w. berangkat menuju medan Perang Hunain, mereka yang turut serta dalam pasukan kafir ialah seorang lelaki bernama Syaibah bin Usman bin Talhah yang ayahnya dan bapa saudaranya terbunuh dalam medan perang Uhud. Penyertaannya dengan pasukan kafir dalam perang Hunain ialah hendak membalas dendam atas kematian ayah dan bapa saudaranya itu. Sasaran utama balas dendamnya ialah terhadap Rasulullah s.a.w. Ia menyertai pasukan kafir suku Quraisy yang bergabung dengan suku Hawazin. Pedang tempurnya diasah cukup tajam dengan niat untuk menebas memenggal badan Rasulullah s.a.w. yang mulia itu.
Pada hari perang Hunain itu ketika peperangan sedang berkecamuk dengan gemercing tetakan pedang antara tentera Islam dan kafir itu, Syaibah mengintai-ngintai kelibat Rasulullah s.a.w. kerana baginda adalah sasaran utamanya. Ketika pertahanan tentera Islam sedang dilanda kucar kacir kerana serangan hebat oleh pasukan pemanah kafir yang bertubi-tubi daripada sebalik bebatuan bukit lembah Hunain itu ramai tentera Islam yang terkena panah dan ada yang terpaksa undur mencari perlindungan. Keadaan Rasulullah s.a.w. tidak terlindung lagi oleh para sahabat baginda dan pasukan tentera Islam. Syaibah terus mara ke arah Rasulullah s.a.w. dengan pedang terhunus. Setelah hampir betul dengan Rasulullah s.a.w. dalam gerak jurus pedangnya yang tajam itu menghala kepada tubuh yang mulia Rasulullah s.a.w. tiba tiba muncul suatu nyalaan api laksana petir berdentum daripada tubuh baginda yang mulia. Api petir itu meluru menghala ke arah Syaibah dan nyaris menyambar tubuhnya lalu ia menutup wajahnya dengan kedua-dua tangannya. Dadanya pula dikuasai oleh rasa gerun dan gementar ketakutan begitu mecengkam seluruh jiwanya. Lalu ia pun lari menghindar diri dari Rasulullah s.a.w. Tetapi Syaibah berkata, dalam masa itu juga ia mendengar Rasulullah s.a.w. memanggil namanya. Lalu ia pun pergi kepada Rasulullah s.a.w. dengan perasaan gementar takut. Setelah sampai di hadapan Rasulullah (SAW), Baginda meletakan tangan baginda yang mulia atas dada Syaibah kerana baginda mengerti akibat pancaran api bagaikan petir menyambar ke arah Syaibah tadi menyebabkan dada Syaibah diliputi perasaan gerun gementar dan takut yang amat sangat. Lalu baginda Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan baginda yang mulia itu ke dada syaibah sambil baginda berdoa, `Ya Allah, lindungilah dia daripada bisikan Syaitan`.
Mengikut kata Syaibah r.a. semenjak peristiwa itu `Demi Allah s.w.t. pada saat itu juga tidak ada yang lebih dicintai oleh telinga, mata dan segenap jiwaku kecuali baginda. Perasaan benci dan dendam kepadanya tiba-tiba hilang daripada dalam lubuk hatiku. Kemudian, Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, `Marilah turut berjuang bersama kami`. `Aku pun berdiri tegak di hadapan baginda dan dengan pedang di tangan, aku melancarkan serangan balik menghentam teman-temanku yang kafir yang memusuhi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda. Semenjak itu juga hanya Allahlah yang lebih mengetahui betapa diriku ini suka amat melindungi dan menjaga keselamatan Rasulullah s.a.w. Jika bapaku masih hidup dan memusuhi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya maka tidak aku peduli lagi bahawa aku dengan pedangku yang tajam ini akan menyerangnya`.
MEMBELAH BULAN
Firman Allah SWT:
اقتربت السا عة وانشق القمر
Ertinya: Saat itu telah dekat dan bulan telah terbelah (QS, Al Qamar:1).
Tentang terbelah bulan ini ada beberapa pendapat saperti berikut: pada satu peistiwa kelihatan oleh nabi dan para sahabat bulan itu terbelah dua. Ada juga yang mentafsirkan pecah belahnya musuh Islam. Tetapi mengikut tafsir Jalalain Asbaabun Nuzul adalah seperti berikut:
Maksud firman: `saat itu telah dekat` ialah dimaksudkan iaitu hari kiamat. Dan maksud firman: `Telah terbelah bulan` maksudnya menjadi dua bagian, yang satu di atas bukit Qaiqa`an dan yang satu lagi di atas bukit Abu Qubais iaitu sewaktu orang-orang kafir Quraisy [dan Raja Syam iaitu Habib bin Malik berserta 10,000 bala tenteranya-p] meminta bukti kerasulan Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: `Saksikanlah oleh kalian.` (hadis oleh Asy syaikhain).
MENGIKUT RIWAYAT LISAN GENERASI:
Pada suatu hari dimasa permulaan Rasulullah s.a.w. menyampaikan wahyu Ilahi kepada kaum kafir di Mekah, Abu Jahal [Musuh utama Islam di Mekah]telah mengirim surat kepada Habib bin Malik, seorang raja kafir yang memerintah negeri Syam yang masyhor namanya hingga ke kota Mekah. Orang-orang kafir Quraisy Mekah sangatlah menghormatinya lantaran dia seorang raja penyembah berhala yang sangat fanatik dan sangat membenci serta menentang mana-mana agama baru.
Apabila Habib bin Malik menerima surat daripada Abu Jahal yang isinya menceritakan perihal aktiviti Rasulullah s.a.w mengembangkan agama Islam membuatkan Habib bin Malik sangat marah dan bertekad ingin bersemuka dengan Muhammad Rasulullah s.a.w. Lalu dia bersegera mengirim balas surat Abu Jahal melalui para utusannya bahawa dia sendiri dalam waktu yang terdekat ini akan datang ke Mekah untuk bertemu muka dengan Muhammad s.a.w. serta akan mengujinya.
Pada hari yang ditentukan berangkatlah Habib bin Malik ke kota Mekah diiringi 10,000 ribu bala tenteranya. Ketika sampai rombongan Habib bin Malik di daerah Abthah dekat kota Mekah dia mengirim utusannya memberi tahu Abu Jahal akan kesampaian beliau itu. Maka Abu Jahal bersama pemimpin kafir quraisy yang lain datang menyambutnya dan memberikan pelbagai jenis hadiah persembahan samada harta atau wanita hamba sahaya.
Dalam pertemuan tersebut Habib bin Malik bertanyakan hal keperibadian Muhammad s.a.w. tetapi Abu Jahal enggan menjelaskannya. Sebaliknya menyuruh raja itu bertanya sendiri orang-orang lain kecuali jangan kepada Bani Hashim. Tetapi Habib bin Malik bertanyakan juga kepada keluarga Nabi s.a.w. dan mereka telah menjawab dengan jujur, `Kami mengetahui bahawa semasa kecilnya Muhammad s.a.w. adalah sebagai anak yang paling jujur serta sangat baik budi pekertinya, tetapi sejak usianya menginjak 40 tahun, dia mula menyiarkan agama baru, dengan menghina dan memperkecilkan tuhan-tuhan yang kami sembah. Dia menyiarkan agama selain dari agama warisan nenek moyang kami`.
Setelah mendengar penjelasan daripada orang orang Bani Hasyim itu, Raja Habib bin Malik menyuruh utusannya untuk memanggil Muhammad s.a.w. ke tempat di mana mereka berkumpul itu dengan arahan, `jika dipanggil dengan cara yang sopan ia tidak mahu hadir kitakan paksakan dengan mata pedang...` Tetapi apabila di jemput oleh utusan raja itu, Rasulullah s.a.w. dengan penuh keyakinan terhadap Tuhan telah sudi untuk segera berangkat menuju ke tempat di mana Habib bin Malik dengan bala tenteranya dan orang-orang kafir Quraisy menunggu baginda di Abthah. Baginda Rasulullah s.a.w. memakai jubah warna merah dan berserban hitam pemberian Abu Bakar r.a. sungguh kacak hebat dan berwibawa baginda Rasulullah s.a.w. Pemergian baginda hanya ditemani oleh sahabat setianya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dan isterinya yang tercinta Khadijah r.a. Apabila berangkat isteri baginda amat bimbangkan akan keselamatan baginda apabila berhadapan dengan Raja Kafir itu nanti lalu berkata, `Wahai Rasulullah s.a.w. kami sangat mengkhuatiri akan keadaan dan keselamatan kamu daripada bahaya murkanya orang orang kafir`. Jawab baginda, `kamu jangan takut, kita serahkan saja semuanya kepada Allah SWT.`
Ketibaan Rasulullah s.a.w. disambut baik oleh Habib bin Malik. Beliau mempersilakan baginda duduk di kerusi emas yang memang telah disiapkan khas sebelumnya. Apabila Rasulullah s.a.w. duduk di atas kerusi emas itu terpancarlah sinar cemerlang daripada wajah baginda dengan peribadi yang penuh berwibawa sehingga sesiapa yang melihatnya ketika itu menjadi terpegun terpesona dan berasa kehairanan.
Setelah hening suasana, Habib bin Malik memulakan bicaranya dengan berkata, `Wahai Muhammad, tentu kamu telah mengetahui bahawa setiap Nabi pasti memiliki mukjizat. Jika kamu mengaku kamu sebagai seorang Nabi, mukjizat apakah yang telah kamu miliki?. Rasulullah s.a.w. tidak menjawab langsung kepada soalan itu tetapi sebaliknya bertanya semula kepada Habib bin Malik, `Mukjizat apakah yang kamu kehendaki?`
Habib bin Malik mengeluarkan tentangannya yang pada jangkaannya Rasulullah s.a.w. akan kecewa untuk memenuhi tentangannya itu. Dia berkata, `Aku menginginkan matahari yang sedang bersinar itu kamu tenggelamkan ia, dan kemudian hendakalah kamu memunculkan pula bulan. Kemudian setelah bulan muncul, hendaklah kamu turunkan ia hingga bulan itu berada di tangan kamu. Lalu belahlah bulan itu menjadi dua bahagian dan masukkanlah masing-masing ke lengan baju kamu sebelah kiri dan kanan. Kemudian keluarkan semula bulan itu daripada kedua-dua lengan baju kamu lalu satukan ia semula. Kemudian terakhirnya suruhlah bulan itu mengakui bahawa kamu adalah Rasulullah. Setelah itu, kembalikanlah bulan itu ketempat asalnya semula. Jika kamu dapat melakukan semua itu, aku akan beriman kepada kamu dan mengakui kenabian kamu.`
Permintaan Habib bin Malik yang dikira amat berat dan aneh oleh pemikiran biasa untuk memenuhinya, adalah sungguh mengada-ngada [maksudnya supaya gagal dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.]. Abu Jahal yang paling gembira sekali kerana ia berasa sungguh yakin bahawa Muhammad s.a.w. pasti tidak dapat melaksanakannya. Namun begitu dengan nada tegas dan penuh keyakinan baginda menyambut permintaan tersebut dengan mengatakan, `Aku penuhi permintaan anda`.
Baginda Rasulullah s.a.w. bangun dari kerusi dan berjalan kearah gunung Abi Qubaisy dan bersolat dua rakaat. Selesai bersolat baginda manadah tangan berdoa memohon kepada Allah SWT. agar apa yang menjadi permintaan Habib bin Malik dapat baginda penuhi dengan baik dan sempurna. Kemudian datanglah bala tentera Allah iaitu sepasukan gulungan malaikat seramai 12,000 kepada Rasulullah tanpa terlihat oleh orang lain yang berada di situ. Malaikat berkata; `Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menyampaikan salam kepada kamu. Allah s.w.t. berfirman:
`Wahai kekasihku, janganlah kamu takut dan ragu, sesungguhnya Aku senantiasa bersamamu di mana pun kamu berada. Aku telah menetapkan keputusanKu semenjak zaman azali, tentang apa yang menjadi pemintaan Habib bin Malik pada hari ini. Sekarang pergilah kamu ke hadapan mereka untuk menunjukkan hujah tentang kerasulanmu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah s.w.t. yang menjalankan matahari dan bulan dan yang menggantikan siang dan malam. Selain itu, Habib bin Malik mempunyai seorang puteri yang cacat, tidak mempunyai kaki dan tangan serta buta. Allah s.w.t. telah mengkhabarkan berita tersebut kepadamu. Sekarang, Allah s.w.t. telah menyembuhkan anak perempuan Habib menjadi seorang yang telah sempurna bentuk badannya serta boleh berjalan, boleh memegang dan boleh melihat.'
Ketika itu hari telah senja matahari hampir terbenam. Rasulullah s.a..w. bergegas turun dari gunung Abi Qubaisy untuk menjumpai juak-juak kafir bersama raja Habib bin Malik dan Abu Jahal. Cahaya yang terbias [Aura] daripada wajah Rasulullah s.a.w. semakin bersinar. Di pihak atas baginda para malaikat di bawah pimpinan Jibril berbaris-baris mengikuti langkah demi langkahan perjalanan Rasulullah s.a.w. hingga sampai pada tempat golongan kafir itu. Seketika kemudian baginda berdoa kepada Ilahi agar bulan segera keluar. Maka keluarlah bulan dengan sinarnaya yang terang benderang. Kemudian baginda mengisyaratkan dengan kedua jarinya yang mulia [seperti gerak jurus tarik-p] agar bulan segera turun kepada baginda. Kemudian suasana menjadi hebat tegang apabila terdengar bunyi bergemuruh. Awan bergerak bersama mengiringi bulan ke tangan Rasulullah s.a.w. Bulan pun mengecil dan berada dalam tangan Rasulullah s.a.w. lalu dibelahnya bulan menjadi dua bahagian, satu bahagian dimasukan ke dalam lengan bajunya yang kiri dan satu lagi dimasukkan di sebelah kanan. Seketika kemudian baginda mengeluarkan pula kedua bagian bulan tersebut dari lengan baju baginda dan menyatukannya kembali dengan dilihat oleh semua orang bahawa Rasulullah s.a.w. sedang memegang bulan yang sedang bersinar. Lebih menakjubkan lagi mereka mendengar suara yang bergema dari bulan, `Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan aku bersaksi bahawa Muhammad s.a.w. adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.` Menepati apa yang diminta oleh raja kafir Habib bin Malik.
Peristiwa hebat ini menggoncangkan semua hati yang melihat. Bukan sebuah mimpi tapi suatu kenyataan dan suatu mukjizat luar biasa hebat. Jika Musa Alaihissalam membelah lautan dengan tongkatnya Nabi Muhammad s.a.w. telah membelah bulan dengan dua jari jemarinya. Ini hanyalah salah satu mukjizat hebat dari 100 mukjizat Rasulullah s.a.w. atau lebih dari itu lagi untuk menyatakan kebenaran bahawa beliau Nabi dan Rasulullah s.a.w. akhir zaman ini.
Raja Habib bin Malik yang menyaksi sendiri peristiwa ini menginsafi kekuatan dan kejadian luar biasa ini tidak mungkin terjadi jika ditangani oleh manusia biasa walaupun mempunyai kuasa sihir yang sangat hebat. Namun hatinya masih tidak mahu juga lagi terbuka untuk menerima nur Islam. Dia masih ingin mencuba lagi untuk mensahihkan lagi kebenaran. Lalu raja kafir ini memberi satu cabaran lagi kepada Rasulullah s.a.w. ia berkata, `Aku masih ada satu syarat lagi untuk mengujimu`. Tetapi sebelum Habib bin Malik memanjangkan ucapan Rasulullah s.a.w. mengatakan, `Kamu mepunyai seorang puteri yang cacat bukan? Sekarang, Allah s.w.t. telah menyembuhkannya dan menjadikannya dia seorang puteri yang sempurna bentuknya`.
Setelah mendengar penerangan Rasulullah s.a.w. itu Habib bin Malik amatlah girang gembira hatinya lalu berdiri dan berucap di hadapan semua hadirin yang ada yang masih keheran-heranan itu. Beliau berkata, `Hai, penduduk Mekah, kamu yang telah beriman, janganlah kembali kafir kerana tidak ada lagi yang perlu diragui [tentang kebenaran Muhammad saw]. Ketahuilah kamu semua bahawa sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Tunggal, tiada sekutu baginya dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad s.a.w. adalah utusanNya dan hamba Nya`. Dengan itu Raja Habib bin Malik berserta bala tenteranya yang bersertanya dalam peristiwa itu telah memeluk Islam.
Abu Jahal sungguh malu, gelabah dan marah. Dia telah terperangkap oleh perangkapnya sendiri yang hendak dikenakan kepada Rasulullah s.a.w. Ia cuba memainkan semula emosi raja Habib bin Malik dengan tempelaknya, `Wahai pujaan orang-orang Quraisy, bagaimanakah tuanku boleh beriman dengan tukang sihir ini, hanya dengan melihat kehebatan sihirnya? Tetapi Raja Habib bin Malik tidak pedulikan lagi pujukan Abu Jahal itu, nur Islam telah mengisi seluruh jiwanya. Ia terus bergegas berkemas untuk pulang ke negerinya Syam dan tidak sabar lagi untuk melihat bagaimana keadaan puterinya yang cacat yang dikatakan sudah menjadi wanita sempurna oleh Rasulullah s.a.w. itu.
Ketibaan Raja Habib bin Malik di istananya disambut dengan meriah kebesaran raja-raja oleh rakyatnya. Di pintu gerbang beliau disambut oleh puterinya yang kini telah mempuyai anggota badannya yang lengkap sempurna dengan ucapan pertamanya, `Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan aku bersaksi bahawa Muhammad s.a.w. adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.`
Betapa heran terkejut dan gembiranya Habib bin Malik mendengar ucapan peterinya lalu ia bertanya, `Wahai puteriku, daripada manakah kamu mengetahui ucapan seperti ini? Siapakah yang mengajar kamu?` Jawab puterinya, `Aku telah bermimpi dalam tidurku, aku didatangi oleh seorang lelaki kacak rupawan, dia berkata ayah telah memeluk Islam dan jika aku mahu menjadi muslimah, anggota tubuhku akan menjadi lengkap sempurna. Tentulah aku mahu dan kemudian aku mengucapkan dua kalimah syahadah, seperti yang ayah dengar. `Mendengar itu Habib bin Malik pun bersujud ke hadrat Allah s.w.t. dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT. Selepas itu Raja Habib bin Malik mengirimkan pelbagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. sebagai tanda berterima kasih di atas pertolongan yang diberikan kepada puteri yang amat dikasihinya itu.
Ada pun Abu Jahal dan juak-juak kafirnya tetaplah kafir walau pun melihat mukjizat yang agung dan nyata dari Rasulullahg s.a.w. itu malah bertambah-tambah kufurnya kerana menganggap mukjizat yang berlaku pada diri Rasulullah s.a.w. itu sebagai suatu sihir yang kuat, pada hal Allah Maha berkuasa berbuat sesuatu tanpa menyesuaikan lojikal pemikiran akal manusiawiah [melakukan perkara luar biasa pemikiran dan pengalaman manusia] sebab itu perkara berkaitan mukjizat atau keramat boleh menyebabkan berimannya seorang kafir atau bertambah kafirnya orang yang kafir apabila ia mengukur sesuatu kebenaran mukjizat dengan fikir logikal akalnya semata. Namun begitu mukjzat boleh menyebabkan bertambah kuat imannya kepada orang yang beriman. Dalam peristiwa Rasulullah s.a.w. membelah bulan ini [hakikatnya berlaku adalah dengan kudrat Ilahi] terhadap sikap orang kafir ialah sebagaimana Firman Allah s.w.t ini:
وان يروااية يعرضوا ويقولوا Ø³ØØ± مستمر
[QS: AL Qamar:2]
Maksudnya: "Dan jika mereka melihat [yaitu orang orang kafir Quraisy] sesuatu tanda [suatu mukjizat yang timbul dari Nabi saw] mereka berpaling dan berkata: [ini adalah] sihir yang kuat [sihir yang paling kuat, berasal dari kata Al Mirrah, ertinya kuat atau terus menerus].
Wallaahu a`lam.
Wassalam.
Al Fakir ilaLlah.
Tiada ulasan