Header Ads

Cermin Diri Sebagai Khalifah Allah

Bismillahi Rahmani rahim. Assalaamualaikum Wrt.Selamat sejahtera semua. Tidur bangun pejam celek kita dah masuk bulan lima dah hampir setengah tahun  bagi tahun 2010M. Bagaimana kemajuan diri kita zahir dan batin sekarang? Mudah-mudahan anda dan saya berkeadaan lebih baik kini daripada dahulu ia itu hari-hari yang telah kita tinggalkan.
Antara sifat-sifat  muslim sejati yang sepatutnya ada pada kita  sebagai khalifah Allah di atas muka bumi adalah  sifat-sifat seperti di bawah. Jika ada alhamdulillah - beryukurlah kepada Allah SWT. Jika tidak ada sifat-sifat tersebut maka kita usahakan supaya menjadi suatu kenyataan pada hari-hari yang akan datang yaitu:
1. Khuyu` dalam solat[Sembahyang].
2. Menunaikan semua rukun-rukun Islam yang lain.
3. Redho dengan taqdir [Ketententuan Ilahi] atas diri kita.
4. Sabar setia menanggung ujian Allah [As-sabaru minal-iman]
sebab sabar itu adalah daripada adanya iman.
5. Bersyukur kepada nikmat Allah [nikmat ijad dan imdad] yang kita terima.
[nikmat  paling besar ialah nikmat iman dan menjadi seorang Islam yang patuh].
6. Jauhkan diri daripada atau tidak menjamah maksiat [segi hukum agama].
7. Senentiasa mengingati Allah Tuhan kita [zikirillah] dan Istighfar.
8. Ada melakukan mujahadah [melawan tuntunan hawa nafsu jahat dan hasutan syaitan]
9. Berakhlak mulia [ ada peri kemanusiaan ] tidak terlalu materialistik dan hidonisme.
10. Tidak boros[ atau terlalu bermewah-mewah] dan bersederhanaan dalam semua perkara.
11. Ada sifat kasih sayang  dan peri kemanusiaan-Tidak melakukan kezaliman.
12. Tidak berputus asa dan jangan lupa diri jangan lupa Tuhan.
[miskin tidak berputus asa kaya tida lupa daratan......]
13. Nasihat-menasihati [Addinu-Nasihah].
14. Suka berbakti dan berbuat kebajikan.
15. Bersungguh-sungguh dalam amal ibadah [konsentrasi dan banyakkan lagi]
16. Jihad [Jihad banyak cawangannya dan jenisnya] sebagai usaha utama kita.
17. Suka dan kasih kepada semua saudara -suadara muslimin-mukminin.
18. Menjaga hak-hak kejiranan [jangan menyakiti jiran] tetangga.
19. Taqwa letakan di hadapan kita dalam semua situasi dan tindakkan.
20. Kematian hendak lah selalu diingatkan dan berusaha menyediakan bekalan.
21. Ihsan dan ehsan dua sifat di sukai Tuhan utamakan dalam kehidupan.
22. Pematuhan kepada syariat zahir [fekah] dan syariat batin [tasawuf].
23. Dan jika ada lagi! tolong tuan  tambahkan...
Begitulah antara banyak lagi sifat-sifat muslim sejati yang sesuai dengan pernyataan muslim itu adalah `khairun ummah` yaitu umat terbaik daripada segala umat manusia [agamanya] yang menjadi khalifah Allah di atas muka bumi. Di dalam Al-Quran  ada beberapa kali Tuhan menegaskan bahawa  salah satu fungsi manusia di ciptakan ialah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini iatu seperti berikut:
1. Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: `Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi` [2:30]
2. Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa [khalifah] di bumi..........[6:165]
3. ...Musa menjawab: `Mudah-mudahan Allah membinasakan musuhmu dan menjadikan kamu Khalifah dibumi... [27:62]
4. Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi... [35:39]
5. Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah [penguasa] di muka bumi.... [38:26]
Ada pun khalifah itu adalah `wakil penguasa` yakni wakil Allah yang di beri kuasa mentadbirkan bumi ini. sebagai wakil kepada Pengauasa Yang Sejati maka Penguasa [Allah] telah membekalkan kepada wakilnya syarat-syarat yang mesti di patuhi semasa mentadbir [menguruskan] bumi atau dunia ini dengan menurunkan kitab-kitab bimbingan dan peringatan melalaui para Rasulnya semenjak Adam Alaihis-salam yang berakhir dengan Al-Quran yang di bawa oleh Muhammad saw. Al-Quran adalah risalat atau Al-Kitab yang paling sempurna sebagai bimbingan [memenuhi hukum dan syarat] kepada manusia sebagai khalifah dimuka bumi hingga lah datangnya hari kiamat. Dengan ini semua risalat-risalat terdahulu aturan-aturan lain atau isme-isme lain yang  baru di fikir dan direka oleh manusia yang baru timbul selepas Al-Quran adalah dikira batal di sisi Allah walau pun manusia seluruhnya mengakurkannya. Semua sekali aturan-aturan, syarat-syarat, hukum-hukum yang di guna pakai  tetapi idea-ideanya atau prinsipnya  atau pun kias dan ijma`nya yang tidak selaras dengan  kehendak atau wahyu Allah [Al-Quran] untuk kehidupan manusia [yang telah dilantik sebagai khalifah di muka bumi] adalah semuanya batil dan batal di sisi penerimaannya oleh Allah. Jika berlaku batal disisi Allah maka penyelewengan terhadap tugas  dan tanggungjawab  manusia sebagai khalifah Allah telah berlaku. Dengan itu pembicaraannya di padang mahsar di hadapan Allah SWT kelak adalah menjadi suatu persoalan besar terhadap kita manusia yang dikira engkar dan tidak menanggung amanah Allah SWT. Justeru setiap orang perlu memikirkan penyelamatan dirinya sendiri disamping menasihati orang lain terhadap apa saja penyelewengan yang tidak membetuli amanah Allah SWT. tersebut. Maka setiap kita berkewajipan menyedari dan mematuhi amanat Allah  sebab kita manusia telah dilantik sebagai khalifahnya atas muka bumi. Sungguh hebat sekali bebanan ini namun sungguh mulia  sekali darjatnya disisi Allah jika dipatuhi.
Daripada aspek yang lebih khusus pembicaraan ini sesesorang hendaklah faham bahawa syariah ialah perintah [Allah] untuk beriltizam [menetapi] `ubudiah, sedangkan mengenai haqiqat ialah musyahadah [pengakuan dan penyaksian] akan rububiayah [ketuhanan]. kerana itu, syariat yang tidak dikokohkan oleh hakikat, tidak juga diterima. sedangkan hakikat yang tidak diikat oleh syariat, tidak akan tercapai[batal]. Syariat {aturan Ilahi melalui Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw} datang dengan membawa taklif [kewajiban] kepada seluruh manusia [khalifah Allah atas muka bumi], sedang hakikat ialah pengkhabaran tentang perlakuan al-Haq sebagai talinya iman manusia terhadap Al-Haq. Jadi, syariat ialah agar engkau menyembahNya [Mematuhi segala perintah dan syarat-Nya] sedangkan hakikat ialah supaya engkau menyaksikan-Nya sebagai Yang Maha Mulia Yang Dipertuan kepada kita manusia - `Rabbin-Nas` [Yang melantik manusia sebagai wakilNya-sebagai Khalifatullah di atas muka bumi]. Jelasnya syariat ialah perlaksanaan dari apa yang diperintahkan, sedang hakikat  adalah penyaksian terhadap qahda`dan qadar-Nya dengan segala hikmah kebijaksanaan-Nya.
Dalam surah Al-Insaan  ayat 1 hingga 3  wahyuNya adalah seperti berikut:
1. Tidakkah telah terjadi pada manusia dalam suatu saat ia tidak dapat disebut apa-apa.
2. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes air mani yang bercampuran. kemudian kami mengujinya dengan perintah dan larangan dan kami jadikannya mendengar dan melihat.
3. Sesungguhnya Kami-lah yang menunjukkan jalan yang lurus dan baik untuknya,maka ada yang menerimanya dengan syukur dan ada yang mengingkarinya dan kafir.
Dalam tiga ayat pembukaan bagi surah Al-Insan ini Allah memperingatkan manusia supaya mengenal awal kejadiannya, ketika dahulu sebelum ia diciptakan oleh Allah siapakah dan di manakah  ia dan apakah ia. Kemudian menciptanya dari setetes air mani ibu dan ayah yang bercampur, kemudian dibentuk oleh Allah dari hal keadaan kepada hal keadaan yang lain. Dari suatu bentuk ke lain bentuk hingga lengkap sempurna dengan panca inderanya mendengar dan melihat serta perasaan dan fikiran aqalnya. Kemudian menempuh ujian Ilahi dengan tuntunan perintah dan laranganNya dan di peringatkan dengan janji dan ancaman-Nya. Allah telah menurunkan kitab tuntunan-Nya {Al-Quranul-Karim] dan mengutus Rasul-RasulNya untuk memberikan contoh kepadanya bagaimana melaksanakan semua perintah dan ajaran Allah sesuai dengan kehendakNya yang menjadikan manusia khalifahnya di muka bumi. Lantaran itu ada yang mensyukuri nikmat Allah dan beriman serta patuh, dan ada pula yang ingkar yang menolak ajaran Allah SWT. dan kafir kerana menurut hawa nafsu syahwat dan kedegilannya.
Wallahu`alam
wassalam.
Al-fakir IlaLlah.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.