Header Ads

Pentingnya Memahami Salasilah Sesuatu Thariqat

Pentingnya Memahami Peranan Dan Pengertian Salasilah Sebelum Dan Sesudah Menghayati Sesuatu Thariqat.
oleh Faqir Amal
Bila disebut Thariqat maka Mursyid adalah perkara yang amat mustahak. Thariqat ialah perjalanan menuju Allah Ta’ala manakala Mursyid lah yang memimpinnya ke arah tujuannya itu. Kalau Thariqat diibaratkan sebagai sampan manakala Mursyid pula diibaratkan sebagai nakhodanya yang memimpin haluan sampan tersebut. Kedudukan Mursyid di dalam sesebuah jemaah Thariqat tidak keterlaluan faqir katakan adalah ibarat nyawa bagi sebuah jasad. Tidak hairanlah ada ahli sufi yang berpendapat: “Rahsianya (intipati perjalanan thariqat) itu adalah pada masya’ih bukannya pada zikir”. Dan berkata Syeikh Tajaldin Naqsyabandi dan perkataan ulama-ulama sufi yang lain juga ada menyatakan senada dengannya iaitu : “Barang siapa tiada baginya syeikh (guru mursyid) maka syaitanlah syeikhnya”. Perkataan diatas merujuk kepada guru kerohanian yakni yang menjalani jalan Thariqat kerohanian.

Kepentingan Mursyid didalam perjalanan kerohanian juga samalah dengan orang yang menunjuk jalan dan sudah mahir dengan perjalanan itu memimpin jalan bagi orang yang belum pernah berjalan ke destinasi tersebut bahkan tiada tahu selok beloknya maka mengikuti arahannya serta mempercayainya adalah suatu kemestian. Maka dalam menentukan keabsahan dan keesahan terhadap kepakarannya dalam selok-belok perjalanan amat mustahak diteliti supaya terselamat daripada bahaya kesesatan samada bagi pihak pengikut mahupun dirinya sendiri.

Dalam menentukan keesahan atau kebenaran seseorang Mursyid mengikut adab syariat dan adab Thariqat terdapat beberapa perkara pokok. Cuma yang ingin faqir ketengahkan ialah peranan salasilah Thariqat kerana ianya sering dilupai oleh kebanyakkan orang mungkin dikaburi atau dilupai oleh cerita-cerita karamah seseorang yang dianggap mursyid itu atau terlalu terpengaruh dengan rupa atau cerita wara’ atau kealiman dan sebagainya. Bukan faqir maksudkan wara’ dan alim itu tidak penting ianya juga penting tetapi yang paling kurang dilihat dan diteliti ialah tentang sanad salasilah Thariqat guru tersebut.

Banyak peristiwa pincang yang berlaku dalam sesuatu jemaah Thariqat sebenarnya berpunca daripada masalah ini. Kebanyakkan ahli Thariqat yang faqir jumpa juga sering meringan-ringankan perkara ini. Faqir kurang pasti mengapa tetapi yang nyatanya dari sebab inilah berlaku perselisihan, perpecahan, penyelewengan, dakwa mendakwa. Dan timbullah persoalan iktiraf dan tidak iktiraf dan akhirnya menjurus kepada persoalan mencari ganti syeikh yang tak habis-habis dipersoalkan siapa pengganti sebenar? Ianya juga berpunca dari masalah kejahilan dan masalah mazmumah di dalam hati yang belum selesai dan syaitan memang suka mengocah persoalan ini agar hancur organisasi sesebuah jemaah Thariqat. Sebab itu faqir mengingatkan diri faqir sendiri dan semua sahabat-sahabat faqir disini agar ditentukan susur galur salasilah Thariqat sebelum mahupun sesudah menghayati sesuatu amalan Thariqat.

Faqir berpendapat mungkin seseorang yang ingin berthariqat mungkin kurang didedahkan atau tak tahu menahu kepentingan peranan salasilah. Sedangkan berguru Thariqat yang tidak bersambung salasilahnya dengan ulama-ulama asalnya sehingga bersambung dengan Rasulullah S.A.W hukumnya haram kerana terputus wasilah dalam menyampaikan matlamat. Sebab itu bukan mudah untuk kita berguru dengan seseorang kecuali telah dibuktikan bahawa guru yang kita anggap sebagai guru itu memiliki sanad salasilah Thariqat yang mutashil (bersambung) sehingga Rasulullah S.A.W disamping kita melihat kepada faktor-faktor lain yang selari dengan adab syariat dan adab Thariqat.
~~~~~ o O o ~~~~~

Apakah yang di maksudkan dengan salasilah Thariqat dan mengapa salasilah Thariqat itu penting?
Seseorang
yang dianggap mursyid ialah seseorang yang telah berguru sebelumnya dengan gurunya terdahulu dan sehinggalah bersusun sampailah kepada tabi’in kepada sahabat dan akhirnya bertemu kepada Rasulullah S.A.W dan mestilah didokumenkan dalam bentuk bertulis dan disahkan oleh gurunya yang terdahulu dengan ‘memberi izin’ bagi menjalankan atau menyebarkan Thariqat tersebut serta mahsyur sanadnya mengikut adab Thariqat.

Salasilah ini penting kerana beberapa sebab iaitu:

i) Bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan rohaniah) atau limpahan rohani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya iaitu Rasulullah S.A.W. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan keberkatan imdad bir rohaniah dari segala masya’ih yang terdahulu sehingga Rasulullah S.A.W yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah (tarikan kepada Allah yakni zauq fana’fillah dan baqa’billah).

ii) Bagi yang terputus wasilah rohaniahnya maka terputuslah apa yang dipanggil rabithah mursyid (pertalian mursyid). Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh batin seperti iblis, syaitan, jin dan segala perkara yang membahayakan perjalanan rohaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut. Sebab itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke martabat wali, martabat sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri, taa’sub, sudah pandai menilik dan dikatanya sudah dapat kasyaf, pandai mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu’) bagaimana pula dia nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi. Satu perkara lagi sifat orang yang terputus sanadnya suka kondem orang lain yang nyata kondemnya itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya yang sah, betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya dua perkara ini selalu dilakukan bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam perjalanannya.

iii) Sebagai bukti atau hujah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin daripada syeikhnya yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran Thariqatnya itu kerana sanad salasilah yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah S.A.W itu seumpama otoriti yang sangat berwibawa tanpa dapat dipertikaikan lagi dari sudut keizinan dan kelayakannya dalam memimpin murid. Dan inilah adab yang amat penting dalam Thariqat.

iv) Salasilah juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan atau pindaan atau saduran darihal penyampaian ilmu Thariqat itu sendiri dan lazimnya salasilah ini dikepilkan bersama ajaran-ajaran, adab-adab serta segala keterangan maqam-maqam zikir Thariqat yang direkod bersama dari turun temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau diciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal.
~~~~~ o O o ~~~~~

Pesanan Ulama Sufi yang muktabar dalam kepentingan mengetahui salasilah Thariqat.1. Kata Syeikh Amin Kurdi dalam kitabnya Dhiya’ul Iman:
Ketahuilah bahawa seorang murid dijalan Allah yang mahu bertaubat dan menghilangkan sifat kelalaiannya wajiblah ia mencari seorang syeikh yang ada di zamannya. Iaitu seorang yang sempurna suluknya (perjalanannya) syariat dan haqiqat mengikut Al Quran dan Al Hadis juga sentiasa berpandukan para Ulama hingga sampai ke maqam ar-rijalul kamal. Syeikh itu telah sampai kepada keredhaan Allah dan suluknya juga adalah dibawah pimpinan seorang mursyid yang mempunyai persambungan salasilah hingga ke Rasulullah S.A.W. Ia juga mestilah telah mendapat izin dari syeikhnya untuk menyampaikan ajarannya kepada orang lain. Ia juga mempunyai ilmu dan makrifah yang benar dan bukan jahil dan bukan kerana didorong oleh keinginan nafsu dirinya. Oleh yang demikian syeikh yang arif yang mempunyai persambungan salasilah itu adalah merupakan wasilah kepada Allah bagi seseorang murid itu. Syeikh itulah juga merupakan pintu menuju kepada Allah yang akan di lalui oleh murid itu. Sesiapa yang tiada mempunyai syeikh yang memimpin dan mengasuhnya maka syeikhnya adalah syaitan”.

2. Katanya lagi:
Tidaklah boleh seseorang itu membuat bai’ah dan memimpin para murid kecuali setelah ia mendapat tarbiyah dan keizinan mursyidnya seperti yang ditegaskan oleh para masya’ih. Orang yang berbuat kerja demikian itu padahal ia bukan ahlinya yang sebenar , akan lebih banyak merosakkan dari memberi kebaikan. Ianya akan menanggung dosa sebesar dosa seorang perompak kerana ia telah memisahkan murid dari syeikh yang arif sebenarnya”.

3. Berkata Syeikh Amin Al Kurdi dalam kitab Dhiya’ul Iman fi Thariqah Ar Rahman pada membicarakan kepentingan salasilah iaitu:
Adalah sangat wajar bagi para murid dijalan Allah itu untuk mengetahui salasilah para syeikh mereka itu hingga sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bila kedudukan syeikh mereka jelas dan benar ada persambungan salasilah hingga kepada Rasulullah S.A.W maka jika para murid itu mahu mendapatkan pertolongan limpahan rohaniah dari syeikh mereka itu mereka akan berhasil apa yang dimaksudkan. Seseorang yang salasilahnya tidak bersambung hingga kepada Nabi Muhammad S.A.W maka ia adalah terputus dari limpahan rohaniah tersebut. Oleh itu ia bukanlah menjadi waris bagi Rasulullah S.A.W dan TIDAK boleh diambil bai’ah dan ijazah daripadanya”.

4. Berkata Al Imam Abdul Wahab Asy Syaroni di dalam kitab Madarijus Salikin:
Hei para murid! Semoga Allah memberikan keredhaanNya kepada kami dan kamu. Sesungguhnya orang yang tidak mengetahui bapanya dan datuknya didalam jalan ini (ilmu Thariqat), maka ia adalah buta. Mungkin juga orang yang tersebut dinasabkan (dibinkan) kepada orang lain yang bukan bapa sebenarnya. Jika begitu maka bermakna ia termasuk kedalam apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W: ‘Allah melaknat orang yang dinasabkan kepada orang lain yang bukan bapanya yang sebenar”.

Maksud bapa dan datuknya ialah para guru-guru yang terdahulu (para masya’ih) kerana guru mursyid kita ialah bapa rohani manakala guru kepada guru kita adalah datuk rohani kepada kita sehinggalah seterusnya sampai kepada Rasulullah S.A.W iaitu sumber segala rohani yakni benih sekelian alam dan induk rahmat Allah Ta’ala dengannya melimpah sekelian rahmat Allah atas setiap kejadian.

5. Berkata Syeikh Abdul Qadir Al Jilani dalam kitabnya Sirrul Asrar:
Sahabat R.A adalah ahli jazbah (ahli tarikan batin) kerana kekuatannya menemani Nabi Muhammad S.A.W. Tarikan batin tersebut menyebar kepada syeikh-syeikh Thariqat dan bercabang lagi pada salasilah yang banyak sehingga semakin melemah dan terputus pada kebanyakkan umat, yang tinggal adalah orang-orang yang meniru-niru sebagai syeikh tanpa makna kedalaman dan tersebarlah kepada ahli-ahli bidaah”.
Ini menunjukkan ‘karan’ atau jazbah fillah akan turun kepada kita melalui susur galur salasilah Thariqat.

6. Berkata Sultanul Aulia Syeikh Abdul Qadir Al Jilani lagi:
Bagaimana cara menentukan Tasawuf yang benar? Caranya dengan dua macam: (Pertama) Lahiriahnya. (Kedua) Batinnya. Lahiriahnya memegang teguh pada aturan syariat dalam perintah mahupun larangan. Batinnya mengikuti jalur suluk dengan pandangan hati yang jelas bahawa yang diikutinya adalah Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Muhammad S.A.W merupakan perantara antara dia dengan Allah. Dan antara dia dengan nabi adalah roh rohani Nabi Muhammad S.A.W yang mempunyai jasmani pada tempatnya dan rohani pada tempatnya, sebab syaitan tidak akan menjelma menjadi nabi dan itu merupakan isyarat pada orang-orang salikin agar perjalanan mereka tidak dalam keadaan buta. Pada fasal ini terdapat tanda-tanda yang sangat halus untuk membezakan mana golongan yang benar dan yang salah, yang tidak dapat ditemukan kecuali oleh ahlinya”.

Maksud di atas ialah bagi menentukan tasawuf yang benar ialah zahirnya mengikut syariat dan batinnya mengikut jalur suluk (yakni perjalanan yang berantai salasilah sehingga berakhir kepada Nabi Muhammad S.A.W) supaya hingga jelas hati murid mempertemukan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi sebagai washitah (perantara) yang menyampaikan kepada Allah yakni makrifat terhadap Allah dengan sebenarnya kerana jika terputus salasilah bereti terputuslah wasilah dan akibatnya akan kelirulah perjalanannya dan payahlah seseorang itu membezakan dapatan rohaniah yang haq dengan yang batil kerana perkara ini amatlah halus lagi sukar. Jangan dikata cahaya itulah diri dan jangan disangka bayang itulah sebenar. Jangan dikata zauq itulah muktamad kerana syaitan masih boleh memberikan rasa zauq dan segala pembukaan yang palsu! Maka berlindunglah kita kepada Allah dari segala tipudaya makhlukNya. Maka tiada yang mengetahuinya melainkan ahlinya yang berjalan mereka itu mengikut akan mengikut orang yang mengikut akan Nabi Muhammad S.A.W pada zahir (syariat) dan batinnya (rabithah rohaniah yakni Thariqat yang menyampaikan haqiqat). Bak kata pepatah: Hanya jauhari jua yang mengenal manikam.

~~~~~ o O o ~~~~~
Rumusan


Justeru itu hendaklah kita fahami apabila dikatakan ‘Thariqat’ maka disana ada didalamnya beberapa perkara yang tidak terpisah ibarat ‘irama dan lagu’ iaitu:

1. Mursyid berkait dengan
2. Salasilah dan keizinan berkait dengan
3. Rabithah rohaniah (pertalian) berkait dengan
4. Adab-adab berkait dengan
5. Zikir dan maqam-maqamnya berkait dengan
6. Muraqabah dan musyahadah terhadapNya

Kesemuanya ini adalah wasilah pokok dalam Thariqat dan keenam-enam inilah di panggil ‘Thariqat’. Keenam-enam perkara diatas juga ada yang dizahirkan dan didokumentasikan dan ada yang dibatinkan yakni tidak dinyatakan atau tidak didokumentasikan khusus yang berkait dengan dapatan atau penemuan rohaniah yang menjadi adab supaya tidak dinyatakan. Namun perkara seperti salasilah dan keizinan adalah perkara yang wajib dinyatakan supaya diketahui akan nasab rohaniahnya dan supaya tidak kita dianggap anak yang tiada bernasab seperti yang dinyatakan oleh Al Imam Abdul Wahab Asy Syaroni RA dan yang lebih ditakuti kita menyeleweng dari usul dan kaedah kaum sufi secara tidak kita sedari.

Tidak ada keringanan dalam perkara salasilah ini, jangan pula ada pihak yang berkata salasilah ini tak penting yang pentingnya ialah haqiqatnya atau makrifatnya. Jika ada pihak yang berkata begitu, terus segera tinggalkan orang itu kerana orang itu telah mengajar suatu pemahaman yang tidak betul yakni menyalahi usul mengikut kaum sufi kerana bagaimana buah itu lahir tanpa pokok dan benihnya? Sebab itu kata Ulama sufi: “Barangsiapa menyalahi ushul maka diharamkan dia daripada wushul (sampai kepada makrifat Allah Ta’ala dengan makrifat sebenarnya)”. Yakni barangsiapa menyalahi perkara-perkara yang telah disepakati oleh kaum sufi maka terlerai dia daripada jalan mereka. Bersama kita berlindung dengan Allah Ta’ala daripada bahaya-bahaya ini dan tipudaya makhlukNya.

~~~~~ o O o ~~~~~

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.