Header Ads

Mari Bertaubat Di Pintu Ilahi

Bismillahi Rahmani Rahim
Alhamdulillahi Rabil A`lamin. Wasalatu wassalam `ala Rasulihil karim Sayyidina wamaulana Muhammadin sayyidil mustaghfirin waala alihi wasahbihi ajma`in wa ahli ta`atika ya Arhamar Rahimin.Aamiin.
TAUBAT
Taubat itu adalah juru ingat Tuhan di dalam hati setiap insan Muslim
ialah warisan keemasan untuk setiap insan dari Allah Tuhan Yang Maha Hakim.

Kata Nabi Muhammad Rasulullah salallahu alaihi wasallam,
`Taubat itu ialah menyesali kesalahan`.

Taubat yang sempurna ada tiga syaratan
pertama:Menyesali kesalahan
Kedua:meninggalkan terus kesalahan berkaitan
ketiga:Bertekad tidak kembali lagi kepada kemaksiatan yang dikesalkan.

Namun jika terkena juga kemaksiatan kerana kelemahan kemanusiaan
rujuk lah balik firmannya Tuhan
Ertinya; `Bagi tiap-tiap masa ada ketentuan` [Qs,ar-Ra`dh:13:38].

maka janganlah putus asaan
taubatlah walau pun berulang-ulang.
Taubat itu ada tiga tahapan;
Tawbah
Inabah
Awbah.

Tawbah itu taubat lantaran kesedaran kesalahan diri sendiri.
Inabah itu berpaling hati kepada Tuhan-lantaran pahala janjian Ilahi.
Awbah itu kembali-lantaran mematuhi segala titah perintah Tuhan Maha Suci.

Ada pelbagai rona dan cita-rasa taubatan ahli ilmu yang bermutu
katanya taubat itu adalah bahawa engkau tidak melupakan dosa-dosamu
ada yang kata taubat itu bahawa engkau benar-benar melupakan dosa-dosamu itu.
Dan juga ada yang kata taubat itu engkau berpaling dari segala sesuatu selain Allah Yang Satu.
Masya` Allah... Maha Agong Allah.

Tingkat manusia bertaubat ada tiga;
bertaubat dari dosaannya
bertaubat dari kealpaaannya
bertaubat dari kesedaran akan perbuatan baiknya.

Ketahuilah tuan masaalah taubat itu biar rata-rata
jika mohon ampunan tampa wara` itulah taubatnya pendusta
jika hanya di hujung lidah terlancarnya kata
`Astaghfirullah!... sahaja.

tiada ketahuan siapa yang di pasrahankan kata-kata.
terkadang kata begitu hanyalah semua helahan belaka
menipu belit mencuri menggoda merebut dunia semata-mata
konon dirinya golongan beriman semua urusan tipu belit mudah dipercaya.

Ketahuilah tuan prinsipnya nasuha taubatan
tidak kembali kepada sesuatu yang telah di tinggalkan
tidak meminta sesuatu selain yang Esa yang di tujukan
menjaga lubuk hati daripada inginkan perkara yang telah dijauhkan!
pengalaman manis dahulu menjadi kepahitan
tapi jika sungguh jiwa raga mu taubatan
pengalaman mendatang kan menjadi kemanisan.

Memang saat mengingati dosa rasa gelisah menghimpit-himpit
hidup dalam dunia luas ini pun sungguh terasa sempit
laksana seekor enggang telah bertukar menjadi pipit.
bencikan dunia dimana dosa yang pernah dikejar dan yang dikepit.

Ketahuilah tuan wahai tuan saudara saudari ku sayang
taubat itu suatu warisan keemasan kita anak Adam
kalau kita lakukan Iblis Syaitan jadi jatuh pengsan kegagalan!

Befirman Tuhan Maha Pengampun:
`Dan jiwa mereka pun telah sempit (terasa) oleh mereka
serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah
melainkan kepadaNyalah sahaja.
Kemudian Allah menerima taubat mereka
agar mereka tetap dalam taubatnya` [Qs:At-Taubah,9:118]

Dan Allah membangkitkan orang-orang bertaubat
daripada kubur-kubur mereka
dalam keadaan gembira.....!!

Ditambah sabda Rasulullah saw yang mulia
`Orang yang bertaubat dari dosa
adalah seperti orang yang tidak berdosa
dan jika Allah mencintai seorang hamba
nescaya dosa tidak melekat pada dirinya` [HR:Anas bin Malik]

Allah SWT berfirman:
`Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang bertaubat
dan menyukai orang orang-orang menyucikan diri` [QS,Al-Baqarah,2:222]

`Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah
hai orang-orang yang beriman` [QS:An-Nur,24:31]

supaya kita mendapat khitob seperti firman-Nya Allah SWT:
`Dia adalah sebaik-baik hamba
sesungguhnya dia amat taat[kepada Tuhannya]'. [QS:Shad 38:30]

Marilah kita bersama mengikut jejaknya Rasulullah S.A.Wasallam
serta dengarlah pesanan Allah kepada Baginda rahmat kepada kita sekelian,
`Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah ikut lah aku
nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu` [QS: Ali-Imran 3:31].

Bismillahi Rahmani Rahim
Ya Allah ya Ilahi ya Rabbi ya Karim
hamba berseru dengan segala kerendahan hati
ampuni kami semua ini yang banyak mengzalimi diri
yang telah membuat anianya terhadap diri kami sendiri
andainya kalaulah tidak Engkau yang mengampuni
menjadilah kami ini orang -orang yang sangat rugi
di hari pengadilan Mu di akhirat nanti
dan kalaulah tidak kami merayu ampunan Mu semasa di dunia ini

maka ketika bila kah dan kepada siapa lagi?
Oh Tuhan kami hamba bermohon dikasihani
di pintu taubat mu yang masih terbuka ini hamba berebah diri.
Bahawa Engkau lah sahaja Tuhan kami Allah Yang Maha Esa
lagi Yang Maha berkuasa dan Yang Maha Mengampuni.
Ampunilah kami ya Rabbi.
Amin. Ya Rabbil `alamin.

Wabillahi taufiq Walhidaayah
Wassalam.
Susunan; Al-Fakir IlaLLah.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.