Sekitar Hukum Daging Kurban
Bismillahir Rahmani Rahim.Alhamdullillahi Rabbil aalamin wabihi nastai`n walahaulawalaa quwwata illaa billahil aliyyil adzim. Wassalaatu wassalam ala Sayyidina Muhammadin waala aalihi wasahbihi ajmain.
Takrif korban dan pensyariatannya.
Dari segi bahasa, perkataan korban adalah nama bagi sesuatu yang dikorbankan atau nama bagi binatang yang disembelih pada Hari Raya Adha. Dari sudut FIQH ia bermaksud menyembelih binatang tertentu dengan niat TAQARRUB kepada ALLAH pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai binatang AN`AM yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah S.W.T. Perintah korban ini telah disyariatkan pada tahun ke dua Hijrah sama seperti ibadat zakat dan sembahyang Hari Raya.
Pensyariatannya sabit dengan firman Allah dalam kitab al-Quran, Sunnah dan ijma` ulama. Ada pun dalil al-Quraan ialah antaranya firman Allah S.W.T. seperti berikut:
Terjemahan; `Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [Surah al-Kauthar]
Terjemahan: `Dan kami jadikan unta [yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu] sebahagian daripada syi`ar...` [Surah al-Hajj 22:36]
HUKUM MENYEMBELIH BERKURBAN
Para Fuqaha berselisih pendapat tentang hukum menyembelih korban samada ia WAJIB atau SUNAT.
Abu Hanifah dan sahabat sahabatnya berpendapat, menyembelih korban adalah wajib, tetapi pendapat dua sahabatnya Muhammad dan Abu Yusuf adalah sunat muakkad. Ulama lain daripada Hanafi mengatakan sunnat muakkad. Ia tidak Wajib. Bagaimanapun ia adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu.
HUKUM DAGING KURBAN.
Menurut kesepakatan para ulama, orang yang berkurban diperintahkan memakan sebahagian daging kurbannya dan menyedekahkan sebahagian yang lain berdasarkan wahyu Allah [Qs.al-Hajj:28] yang ertinya:
`Maka makanlah sebahagian darinya dan sebahagaian yang lain berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir`.
Dan Firman Allah lagi [Qsal-Hajj:26]
Ertinya: `Maka makanlah sebahagaiannya,dan berikan kepada orang-orang yang rela dengan anugerah harta yang ada padanya [yang tidak meminta minta] dan orang yang meminta`.
Sabda Rasulullah s.a.w.
Ertinya: `Makanlah, sedekahlah, dan simpanlah.`
Dalam mazbab Malik berlaku perbezaan pendapat dalam hal apakah perintah memakan daging kurban dan menyedekahkan itu kedua-duanya atau perintah memilih salah satunya.
Tetapi majoriti ulama menyunatkan dibagi tiga, 1/3 untuk disimpan, 1/3 untuk disedekahkan, dan 1/3 untuk dimakan, berdasarkan hadis Nabi Saw:
`Fakuluu watasaddaquu waddakhiruu` Ertinya;`Makanlah, sedekahkanlah, dan simpanlah`.
Menurut Abdul Wahab, memakan daging kurban itu sendiri tidak wajib, walaupun ada ulama lain mewajibkannya. Menurut mazhab Zhahiri, wajib dibahagi tiga seperti kandungan hadis di atas.
PENDAPAT IMAM SYAFI`i.
JIKA KORBAN WAJIB iaitu yang dinazarkan atau pun yang ditentukan samada dengan menyebut `Ini adalah korban`. atau `Aku jadikan binatang ini sebagai korban` maka hukumnya, orang yang berkorban dan ahli keluarga yang di bawah tanggunggannya tidak harus memakannya. Dia wajib mensedekahkan semua sekali. Tetapi anak kepada binatang korban juga perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan ke semuanya oleh tuan yang mengorbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang korban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.
Andaikata jika korban itu KORBAN SUNAT, maka tuannya sunat memakannya, iaitu YANG AFDHALNYA dia hendaklah memakannya BEBERAPA SUAP sebagai mengambil berkat. Ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Hajj 22:28:
Terjemahan: `Hendaklah kamu memakan daripadanya dan menjamunya kepada mereka yang sengsara dan fakir.`
Hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya. Di kalangan Zahiri menyatakan tidak wajib memakan korban ini berdasarkan firman Allah S.W.T.dalam surah a-Hajj 22:36:
Terjemahan...`Dan kami jadikan untuk kamu unta-unta(korban) itu sebagai sebahagian daripada syi`ar Allah`.
Tetapi dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa binatang ternak itu adalah untuk kita manusia. Setiap perkara yang dijadikan untuk manusia maka ia diberi pilihan sama ada mahu memakan atau pun tidak. Orang yang melakukan korban juga boleh menjamunya kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik kepada mereka tetapi boleh dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya.
Mengikut gulongan ulama Syafie Mazhab Jadid: Orang yang berkorban boleh memakan sebanyak 1/3 daripada korbannya. Tetapi mengikut qawl qadim: Harus memakan sebanyak separuh. Yang bakinya hendaklah disedekah.
Adapun pendapat yang asah pula adalah WAJIB bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit, yang boleh disebut sebagai sedekah kepada orang islam yang fakir walaupun hanya seorang. Yang AFDHAL hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap untuk mengambil berkat seperti yang disebutkan terdahulu.
Bagi korban SUNAT, orang yang berkorban boleh samaada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakannya sendiri. Sepertimana dia harus mengambil faedah daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal. Bagi korban yang WAJIB pula kulit binatang itu wajib disedekahkan.
Daging korban juga tidak harus dibawa keluar daripada negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat.
Fadhilat kurban Syariat:
Suatu ibadat untuk bertaqarrub terhadap Allah s.w.t. dan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah atas segala nikmat-Nya yang berbagai. Ia juga bertujuan menjadikan kifarat bagi pelaku ibadat korban atas segala kesalahan dan kecuaian dalam melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan di samping itu ia akan memberi kelegaan juga kepada keluarga orang yang berkorban dan juga kepada orang lain. Dan binatang korban ini akan menjadikan kenderaannya di akhirat kelak. Dan lain lain mamfaatnya lagi. Insya-Allah.
Orang yang melakukan sembelihan adalah sunat menghadap kearah qiblat seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan orang yang berkorban pula disunatkan supaya hadhir dalam upacara penyembelihan korban tersebut. Ini adalah berdasarkan sabada Nabi s.a.w. kepada Fatimah r.a.
Terjemahan: `Pergi dan saksikanlah korbanmu.kerana keampunan diberikan kepadamu pada saat titisan darahnya yang pertama untuk setiap dosa yang telah engkau lakukan.........`(Al-Bada`i, jil.V, hlm.36, Bidayah al-Mujtahid, jld.1. hlm.454).
Dan orang yang berkorban hendaklah berdoa:
Allahuma mingka, walaka salaati wanusuki wamahyaa ya wamamaatilillaahi Rabbil `aalamin, laa syariikalahu, wabizaa lika umirtu wa ana minal muslimiin.
Ertinya: Ya Allah dari Mu dan untuk Mu sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, untuk Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dengan itulah aku diperintahkan dan aku adalah daripada golongan orang Islam.
Selepas itu hendaklah di baca pula:
Bismillahi walLahu akbar. Allaahuma taqabbal minnii.
Ertinya: Dengan nama Allah, Allah Yang Maha Agong, Ya Allah terimalah ia daripada ku.
Peringatan: Ulama maliki, Syafi`i dan sekumpulan ulama Hambali mengatakan: Adalah sunat bagi mereka yang mahu melakukan korban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan zulhijjah sehingga dia telah selesai berkorban. Jikalau dilakukan juga maka hukumnya adalah makruh. Bahkan sebahagian ulama Hambali mengatakan dia haram berbuat demikian. Dalil yang mereka pegang ialah Hadith Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Terjemahannya; `Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijah, dan di antara kamu ada yang mahu berkorban, maka dia hendaklah membiarkan rambut, bulu dan kukunya.`
(Hadits riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari).
Hikmah daripada larangan ini ialah mahu mengekalkan bahagian anggota secara lengkap untuk membebaskan daripada api neraka. Ada pendapat mengatakan larangan ini menyerupai keadaan semasa ihram haji. Pendapat kedua menurut setengah ulama Syafie adalah silap kerana orang yang berkorban boleh bersama dengan isteri dan memakai bau-bauan, pakaian dan sebagainya yang dilarang semasa berihram.
Satu lagi perkara, bagi siapa yang melakukan korban perlaksanaannya adalah disyaratkan dengan niat. Ia itu dilakukan dengan niat untuk berkorban. Penyembelihan yang dibuat tanpa niat untuk berkorban tidak dikira sebagai ibadat korban.Sesuatu perbuatan yang dilakukan untuk tujuan ibadah tidak terhasil tampa niat. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.
Terjemahannya: `Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat dan bahawasanya bagi seseoarang itu apa yang diniatkan`. [HR.Bukhari dan Muslim].
Sebelum berakhir marilah kita renungkan sejenak:
Kurban pada syariat itu walau pun nampaknya payah ia sebenarnya lebih mudah.
Kurban pada thariqat itu walau pun pada kata adalah mudah sebenarnya payah kerana memerlukan mujahadah.
Kurban pada hakikat pula perlu mengentahui hujjah dan musyahadah perlaksanaannya pula adalah paling susah.
Wabillahi taufiq walhidaayah.Wallahu a`lam.
Sempena sambutan Hari raya Korban pada jumaat 10 zulhijjah 1430H bersamaan 27 Nov.2009.
Mudah-mudahan artikel ini memberi mamfaat kepada yang dihormati para pembaca laman ini . Wassalam.
Alfakir Ila Llah.
Jumaat 3 zulhijjah 1430/20 Nov.2009.
Tiada ulasan