Header Ads

Hipotesis Asal Usul Keris

Keris ialah salah satu daripada sekian banyak jenis senjata pendek Melayu Nusantara tetapi paling istimewa daripada jenis lain kerana ia menjadi senjata Kebangsaan Melayu turun temurun dari zaman berzaman hinggalah hari ini.

Mengikut suatu punca meditasi bagi mengetahui asal usul awal penciptaan keris secara kebatinan, keris telah tercipta pada awal abad kedua masihi iaitu apabila terciptanya sebilah keris pertama di alam Melayu bernama Keris Parong Sari, sebilah keris jelmaan ular di Pulau Batu Besi Bueh. Pemilik pertamanya ialah seorang Ratu Jin bermahligai di puncak Gunung Merapi. Setelah beberapa zaman kemudian (diringkaskan cerita) ia menjadi keris milik kebesaran kerajaan Seri Maharaja Sang Sapurba di Bukit Seguntang Mahabiru Palembang, Sumatera. Kemudiannya menjadi pesaka milik kerajaan Melayu Melaka (1400-1511). Riwayat terakhir yang kita dengar mengenai Keris Parong Sari ialah di zaman Sultan Mansur Shah memerintah empayar Melaka seperti mana petikan di dalam Hikayat Hang Tuah :
"Hai Laksamana inilah (Keris Pusaka-p) daripada Paduka Marhum di Bukit Seguntang."  Maka disambut oleh laksamana lalu dijunjungnya, maka dilihatnya keris di ulunya (berpermata-p) ma'nikam hijau, sarungnya ma'nikam merah, salutnya intan dan bercahayanya gilang-gemilang.  Maka dihunusnya keris itu (dicabut dari sarungnya-p) maka dilihatnya (mata keris-p) keris, katanya "Dapat sedikit. (untuk diguna bertikam dengan Hang Jebat-p) tetapi kecil lagi tua (lama) tatahnya sudah samar, loknya tujuh" (H.H. TUAH : BBP.1963, ms : 303)

Itulah gambaran sebilah keris yang lengkap dan terawal di alam Melayu. Kemungkinan besar mengambil contoh dari Keris Parong Sari inilah dibuat keris-keris yang lain baik di Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Borneo, Filiphina, dan pulau-pulau alam Melayu yang lain termasuklah negeri-negeri Asia Tenggara seluruhnya.

Menurut kajian zahir pula ada dijumpai satu senjata pendek yang dibuat dari tembaga dengan ulunya bergambar orang dan bertarikh kira-kira 2000 tahun lebih dahulu di negeri Vietnam.  Bentuknya seakan-akan keris. Dikatakan juga keris yang awal ialah keris Majapahit yang telah digunakan di Pulau Jawa dalam pertengahan kurun ke-14.  Ianya tidak digunakan sebagai senjata tetapi hanya sebagai azimat.

Mengikut keterangan Sir Stamford Raffles bahawa gambar arca di Chandi yang terletak di Suku, negeri Jawa ada menunjukkan gambar seorang sedang membuat keris.  Chandi tersebut mengikut ahli kaji purba bertarikh 1361-1362.  Begitu juga di Chandi Gunung Lawu (awal kurun ke-15) ada menunjukkan gambar beberapa bilah keris.

Mengikut hikayat-hikayat Jawa bahawa keris telah diperkenalkan oleh Sakutram, seorang Raja Beragama Hindu.  Yang semasa kelahirannya wujud bersamanya sebilah keris Pasopati di sebelah anggota badannya. Mengikut kisah lain pula keris diperkenalkan oleh Raden Panji seorang pahlawan di dalam cerita panji. (920M)

Mengikut kajian Sir Crawfurd bahawa keris diperkenalkan oleh Inukarto Pati Raja Jawa di Janggolo pada awal kurun ke-14.  Tetapi Gardner mengemukakan pendapat Dr.Van Tein Callenfels (Belanda) bahawa keris Majapahit telah dicipta di dalam kurun yang ke-7.  Walau bagaimanapun anggapan ini tiada dengan bukti-bukti nyata.  Namun dewasa ini adalah zaman gemilang empayar Melayu Srivijaya berpusat di Palembang Sumatera. Pada zaman kegemilangannya Srivijaya telah menakluki semua kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu dan keseluruhan Pantai Timur Sumatera hingga Utara Pulau Jawa. Kerajaan-kerajaan kuat zaman ini seperti Melayu-Jambi dan Kedah Tua (kurun ke-5 masihi) telah ditakluk oleh Srivijaya. Menjelang tahun 775 masihi Srivijaya menakluk Ligor, Selatan Thailand.  Mengikut catatan batu bersurat di kedudukan  Bukit  bertarikh 682 Masihi menyatakan angkatan tentera Srivijaya menyerang Ligor. Seramai 20,000 orang lebih. Kelengkapan bala tentera yang begitu ramai tentulah dengan pelbagai jenis senjata sesuai dengan taktik peperangan Melayu zaman ini yang menggunakan ilmu gayong atau kemudiannya dikenali sebagai ilmu persilatan Melayu. Tabiat tempur Melayu lebih suka dalam jarak dekat.  Justeru menggunakan senjata pendek termasuklah keris dalam peperangan para hulubalang Srivijaya adalah munasabah. Sesuai dengan istilah perang jarak dekat dalam hikayat-hikayat lama Melayu disebut dengan perkataan "Beramok-amokkan". Maka senjata yang sangat sesuai ialah keris disamping pedang dan lembing, tombak serta lain-lain. Satu contoh mengenai teknik  amok ini terdapat dalam banyak peristiwa dalam hikayat Hang Tuah antaranya seperti berikut :
....maka segala pengawa (pengawal) yang lari itupun berhimpun pula diluar pintu itu duduk bermesyuarat.  Maka kata sekalian  yang berani, "mari kita amok Laksamana ini dengan keris pandak (pendek)."  (HHT. DBP.1963, ms: 253)

 Mengikut pendapat Griffith Williams keris telah diciptakan di dalam kurun ke-14 dan 15 dan telah dijadikan senjata kebanggaan kerajaan Majapahit. Kerajaan Majapahit bangkit selepas menewaskan kerajaan Singhasari di bawah Raja Kertanegara (1268-1292) di zaman gemilang.

Empayar Majapahit di bawah pemerintahan Hayan Wuruk (1350-1389 masihi) dengan Perdana Menterinya yang tersohor Patih Gajah Mada keris menjadi satu senjata yang amat dimuliakan.  Ia menjadi alat kebesaran Diraja.  Pakaian  para pembesar dan sebagai hadiah utama kepada yang berjasa. Nilai kecantikan sebilah keris bersama sarung dan ulunya yang lengkap menunjukkan taraf hidup atau pangkat serta kekayaan seseorang pada zaman itu.  Ini menunjukkan budaya menggunakan keris dalam tamadun Melayu telah wujud lebih lama sebelum munculnya kerajaan Majapahit.  Oleh itu pendapat Griffith Williams tesebut tak masuk akal dan boleh ditolak.

ILHAM PENCIPTAAN BENTUK MATA KERIS
Mengikut pendapat G.B. Gardner (1936) bahawa bentuk keris yang asal iaitu keris Majapahit adalah ditiru daripada bentuk senjata pendek yang dibuat daripada sengat ikan pari dan demikian juga jenis-jenis keris yang lain. Mengikut teori beliau jikalau sebilah sengat ikan pari dibuang pada bahagian pangkalnya dan kemudiannya dibalut dengan kain maka ia boleh dipegang di antara ibu dan anak-anak jari sebagai senjata pendek yang boleh menikam musuh.  Namun begitu teori sengat ikan pari yang dikemukakan oleh Gardner telah dibidas oleh G.C.Woolley (1947).  Woolley menafikan bahawa, walaupun sengat ikan pari meluas digunakan sebagai senjata tradisi Melayu masa dahulu tetapi tidak bermakna bentuk mata keris ditiru daripadanya. Sengat ikan pari yang diberi ulu dan sarung boleh dianggap sebagai jenis senjata pendek Melayu yang tersendiri -P.

Kata Woolley, para pendekar di kawasan daratan yang jauh dari laut mereka tidak payah mencari sengat ikan pari untuk dijadikan senjata kerana mereka boleh mendapatkan bahan lain yang tajam dan bisa seperti buluh.

Teori sengat ikan pari sebagai idea awal pembentukkan sebilah mata keris boleh dinafikan ialah berkaitan dengan duri-duri yang bergerigi arah ke pangkal. Bentuk gerigi seperti ini tidak didapati pada apa-apa jenis keris pun.  Sengat ikan pari pula tidak berbentuk lebar arah ke pangkalnya sebagaimana  bentuk yang terdapat pada sebilah mata keris.

Griffith Williams menyatakan bahawa keris telah dicipta di dalam kurun  yang ke-14 dan 15 dan telah dijadikan senjata kebangsaan Kerajaan Majapahit. Mengikut beliau, keris telah tercipta daripada mata lembing, senjata yang telah digunakan oleh penduduk-penduduk di gugusan pulau-pulau Melayu (nusantara). Memandangkan bahawa lembing yang mempunyai batang yang panjang maka ianya tidaklah mudah untuk dibawa ke dalam hutan untuk digunakan oleh para pendekar sebagai senjata pelindung diri dalam pertempuran atau untuk dibawa bersama ketika berundur ke dalam hutan jika tewas dalam pertempuran peperangan. Pada zaman besi yang sukar diperolehi itu, pendekar-pendekar yang berundur menceraikan mata lembing daripada batangnya dan menyimpan matanya yang sangat berguna kepada mereka. Dalam hal yang demikian timbul pemikiran bahawa mata lembing ini sangat baik dijadikan senjata pendek jika diciptakan ulu yang khas baginya.

Teori ini mengingatkan kita ada kesamaan teori sejarah terciptanya senjata 'Takpe' di kalangan orang-orang cina selatan yang memberontak menentang tentera Dinasti Ming yang mencipta senjata 'Takpe" dari mata lembing  yang patah atau dipatahkan.

Teori Griffith Williams ini menarik tetapi apabila ia mengatakan keris telah diciptakan dalam kurun ke-14 dan 15.  Kita dapati sedikit kesangsian kerana pada kurun ke-14 keris Majapahit telah digunakan dengan meluas di Nusantara. Buktinya kebanyakkan keris ketika ini mempunyai mata dan ulu yang seiras.  Keris seperti ini tidak boleh digunakan sebagai mata lembing melainkan dengan diikat pada batang lembing dan ini tidak dipraktikkan.  Jika puting keris dimasukkan dalam ulu lembing pula ia juga tidak dipraktikkan kerana puting keris kecil jika digunakan pada ulu lembing yang besar dan panjang,  ia mudah patah. Apabila digunakan dalam pertempuran yang lawannya menggunakan perisai yang keras atau apabila ianya tertikam dan terlekat ke sesuatu obejk yang keras tentulah ia mudah patah.

Oleh yang demikian, jika ilham dari alam kebatinan tidak dianggap tahyul atau fantasi semata-mata maka wujudnya keris yang paling awal iaitu keris Parong Sari dari jelmaan seekor ular pada zaman dahulu kala sebelum bermulanya kerajaan Melayu Tua di Bukit Seguntang Mahabiru bukanlah satu sumber yang tidak boleh diterima pakai. Kadang-kadang perkhabaran ilham dari alam batin adalah lebih tepat dari pemikiran dan teori zaman terutama di mana fikiran dan bukti yang hendak memperkuatkan hujah menemui jalan buntu.  Perkhabaran dari alam kebatinan ini disesuaikan pula dengan pertimbangan akal iaitu kebanyakkan keris Melayu berlok sebagaimanan gambaran Keris Parong Sari.  Lok keris ini bagaimana resam lekokkan-lekokkan badan seekor ular yang sedang menyusur akar.  Ulu keris bagaikan kepala ular tedung yang mahu menyembuhkan bisa terhadap musuhnya dan ekornya yang semakin tirus ke hujung ini bagaikan hujung mata keris yang tajam untuk mempertahankan jiwa raga tuannya.  Ular adalah binatang yang biasa dalam kalangan umat Melayu Nusantara.  Ia digeruni kerana patukannya yang berbisa.  Namun di dalam kepercayaan Hindu, ular dianggap binatang Dewa yang kadang kala dipuja mereka.  Keris bereti Saripati suci.  Pada bentuknya yang berloknya itu pula mempunyai falsafah kehidupan alam semesta iaitu dalam bengkok ada lurus, dalam jahat ada baik, dalam lembut ada keras, ada siang ada malam, dalam senang ada susah, dalam hidup ada mati, dalam penzahiran Jalal ada Jamal, dalam Qahar ada Kamal.  Keris suatu senjata yang penuh berfalsafah hidup bangsa Melayu Nusantara. Keris juga bagaikan salah satu manifestasi yang membayangkan sifat kesempurnaan dan kamalat Tuhan yang wujud tanda-tandanya pada alam semesta ini.

Wallahu'alam

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.