Header Ads

Kenduri Tahlil Arwah Adat Atau Ibadah

Bismillahir Rahmaani Rahim.Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
PENDAHULUAN KATA
Masyarakat Melayu Islam Nusantara telah lama mengamalkan kenduri tahlil arwah apabila sesaorang ahli rumah atau keluarganya meninggal dunia hinggakan hal ini telah menjadi suatu adat dan budaya masyarakat. Bagi kebanyakan orang dalam masyarakat Islam Nusantara dirasakan sungguh janggal jika ditinggalkan amalan ini. Tetapi ada gulungan agamawan yang menentang amalan ini malah dikatakan amalan seperti ini adalah bidaah yang membawa kesesatan beragama kerana hal ini tidak pernah dilakukan zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat baginda. Bagaimanakah pertimbangan dan keputusan kita dalam hal ini? Sila baca seterusnya dan ambil keputusan yang wajar.
Alhamdullillahi Rabbil aalamin wabihi nasta`in wala haula wala quwwataillaa billaahil aliyyil adzim.Wassalaatu wassalam ala sayyidina Muhammadinil basyiiril mubassyiri lilmusalliina bimaa qaallaahul adzimu wa`aqiimissalaata innas salaata tanhaa anil fahsyaa`i wal mugkar wa`aqiimissalaata wa`mur bil ma`ruufi wanha anil mungkar wasbir ala maa `asaabakaa inna zaalika min a`zmil umuur.
MENYELUSUR SEJARAH RINGKAS.
Berkait dengan tajuk di atas timbul pertentangan pendapat antara alim ulama` kita. Ulama baru (zaman ini) ramai yang menentang amalan tahlil arwah dalam masyarakat. Menekala ulama lama sebelum pengaruh modernisasi Islam Syeikh Muhammad Abdul wahab At-Tamimi (1703-1791), menyetujui amalan ini. Berkait dengan hal berbeza pendapat dalam perkara bersangkutan dengan kehidupan dan kematian ini timbul lah dilema dalam hubungan kemasyarakatan orang orang Islam sendiri. Fahaman Wahabi mula menyusup di negara negara Asia Tenggara ialah mulai tahun 1900. Dan di Malaya ketika itu tokoh pemula gerakan ini ialah Sheikh Abdul Hadi dan di ikuti oleh Sheikh Abu Bakar al-Ashaari yang pulang daripada belajar di Mesir pada tahun 1932M. Salah satu antara banyak pertentangan fahaman gulongan wahabi ini dengan gulongan Ahli Sunnah wal jamaah [Penganut mana-mana mazhab imam yang empat iaitu Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali] ialah dalam hal peramalan `Mengadakan zikir tahlil berjemaah` untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
ASAS PERTENTANGAN PENDAPAT
Yang menjadi delema [perasaan serba-salah dan was-was] ialah kepada gulungan muslim biasa yang menjadi anggota kepada masyarakat Nusantara yang telah lama mengamalkan amalan ini [kenduri tahlil arwah] yang seolah-olah telah sebati menjadi suatu budaya bangsa tetapi kini iaitu apabila terbaca buku atau mendengar ceramah- ceramah mengenai amalan-amalan bidaah dalalat dalam masyarakat [bidaah yang boleh membawa kepada hukuman sesat daripada jalanan sunnah Rasulullah saw] oleh pendukung fahaman wahabi iaitu yang oleh pendukung fahaman tua mengkatagorikan mereka adalah gulongan fahaman muda atau fahaman mudah [kerana sifat tidak menghalusi sesuatu masaalah hukum dan syarat dan mereka bersikap selalu `memudah-mudahkan `Pakai bantai sahaja` dengan beralasan memakai dalil Al-Quran dan Hadis tanpa berpegang kepada ijmak dan Qias dan tidak berpegang kepada mana nama mazhab].

PERMASALAHAN
Memang pada zaman dahulu iaitu zaman Rasulullah saw dan zaman para sahabat tidak ada amalan bertahlil dilakukan (ditujukan pahala) keatas orang yang telah mati. Tetapi bagaimana pula amalan ini boleh timbul dan dilakukan dalam masyarakat? Siapakah ulama pemulanya yang mengadakan amalan ini adalah tidak diketahui secara jelas. Tetapi tujuan utama diadakan majlis tahlil kematian ini mengikut setengahnya ialah untuk menolong saudara muslim yang mati dengan jalan menghadiahkan pahala daripada amalan bacaan istighfar, solawat, bacaan ayat ayat suci al-Quran, zikir tasbih, zikir tahlil dan sebagainya oleh orang yang masih hidup kepada arwah simati semoga ia dengan sebab tersebut mendapat rahmat Allah dan terhindar dari siksa kubur dan sebagainya yang berkaitan setelah berada di alam kubur atau alam barzah. Walau bagaimana pun ada ulama `kaum muda` yang berpendapat bahawa hadiah pahala daripada majlis demikian tidak sampai kepada si mati dan merupakan bidaah yang menyesatkan sebab amalan seperti ini tidak pernah dibuat oleh Rasulullah saw dan para sahabat baginda.
DILEMA.
Jikalau mengikut adat andainya ada ahli keluarga mati perlu lah dibuat tahlil arwah selama tiga atau tujuh malam berturut turut seperti generasi terdahulu buat. Jikalau tidak dibuat majlis ini apa pula kata dan anggapan jiran jiran sekampung? Tetapi jikalau diadakan tahlil itu (oleh pewaris si mati) persoalannya yang timbul adakah ia telah melakukan bidaah sesat dan berdosa seperti yang dikatakan oleh sesetengah ahli ahli bijak pandai (ulama) yang menentang amalan ini?. Bagi jiran atau sahabat yang dijemput hadhir ke mejlis tahlil arwah keluarga jiran atau sahabat yang meninggal itu pula tentu menghadapi dilema rasa yang sama jika tidak hadir ke mejlis itu. Apa kata sahabat atau jiran yang menjemput? Mungkin akan retak lah atau putuslah suatu tali persaudaraan atau tali persahabatan jika sengaja tidak hadir. Tetapi jikalau hadir (mengikut pendapat ulama yang tidak membolehkan amalan tahlil arwah itu) nampaknya jadi terikut ikut atau bersekongkol dalam membuat bidaah yang di anggap sesat dan berdosa. Aduhai.....! maka menggaru-garulah kepala yang tidak gatal ini dan menarik nafas panjang-panjanglah pula untuk mencari alasan bagi memberi tahu kenapa tidak boleh hadir. Jika majlis itu diadakan satu kali atau satu malam sahaja bolehlah dicari alasan untuk tidak hadir tapi bagaimana jika dibuat mengikut yang selalunya iaitu tiga malam atau sampai tujuh malam berturut-turut apakah alasan alasan yang akan diberi untuk tidak hadir?
PERTIKAIAN PENDAPAT ULAMA`
Pendapat ulama gulongan `tua` mengatakan majlis tahlil kenduri arwah ini adalah suatu amalan bidaah hasanah (amalan muamalat yang baru diadakan dan bagus dilakukan) ialah kerana ini suatu pertolongan orang yang masih hidup terhadap saudara muslimnya ( simati ) yang sudah tidak ada peluang lagi untuk melakukan membuat amalan ibadat (kebajikan-berpahala) setelah beliau meninggal dunia lantaran satu hadis Nabi yang dari Abu hurairah r.a. Yang menjadi ASAS PERTIKAIAN PENDAPAT ulama ini `ia itu:
Ertinya: `Katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, `Apabila seorang manusia telah mati, maka putuslah (terhenti) segala amalnya, kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.`
Oleh kerana SUDAH PUTUSLAH (TERHENTI) segala amalnya saudara muslim yang telah mati itu maka menjadi sebagai usaha saudara muslim yang masih hidup ini dan yang masih BOLEH BERAMAL ini menyalurkan PAHALA kepada si mati. Mereka mempunyai alasan dalil syarie kenapa pahala yang di tujukan kepada si mati ini BOLEH SAMPAI buat menolong si mati mendapat rahmat Allah dan moga-moga terhindar lah dari AZAB di alam barzah.Sebab itu lah di adakan majlis beramai ramai berkumpul membaca ayat ayat al-Qur`an, Istigfar, bertasbih, bersalawatkan Nabi, betahlil dan berdoa serta lain lain perkara yang merupakan ibadat terhadap Allah untuk arwah saudara muslim yang telah atau baru meninggal dunia. Majelis begini sebut `Kenduri Tahlil Arwah` tapi ia bukan lah majelis kenduri bersukaria.
HUJJAH.
DALIL SYAR`EI. bagi menerangi syubhat mengingkari sampainya Pahala maksudnya bahawa adalah memang sampainya pahala amalan ibadat orang hidup atas dunia ini kepada orang mati atau arwah orang mati adalah banyak sebahagian daripada dalil-dalil itu ialah:
Al-Baihaqi ada mengeluarkan di dalam SYA`BIL IMAN, daripada Ibn Abbas katanya:Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya:`Sungguhnyan Allah akan memasukkan doa penghuni bumi kepada ahli kubur laksana gunung dan sesungguhnya hadiah orang-orang yang hidup bagi orang-oarang yang mati adalah istighfar.`
Jadi boleh difahamkan hadith di atas selain daripada doa anak yang soleh [andainya anaknya tidak soleh dan tidak mendoakakannya bagaimana?] maka doa orang-orang muslim yang lain masih boleh menjadi sangat bermanfaat bagi si mati seperti mana kata Sufian bin `Uyainah Radhiallahu`anhu:
`Di katakan bahawa orang-orang mati menginginkan doa sebagaimana orang-orang hidup memerlukan makanan dan minuman.`
Bahawa telah disepakati secara ijmak bahawa DOA itu membawa manfaat bagi si mati.Dalilnya adalah dari Al-Quran Al-Karim surah Al-Hasyr ayat 1o bermaksud:
`Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: `Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman...`
Dan lagi pengajaran Allah di dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 41.
Ertinya:`Wahai Tuhan kami! Berilah ampunan bagiku dan bagi kedua ibubapaku serta bagi orang orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.`
Dan lagi firman Allah dalam Al-Quran surah Nuh ayat:28
Ertinya:`Wahai Tuhan ku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman, dan(ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman).`
Didapati keterangan di dalam kitab Al-HIDAYAH oleh Ibn `Abidin, Al-FATAH oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani,dan AL-BAHR oleh Ibn Hayyan:
`Seseorang yang melakukan ibadah atau kebajikan tertentu dan bermaksud menghadiahkan pahalanya akan sampai kepada orang yang dituju. Ibadah tersebut adalah seperti ibadat solat, puasa, sedekah, membaca al-Quran, zikir, thawaf, haji, umrah dan amalan kebajikan yang lain.`
Hal seperti ini juga telah ijma` ulama tentang diperbolehkan orang orang hidup mewakili orang-orang mati untuk membayar zakat, bersedekah dan melaksanakan puasa, haji dan lain lain seperti wasiat dan tathauwu` (perkara yang dilakukan dengan sukarela). Hal ini pun ada tertera dalam hadis-hadis sahih yang kuat disepakati kesahihannya.
Telah diriwayatkan pula oleh penulis kitab AL-FATH daripada Anas Radhiallahu`anhu:
Ertinya:`Sesungguhnya Nabi s.a.w. ditanya sesaorang:`Wahai Rasulullah saya bersedekah untuk orang-orang mati di antara kita, berhaji dan BERDOA untuk mereka. Apakah hal itu sampai kepada mereka?` Rasulullah menjawab: `Ya, hal itu sampai kepada mereka dan, mereka bergembira dengannya seperti kegembiraan seseorang daripada kalian dengan hidangan yang dihadiahkan kepedanya.`
Para pengikut mazhab Al-Hanabilah berpendapat bahawa semua ibadah dan taqarrub sampai kepada Si Mati dan apabila pahalanya dihadiahkan kepadanya, pahala itu juga boleh memberi manfaat baginya. Manakala Ibn `Abidin menaqalkan ijma` ulama bahawa semua doa untuk orang telah mati akan mendatangkan manfaat kepada mereka atas dasar firman Allah SWT. dalam al-Quran ayat 10 daripada surah Al-hasyr tersebut di atas.
KISAH IKTIBAR.
Al-Qurtubi r.a. telah menyatakan: `Syeikh Izuddin bin Abdul-Salam pernah berfatwa bahawa sesuatu yang dibaca kepada si mati pahalanya tidak akan sampai (kepada si mati). Setelah beliau meninggal dunia, sebahagian sahabatnya bermimpi bertemu dengan Syeikh Izzuddin dan mereka bertanya kepadanya: `Engkau pernah berkata bahawa pahala bacaan yang dihadiahkan kepada orang mati tidak akan sampai kepadanya. Maka bagaimanakah yang telah ternyata (kepadamu)? Beliau menjawab : `Aku mengatakannya ketika di dunia sedangkan sekarang aku keluar (telah meninggal dunia), aku melihat kurnia Allah dalam hal itu, dan ternyata pahalanya sampai kepada si mati.`
Dan daripada Al-Hasan bin Ahmad Al-Waraq berkata: `Ali bin Musa adalah seorang yang jujur, mengatakan: `Aku sedang bersama-sama dengan Ahmad bin Hambal dan Muhammad bin Qudamah Al-Jauhari ketika solat kepada satu jenazah. Setelah jenazah itu di maqamkan, seorang buta duduk di sisi kubur sambil membaca Al-QuranImam Ahmad berkata: `BACAAN DI KUBUR ADALAH PERBUATAN BID`AH`. Maka kami pun keluar dari sini. Maka Muhammad bin Qudamah berkata pula kepada Ahmad bin Hambal: `Wahai Aba Abdillah, bagaimana pendapat anda tentang Mubashir Al-Halabi? Beliau menjawab: `Dia adalah seorang yang jujur.` Muhammad bin Qudamah bertanya lagi: `Apakah anda pernah menulis tentang dia?` Beliau menjawab: `Benar.` katanya lagi: `Cubalah jelaskan tentang wasiat Mubashsyir bin Abdurrahman bin Al-`Ala bin Al-Lajaj daripada ayahnya: Jika dia dikebumikan, hendaklah dibacakan di atas kepalanya Al-Fatihah dan Al-Baqarah hingga tamat. Lalu katanya: `Aku mendengar Ibn `Umar mewasiatkan hal itu.` Maka Imam Ahmad berkata: `kembalilah dan katakan kepada orang itu supaya meneruskan bacaannya.`
Sorotan: Boleh jadi kata kata Imam Ahmad bin Hambal sebelum pulang dari kubur inilah,yang disebarkan oleh lisan lisan yang menentang tanpa menghiraukan sambungan kata kata Imam Ahmad bin Hambal. Sehingga banyak orang yang berkeras memberi pendapat membaca untuk orang mati adalah BIDAAH tampa mengendahkan kata kata Imam Ahmad bin Hambal sepenuhnya.
Seandainya seseorang yang menentang pendapat ini lebih teliti,nescaya ia menemui banyak sumber yang membolehkan membaca untuk jenazah dan sampainya pahala bacaan untuk simati. Ada pun sikap Imam Ahmad itu yang memperbetulkan kata-katanya setelah menemui dalil kebenaran adalah sifat berani dan taqwa terhadap Allah SWT, sehingga ia tidak malu untuk kembali kepada pendapat yang benar pada masaalah pahala atau bidaah.
SOROTAN TERHADAP HADIS PUNCA PERBEZAAN PENDAPAT DAN HUJJAH.
Apabila yang dipakai sebagai dalil adalah sabda Rasulullah SAW: `Jika seseorang hamba mati, terputuslah amalannya...` maka dalil ini gugur sebab Rasulullah saw tidak bersabda `...terputuslah manfaatnya...` tetapi yang disabdakan `...terputuslah amalnya...` Maka sedangkan amalan orang lain adalah milik yang melakukan dan kalau ia mahu memberikan amalannya kepada seseoarang maka (mengikut keterangan hadis-hadis yang lain yang di terangkan itu)akan sampailah pahala amalannya itu kepada orang yang ditujukan. Jadi yang terpotong adalah sesuatu tertentu dan yang menyambung adalah sesuatu tertentu yang lain.
Demikian lah juga sabda Rasulullah saw:
Ertinya: `Sesungguhnya yang menyertai si mayat adalah kebaikannya berserta amalannya.`
Hadis ini bukanlah bererti menolak untuk menyusulkan amal dan kebaikan yang diperolehi daripada orang mukmin yang lain. Rasulullah saw sendiri pun ada berdoa untuk orang mati yang telah di kuburkan dan orang mati yang dilakukan solat jenazah keatasnya. Sebagaimana doa untuk orang mati disyariatkan di dalam solat jenazah, maka disyariatkan juga doa dan istigfar untuk mereka setelah pengkebumian saperti yang tertera di dalam hadith:
Ertinya` beristighfarlah saudara kalian dan mohonlah ketabahan serta keteguhan kerana dia sedang ditanyai.`
Begitu juga doa doa tentang ziarah kubur-kubur orang islam Rasulullah saw ada mengajar sahabat sahabatnya apa yang harus dibaca, bagaimana berdoa ketika keluar untuk menziarahi mereka di kuburan, baginda meminta agar dipohonkan keampunan untuk mereka. Maka ini menunjukan bahawa doa dan istighfar orang hidup pada oarang mati sampai manfaatnya.
Di dalam Syarh Al-Manhaj dari kita-kitab Asy-Syafiyyah dan Az-Zahar dikatakan: `Telah disepakati bahawa doa boleh membawakan manfaat untuk orang yang mati, yang hidup, yang dekat, yang jauh, mewasiatkan dan lain-lain. Bahkan doa yang paling utama adalah doa seorang Mukmin untuk saudaranya dengan zahril ghaib.`
Sesungguhnya tujuan Majlis Tahlil Arwah oleh si anak atau keluarga si mati adalah agar amal amal dan sedekah sedekah yang yang di buat bermanfaat bagi ibu bapa atau keluaraga yang meninggal apabila ditujukan pahala untuk si mati.Dan dalam banyak pernyataan, majlis ini diadakan adalahsebagai kias kepada beberapa peristiwa dialog pengizinan oleh Rasulullah saw pada zaman baginda contohnya:
Ibnu Qudamah r.a. berkata: Seseorang bertanya kepada Rasulullah saw:
Ertinya: `Wahai Rasulullah,sesungguhnyan ibuku telah meninggal dunia. Bergunakah apabila aku bersedekah keatasnaya? Beliau menjawab: `Ya.` (HR.Abu Daud drp.Saad bin Ubadah).
Daripada `Aisyah radhiallahu`anha berkata: Seseorang berkata kepada Rasulullah:
Ertinya:`Sesungguhnya ibuku meninggal secara mendadak saya mendapati jika ia mampu berbicara nescaya dia akan bersedekah. jika aku bersedekah atas namanya adakah ia mendapat ganjaran? Baginda menjawab.`Ya.` (Muttafaqun `Alaih).
Banyak lagi dalil dalil lain melalui hadis-hadis Rasulullah saw. Dan Ibnuu Qadamah menjelaskan: hadis-hadis sahih ini menunjukkan adanya manfaat untuk si mati dan seluruh ahli keluarganya. Ini kerana saperti doa, istighfar, puasa, haji merupakan ibadah badaniah kepada si mati dan kepada yang lain. Di samping keterangan yang lalu, dari hadis berkaitan pahala bacaan, tertera pula hadis berkaitan pahala membaca Yasin, dan Allah meringankan siksa ahli kubur dengan sebab bacaan tersebut.`

Ibn`Abbas r.a. berkata: Seseoarang bertanya:
Ertinya: `Wahai rasulullah,sesungguhnya ibuku telah wafat. Apakah bermanfaat baginya jika aku bersedekah atas namanya? Baginda menjawab:`Ya.`Orang itu berkata lagi: `Sebenarnya aku memiliki sebuah kebun dan aku jadikan anda sebagai saksi bahawa aku menyedekahkannya atas namanya.` (HR. Al-Bukhari, At-Tirmizi, Abu Daud dan An-Nasa`i).
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Seseorang bertanya kepad Rasulullah saw:
Ertinya: `Sesungguhnya ayahku telah mati dan dia tidak berwasiat.Bermanfaatkah baginya apabila ku bersedekah atas namanya?.Rasulullah saw menjawab:`Ya.` (HR.Muslim,Nasa`i,Ibnu Majah dan Imam Ahmad).
Begitu juga pembacaan ayat ayat al-Quran sebagai disedekahkan pahala kepada si mati samalah sampainya seperti sampainya pahala sedekah harta benda. Ibnu Qadamah meriwayatkan daripada Nabi saw baginda bersabda:
Ertinya: 'Barangsiapa yang masuk ke kuburan dan membaca surah Yasin maka diringankan siksaan keatas mereka pada hari itu,sesuai dengan kebajikan yang dilakukan.`
Dan lagi, Ertinya: `Sesiapa yang mengunjungi kubur ayah bondanya lalu membaca di sisinya atau keduanya surah Yasin maka keduanya akan diberikan keampunan.`
Telah dikumpulkan di dalam SAHIH tentang dikhususkan sebahagian ayat Al-Quran dengan keutamaannya misalnya Surah Yasin, ayatul Kursi, akhir surah Al-Baqarah, Al-Ikhlas, Al-Muawwizatain dan lain-lain. Lantaran itu sehingga telah disusun sebuah buku bacaan amalan khas untuk amalan Yasin dan kaifiat tahlil arwah dalam masyarakat oleh ulama dahulu saperti tajuk `Surah Yasin- tahlil dan doa` atau `SurahYasin dan peraturan membacanya` dan lain-lain tajuk untuk tujuan memudahkan amalan pembacaan nya.
Majlis Membaca dan berzikir tahlil berkumpulan (beramai-ramai).
Segala perbuatan bacaan ayat ayat al Quran, Istighfar, tasbih, salawat nabi, zikir tahlil dan lain-lain dalam mejlis tahlil arwah ini adalah berdasarkan sebab dalil sampainya segala amalan itu di ujukan kepada si mati ia itu berdasarkan adanya dalil di dalam al-Quran dan sabda-sabda Rasulullah saw saperti yang didedahkan terdahulu walau pun majlis tahlil arwah secara beramai-ramai ini tidak dilakukan zaman baginda dan zaman sahabat. Tetapi ada dalil yang mengatakan berzikir secara berkumpulan itu adalah boleh dan baik
sebagaimana hadis ini:
(Abu Darda`) ia me-marfu`-kannya: `Allah akan membangkitkan beberapa kaum pada hari kiamat, sedang di wajah wajah mereka ada cahaya, di atas mimbar mimbar mutiara dan manusia pun ingin seperti mereka, padahal mereka bukanlah para nabi dan bukan pula syuhada. `Seoarang Arab gunung berdiri di atas lututnya seraya berkata: `Ya Rasulullah, jelaskan sifat mereka itu kepada kami agar kami dapat mengetahui mereka. ` Nabi saw bersabda: `Mereka adalah orang orang yang saling menyintai kerana Allah dari berbagai macam kabilah dan berbagai negeri, MEREKA BERKUMPUL UNTUK BERZIKIR kepada Allah.`(al-Kabir).
Oleh itu menjemput atau mengajak kaum keluarga, sanak saudara, rakan, sahabat, jiran tetangga, jiran sekampung dan lain-lain untuk berkumpul dalam rangka ibadat berzikir (Zikir termasuklah saperti: Baca ayat-ayat al-Quran, salawat Nabi, istighfar, tasbih, tahlil, berdoa dan sebagainya) kepada Allah adalah termasuk hal yang boleh atau hal yang harus diupayakan oleh seseorang dan ia merupakan suatu syiar agama atau ianya dibolehkan di samping kerana tujuan saperti yang dibahaskan tajuk ini [Majlis kenduri tahlil arwah].
MENYELUSUR SUMBER HUKUM.
Ada pun sumber hukum Islam ialah al-Quran dan hadith. Tetapi walaupun keduanya dipandang pokok atau dasar namun al-Quran adalah dasar pertama dan al-Hadith dasar kedua, kerana maqam (kedudukan) al-Quraan lebih tinggi dari kedudukan hadith. Namun hadith (sunnah) adalah berperanan menjadi penerangan, penafsiran, penentuan hukum dan lain-lain sebagainya.
Berkata Imam Ahmad: `Bahawa mencari hukum di dalam al-Quran hendaklah melalui hadith. Mencari agama demikianlah pula. Sebab kesempurnaan fiqh Islam dan syariatnya ialah dengan hadith. Mereka yang mencukupi dengan al-Quran saja hingga mengenepikan hadith dalam memahami ayat-ayat al-Quran dan mengetahui syariatnya, sesat perjalanannya dan tidak akan sampai kepada maksud yang dikehendaki. Hadith menurut istillah ahli hadith ialah SEGALA UCAPAN NABI (TUTUR KATANYA), SEGALA PERBUATAN DAN SEGALA KEADAANNYA NABI.
Ahli (`ulama`) hadith : Membahaskan peribadi Rasul sebagai orang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan Rasul, baik mengenai apa apa juga riwayat, perjalanannya,mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya, sama ada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.
Ahli (`Ulama`)Usul :Membahaskan Rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau mencipta dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata Rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan pengakuannya bersankutan dengan perkara penetapan hukum.
Ulama` Fiqh :pula membahaskan peribadi Rasul sebagai seoarang yang seluruh perbuatannya atau perkataanya atau menunjukkan kepada suatu hukumn syara`. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).
Jelas sekali mewujudkan dan memboleh kenduri tahlil arwah oleh ulama` mutakhir setelah zaman sahabat oleh alim ulama di Nusantara Melayu ( kalau pun tidak ada di negara negara dunia Islam yang lainadalah berdasarkan firman Tuhan dalam al--Quran saperti petikan petikan ayatnya di atas dan berdasarkan kepada KATA-KATA NABI dalam al-Hadith seperti yang dipaparkan walaupun tidak seluruhnya dipaparkan mengenai perkara berkaitanOleh itu walau pun adat dan ibadat `Kenduri tahlil Arwah` saperti ini tidak dilakukan dengan dalil daripada perbuatan oleh Nabi dan sahabat tetapi ianya dibuat bersandarkan kepada`KATA-KATA RASULULLAH saw`. sebab itu diperbolehkan dengan ijma` ulama` dan di kategorikan sebagai perbuatan BIDAAH HASANAH bukan bidaah yang menyesatkanWallahua`lam.
KESIMPULAN.
Dari bahasan ini dapat dibuat kesimpulan bahawa majlis Tahlil Arwah adalah Bidaah Hasanah (perbuatan berkait keagaamaan yang baru yang baik) kerana:
1. Ia memang satu perbuatan yang baik kerana ada dalil yang mendatangkan kebaikan rahmat kepada saudara islam yang meninggal ia itu berdalilkan daripada kata-kata (hadith) Rasululllah saw dan al-Quran.
2. Ia boleh mendatangkan pahala kerana mengadakan jamuan (sedekah oleh keluarga yang masih hidup sama ada anak-anak atau keluarga atau orang orang yang menderma yang berziarah yang berduit dengan belanja wang ringgit masing masing sekadar ikhlas bukan belanja dari duit atau pusaka hasil tinggalan si mati atau dari harta benda anak yatim untuk buat makan minum jamuan kepada para jemputan selepas majlis tahlil).
3. Mendatangkan pahala kepada jemputan (ahli majlis) kerana datang memenuhi undangan dan juga sama-sama berzikir terhadap Allah membaca ayat ayat suci al-Quran, salawatkan nabi, Tasbih, tahlil (zikir Laa ilaaha illalaah) beristighfar, berdoa dan lain-lain. (serentak wujud `hablun minallah` dan `hablun minannas`- hubungan dengan Allah dan hubungan baik sesama manusia kerana majlis itu).
4. Merapatkan ukhwah kekeluaragaan, kejiranan dan persahabatan berkenal kenalan dan persaudaraan Islam.
5. Oleh kerana mejlis kenduri tahlil ini bukan mejlis bersukaria tetapi mejlis keinsafan yang menguatkan lagi kesedaran bahawa tiap orang akan menempuh kematian seperti yang dialami simati yang kerananya diadakan majlis itu maka akan menjadi pengajaran supaya jangan leka dan lalai terhadap keduniaan semata mestilah setiap orang mencari bekal untuk hari kematian (dikuburkan) dan balasan hari akhirat.
6. Sama-sama menolong arwah yang meninggal moga moga mendapat rahmat Allah dengan hadiah ditujukan pahala kepadanya melalui segala amalan yang dibuat dalam majlis sebagai pernyataan kasih sayang sesama mukmin dan Islam.
7. Sebagai satu kaedah bersama menghampirkan diri terhadap Allah SWT.dan sama-sama mendapat berkat doa majlis.
WALAU BAGAIMANA PUN beberapa perkara perlu difahami bagi kesempurnaan Majlis:
1. Niat orang yang membaca atau mengambil bahagian dalam majlis hendaklah benar-benar ikhlas kerana Allah SWT dan ingin menyampaikan pahala bacaan bacaan masing masing kepada Arwah si mati. Jangan pergi kerana terdorong kerana hendak menikmati `jamuan istimewa` semata-mata [Sebenarnya makan jamuan bukanlah sasaran utama menghadir diri pada majlis kenduri arwah.jangan jadi tersilap faham].
2. Syeikh jemaah majlis atau imam atau pemimpin pada bacaan dan adab hendaklah seorang yang alimbillah kalau tidak pun orang yang paling salih dan yang paling fasih bacaannya dan orang yang dianggap paling dapat makbul doanya untuk diaminkan bersama oleh peserta.
3. Peserta majlis hendaklah masing-masing membaca yasin dan ayat-ayat al-Quran dengan betul dan tertil dan tertib dan betul serta merendah diri terhadap Allah SWT. Jangan baca terburu buru dan cepat-cepat berserta hati pula asyik merewang ke sana ke mari tidak ada rasa khasyu atau rendah diri kepada Allah SWT.
4. Jangan melakukan pembaziran. Buat makanan jamuan dan minuma sekadar daya sahaja. jangan melampaui batas sampai terpaksa berhutang maka hal ini menjadi bidaah yang terlarang. Jangan pula di samping membuat jamuan tahlil arwah itu ada menunjukkan unsur unsur sifat kemegahan atau kemewahan hidup dan kesombongan tingkah laku kerana kekayaan keluarga maka pelakuan begini ini menjadi haram. Jangan menggunakan wang yang tidak betul puncanya atau wang haram bagi mengadakan jamuan maka ia juga menyebabkan berdosa dan haram. Hendaklah memasang niat yang betul dan bertindak dengan betul untuk mencapaikan pahala dan rahmat untuk arwah yang meninggal.
5. Jika ada para hadirin majlis yang memang tidak betul dari segi tajwid dan sebutan-sebutan pada bacaannya maka hendaklah ia diam sahaja serta mendengar bacaan orang lain yang betul maka ia dapat juga pahala mendengar ayat ayat suci, zikirillah, salawat dan sebagainya. Jika ia membaca bersama tetapi bacaannya tidak betul ia berdosa dan tidak memberi apa-apa manfaat pula kepada arwah yang ditujukan pahala bacaan.
Dengan ini amalan `Tahlil arwah` dianggap sebahagaian ulama `tua` suatu perbuatan bidaah hasanah (baik) bukan bid`ah mungkar iaitu jika dilakukan atas dalil ianya tidak pernah dibuat zaman Rasulullah s.a.w dan oleh para salaf`tetapi amalan ini dilakukan atas berdasarkan Qias dan ruju` kepada `Kata-kata`baginda. Maka ianya boleh dilaksanakan jika mahu dilakukan dan difahamkan ada faedahnya. Mengenai adanya PEMBAHAGIAN BID`AH antara yang terpuji dan yang tercela (mungkar) ada disebutkan oleh Sayyidina Umar r.a. Dan ulama juga bersepakat mengatakan bahawa sabda Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan `Setiap yang bid`ah itu sesat` adalah sebuah hadis umum yang dikhususkan kepada perkara perkara tertentu. Menekala Imam al--Syafie pula ada berpendapat setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak bukannya bid`ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Wallahu`alam.
PENUTUP.
Jika pendapat yang diberikan dalam artikel ini selari dengan keredhaan Allah sesuai dengan syariat Islam yang murni maka ianya adalah semata mata dari kurnia taufiq dan hidayahNya dan semoga sesiapa yang mengamalkan dengan saksama dan dengan betul niatnya mendapat rahmat Ilahi. Sebaliknya jika apa pendapat yang diberi ini salah disisi Allah dan Sunnah Rasulullah maka ianya adalah dari sebab kejahilan dan kebodohan penulis sendiri dan hamba memohon ampun daripada Allah Tuhan yang Maha pengasih dan maha pengampun dan mudah-mudahan tidak lah pula di ikuti pendapat ini oleh sesiapa pun dari kalangan pembaca artikel ini.
Segala puji itu adalah bagi Allah Tuhan semesta alam. Kepada Allah jua kita memuji dan memuja dan kepada Allah juga kita memohon pertolongan dan pengampunan. Kita berlindung dengan Allah dari segala kejahilan diri kita sendiri dan kesalahan amalan kita. Sesiapa yang mendapat pertunjuk dari Allah maka tidak ada siapa pun yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang telah disesatkan Allah maka tidak ada orang yang dapat memberi pertunjuk. Dan saya mengaku bahawasanya tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan saya mengaku bahawasanya Nabi Muhammad saw itu ialah hamba-Nya dan Rasul-Nya yang sebenar-benar dipercayai dan ialah penamat sekelian Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul hingga akhir zaman (hari kiamat). Agama Islam yang dibawanya sebagai utusan Allah yang terakhir adalah agama yang diakui di sisi Allah di mana telah terhapus dengannya segala syariat agama yang terdahulu dengan datangnya agama Islam. Semoga selamat sejahtera lah saya dan kamu para muslimin dan muslimat yang membaca artikel ini dengan rahmat Allah di dunia ini dan di alam barzah dan seterusnya alam akhirat yang abadi nanti dengan sebab menjadi seorang mukmin dan muslim yang senentiasa taat kepada segala titah perintah Allah dengan mengikuti segala apa pertunjuk Allah dan sunnah Rasulullah dan selalu menjaga diri daripada segala kemungkaran dan dosa sebab bertaqwa terhadap Allah Azzawajalla. Amin ya Rabbal `alamin.
Wassalam.
Al Fakir Ila Rahmatillah.
Note: Kesinambungan artikel ini sila lihat tajuk: Isu Fahaman Wahabi di Nusantara.
Ahad 13 Zulkaedah 1430 H /1 Nov 2009.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.