Meraih Ibadat Puasa Ramadhan Yang Murni
Bagaimana memahami kehendak puasa yang sebenar dalam Islam supaya ibadat mulia ini diterima oleh Tuhan dan memberi kesan maqamat jiwa yang baik kepada seorang hamba Allah yang berjaya melaksanakannya.
Bismillahir Rahmaanir Rahim.Alahamdulillahi Rabbil Alamin. Wassolaatu wassalam ala Rasuulihil karim wa`alaa aalihi wasohbihi ajmai`n.
Menjalani perintah Allah SWT tentang melaksanakan ibadah puasa itu tujuan asasnya untuk meningkatkan ketakwaan dan ketaatan terhadap perintah Ilaahi. Oleh itulah puasa yang bermanfaat dan diterima oleh Allah SWT. ialah puasa orang yang DAPAT MENGUBAH DIRI dan KEPERIBADIANNYA sehingga berada DI JALAN YAN LURUS dan menjadi hamba yang DIREDHAI (De-factor) di sisi Tuhan selamanya.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran ayat 183 surah AL-Baqarah:
Ertinya:`Wahai orang orang yang beriman,telah di wajibkan bagi kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa`.
Oleh kerana perintah Allah Azawajalla sedemikian itu maka WAJIBLAH bagi setiap orang yang mengerjakan puasa yang beragama suci Islam
Menjauhkan diri dari perbuatan dan ucapan lisan yang menyimpang dari jalan lurus syariat iaitu melakukan hal-hal yang terlarang oleh Allah SWT. Agar demikian ibadat puasanya diterima dan jangan sampai ibadat puasanya itu semata-mata mendapat kepayahan semata oleh sebab lapar dan dahaga sahaja sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: `Adakalanya orang yang mengerjakan puasa itu tidak mendapat pahala, kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja.`
`Dan ada kalanya orang yang suka bangun malam bertahajud tidak memperolehi sesuatu pahala, kecuali kecapekan (kerana tidak tidur malamnya)
`Puasa itu adalah perisai bagi yang berpuasa, ia tidak boleh berkata keji, bersikap bodoh (bertindak tanpa beralaskan agama), dan jika dicaci-maki orang atau diajak berkelahi, supaya berkata, `aku ini sedang berpuasa` (H.r.Bukhari-Muslim).
`Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan bohong dan tidak meninggalkan perbuatan keji (maksiat), maka baginya tidak perlu meninggalkan makan dan minum (tidak perlu berpuasa).'
Mengikut pendapat setengah ulama yang dimaksudkan oleh sabda tersebut, bahawa orang-orang yang mengerjakan puasa, akan tetapi dalam masa yang sama ia mengucapkan perkataan-perkataan bohongan dan kata-kata keji (pada penilaian syariat Islam yang suci) dia tidak mendapat suatu pahala pun dari puasanya malah pendapat Ibnu Hazm mengatakan: `Hal-hal yang dapat menyebabkan batal puasanya ialah kata-kata bohong dan kata-kata keji. Hal ini sama dengan batalnya puasa kerana makan dan minum` ( pada waktu berpuasa siang hari).
Pendapat di atas adalah sama dengan kata-kata Khalifah Umar ibnu Khaththab yang mengatakan:
`Puasa itu bukan puasa dari minum dan makan sahaja, tetapi juga berpuasa dari kebohongan, kebatilan (berbuat yang mungkar dari segi syariat, thariqat dan haqikat-p) dan ucapan kosong.`
Sahabat Rasulullah saw. Jabir r.a. juga ada berkata, `Jika kamu berpauasa, hendaknya telingamu, pandanganmu (mata) dan lidahmu juga ikut berpuasa dari kebohongan dan perbuatan keji (yang terlarang dalam agama), dan hendaknya kamu dalam keadaan tenang (berlapang dada-p), terhormat(bermaruah-p) dan sabar (dari segala perkara yang tidak menyenangkan-selalu bermusyahadah kepada Ilahi-p) selama berpuasa sehari penuh. Jangan menyamakan hari puasa dengan hari-hari biasa (sebab ada nilai prestasi pahala sebagai ibadat pada sepanjang sehari penuh berpuasa itu-p).`
Mengikut jejak para sahabat Rasulullah saw. jika mereka mengerjakan ibadat puasa, mereka sangat berhati-hati. Contohnya Abu Hurairah r.a dan para sahabat nya, apabila mereka mengerjakan ibadat puasa, mereka berdiam di masjid (i`tikaf) dengan niat mahu membersihkan (mensucikan) ibadat puasa mereka demi ubudiah yang sempurna terhadap Allah SWT.
Ada pun ibadat puasa yang murni (suci) itu akan membawa pengaruh baik terhadap jiwa (menaikkan maqamat) di samping pahala (balasan rahmat Ilahi) bagi orang yang mengerjakan puasa. Begitulah sebagaimana bila mengerjakan maksiat, mungkar dan kezaliman menimbulkan kesan yang buruk terhadap jiwa dan takwa di samping akan menerima kemurkaan dan balasan hukuman daripada Allah SWT. Sebagaimana yang diterangkan melalui hadith Nabi saw. mengenai bagaimana cara Allah SWT akan menghitung (hisab) para hamba-Nya di hari pembicaraan akhirat nanti iaitu:
Dari Aisyah r.a., dia berkata: `Pada suatu ketika ada seorang sahabat Rasulullah saw. yang duduk di samping beliau dan berkata, `Wahai Rasulullah, aku pernah mempunyai dua orang hamba, mereka selalu mendustai aku dan tidak taat kepadaku, kemudian aku caci-maki dan memukulnya. Bagaimana kedudukanku kelak di hari kiamat?` Lalu Rasulullah saw. bersabda kepadanya, `Akan diperhitungkan besar kecilnya pengkhianatan mereka terhadapmu, begitu juga tindakanmu terhadap mereka. Bila tindakanmu melebihi, sama, kurang, semua itu akan diperhitungkan (dinilai oleh Allah SWT).` Kemudian orang itu terisak-isak.(menangis). Lalu Rasulullah saw. menyuruhnya membaca ayat suci Al-Quran: (surah Al-Anbiaa`:47), diberikan ertinya dalam bahasa Melayu - sila tuan puan rujuk Al-Quran -P):
`Kami (Allah SWT) akan meletakkan timbangan yang tepat pada hari Qiamat, maka seseorang tiadalah dirugikan barang sedikit pun. Jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi, nescaya Kami (Allah) mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami menjadi orang yang membuat perhitungan.`
Lalu orang itu berkata, `Wahai Rasulullah, jalan terbaik bagiku ialah melepaskan (supaya tidak ada sangkut paut dengan mereka dalam perhitungan hari kemudian yang boleh menyebabkan kecelakaan-p) mereka, maka mulai saat ini aku bebaskan mereka berdua dan engkaulah (Rasulullah saw) yang aku jadikan saksi'.
Kesimpulannya Ibadat Puasa bukan sahaja wajib menahan lapar dan dahaga seharian berpuasa tetapi wajib menahan diri terhadap cabaran cabaran sekeliling yang menggoda nafsu dan iman. Barangsiapa yang dapat menahan diri terhadap cabaran ini maka ia telah benar melakukan ibadat puasanya dan secara tidak langsung ia dapat memperkasakan dan membersih diri rohaniahnya di samping mengisi fadhilat beribadat tambahan bulan ramadhan yang dimuliakan dengan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda serta bertambahlah rahmat Ilahi terhadap seseorang yang menjalani ibadah puasa yang diterima Allah s.w.t. -InsaAllah.
Ibadat Puasa dari segi hukum syariat beberapa pelakuan sehari-hari kita juga perlu mengetahuinya samada perlakuan itu sengaja atau terpaksa yang dapat menentukan perbuatan itu membatalkan puasa pada hukum syariat atau tidak dan supaya tidak mendatangkan perasaan ragu-ragu atau waswas untuk melakukannya antaranya ialah:
1. Seseorang menggunakan titisan Eye Mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidak membatalkan puasa saperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Jika suntikan atau memasukkan ubatan melalui dubur adalah membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Jika suntikan melalui urat tidak pula membatalkan puasa kerana mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah al-Azhar 1948, apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka tidak membatalkan puasa.
4. Jika debuan, lalat, agas.. masuk dalam rongga tidak batal puasa kerana umum balwa (sukar untuk mengelakkannya).
5. Ada pun Air kumar-kumar atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidak membatalkan puasa sekiranya perbuatan tersebut tidak dilakukan secara berlebih-lebihan.
6. Puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
7. Jika muntah tetapi disengajakan maka adalah batal puasanya.
8. Jika seseorang termuntah tidaklah batal puasanya berdasarkan hadis riwayat Abu hurairah daripada Abi Daud dan al-Termizi.
9. Bersetubuh siang hari boleh membatalkan puasa tetapi jika terlupa tidak batal seperti dikiaskan pada makan dan minum.
10. Mani yang keluar secara sengaja seperti sebab bercumbu-cumbuan batal puasanya tetapi mani yang keluar secara tidak disengajakan tidak membatalkan puasa.
11. Adalah makruh secara tahrim bercumbu dengan isteri pada siang hari dalam bulan Ramadhan bagi orang yang syahwatnaya bergelora sama ada lelaki atau perempuan pada pendapat imam Syafie dan Hanafi. Bagaimanapun telah memberi rukhsah (pada bercumbu) oleh Omar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Aysyah, Sya`bi, al Hassa, Ahmad dan Ishak.
12. Jika mengambil pil penahan haid (yang tidak akan memudharatkan diri) kerana ingin berpuasa penuh pada bulan ramadhan dibolehkan tetapi afdal jangan mengambilnya kerana kekal mengikut takdir Allah s.w.t. terhadap wanita. (ini pendapat Syeikh Uthaimin dan juga saperti pendapat Dr. Yusuf al-Qardawi).
13. Jika menggunakan ubat gigi pada siang hari pada bulan Ramadhan dibolehkan tetapi afdhal ditinggalkan kerana dibimbangi rasanya sampai ke dalam perut. seperti ini pendapat Syeikh Uthaimin.
14. Orang yang sakit buah pinggang yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qada` sebaliknya memberi makan kepada orang miskin setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan kadar secupak. Tetapi sekiranya penyakitnya hilang (sembuh) hendaklah diqada`kannya seperti fatwa Ibn Jabrin.
15. Hukum menggunakan inhaler (alat sedutan) pada siang hari pada penyakit lelah (asma) dibolehkan kerana gas sedutan tersebut tidak sampai ke dalam perut tetapi sekadar untuk pernafasan. Ini mengikut pendapat Syeikh Hushaimi dan juga Sheikh Ibnu Jabrin.
16. Jika menelan kahak balgram bagi orang yang telah tua dan sukar untuk meludahnya keluar adalah sah puasanya seperti fatwa al-Syarbasi.
17. Merokok membatalkan juga puasa seperti pendapat jumhur ulama. Ini adalah mengikut pendapat Syeikh al-Syarbasi. Malah dikenakan kaffarah mengikut pendapat yang sah mengikut pendapat Syeikh Husanain Mahluf dalam Fatawa Syariiyah.
Demikian lah keterangan ringkas sahaja mengenai ibadat puasa yang mengandungi tiga rukun iaitu tahu waktu berpuasa, menghindari hal-hal yang membatalkan puasa zahir dan batin dan mempunyai niat yang luhur sebagai mamatuhi titah perintah Tuhan kita Allah s.w.t. Semoga puasa kita semua diterima Allah sebagaimana puasa hamba-hambanya yang soleh yang mendapat nikmat dan rahmat daripada-Nya. Wallahu a`lam. Wassalam.
SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1430 Hijrah 2009 Masehi.
Selamat berpuasa semoga sejahtera selalu kepada seluruh pembaca.
al-fakir ila rahmatillah.
Selasa 27 Saaban 1430 H /18 ogos 2009
Tiada ulasan