Header Ads

Meluruskan Halatuju Patriotisme Melayu

Memahami konsep semangat kesatriaan dan juga cintakan tanah air (patriotisme) dari perspektif  Islam menjadikannya suatu ibadah dan semoga perjuangan pemupukkan semangat `patriotisme Melayu Sejati` mendapat restu dan rahmat daripada Ilahi. Dalam konteks pembicaraan ini hendaklah difahami bahawa bila disebut Melayu adalah sinonimnya dengan Islam sebab telah diketahui oleh seluruh bangsa-bangsa kalau disebut Melayu agamanya pastilah Islam tidak kiralah dalam blok parti mana pun Melayu itu berpihak dalam negara ini yang mengambil cara pemerintahan melalui sistem demokrasi berparlimen. Hal ini penulis ingin memetik kata kata seorang ulama `ulong Melayu di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Acheh dalam bait syaernya:
`Aho segala kita [yang] menyembah (menyebutkan) Nama
yogya [di ketahui apa Yang Pertama]...
Ya`ni Nama Allah Subhanahu wa Ta`ala, Kerana pada hukum shari`at barangsiapa mengucap Laa ilaaha illaLlaah Muhammadun RasuuluLlaah dengan lidahnya Islam[lah] pada hukum. Pada hatinya? - Wa`Llaahu a`lam.`
Bismillaahir Rahmaani Rahiim. Alhamdulillahi Rabbil a`lamin wabihi nastai`n, walaahauawalaa quwwata illa billaahil  a`liyyil a`dhziim. Allahumma shalli `alaa sayyidinaa Muhammadin Shalaatan tuktabu bihas-suthuur. Wa tusyrahu bihas-shuduur.Wa tahuuna bihaa jamii`ul-umuur. Birahmatin minka yaa ghafuur. Wa `laa aalihi wa shabihi wasallim.
Gagasan, Semboyan atau kempen `Satu Bangsa Satu Negara` contohnya atau apa-apa  semboyan `SATU...` lagi, adalah membawa maksud membina satu semangat permuafakatan rakyat seluruh negara untuk berjuang bersama membina atau membangun negara menjadi cemerlang gemilang dan terbilang. Ada pun semboyan itu diwar-warkan sebenarnya juga untuk mengatasi pelbagai perbezaan yang ada bagi mengukuhkan konsep `unity in diversity` agar terbentuk satu kekuatan kepimpinan sebuah negara terutama  di negara-negara `majmuk` seperti di Malaysia.
Gagasan dan semboyan seperti ini adalah menjadi gimik  bagi membina semangat `patriotisme` rakyat negara bangsa demi untuk menegakkan keamanan, keharmonian serta membina pencapaian kemajuan ekonomi serta mengukuhkan lagi terhadap agama rasmi negara (eg: dalam konteks Malaysia ialah agama Islam) serta kekuatan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat maka adalah sesuai dengan kehendak Islam. Hal ini boleh kita mengambil iktibar daripada sahabat Rasulullah s.a.w. yang berkorban demi akidah dan agamanya iaitu Bilal  pernah meluahkan rasa cinta dan rindu kepada tanahairnya Mekah al-Musrifah ketika beliau berada di Madinah Dar al-Hijrah dengan beberapa rangkap syair yang indah dan begitu  jiwang sekali seperti berikut:
Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam
di sebuah lembah di kelilingi oleh rumput rampai dan tumbuhan
dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah
dapatkah aku kembali menyaksikan gunung-gunung Shammah dan Taufil?
Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. sendiri pula ada terdengar kata-kata Usail yang cuba mengungkapkan keindahan kota Mekah. Air mata baginda mengalir kerana rindukan tanah tumpah darah baginda Mekah sehingga baginda bersabda: `Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang!`.
Jadi, segala gagasan Semboyan dan kempen kepada semangat patriotisme yang demikian jika dimaksudkan untuk menambahkan cintakan tanahair, rasa kasih dan rindu jika tinggal berjauhan atau seumpamanya seperti tujuan yang disebutkan dalam para yang terdahulu  maka ianya adalah sesuai dengan fitrah manusia dan bertepatan pula  dengan perintah Islam.
Semangat Patriotisme  juga dipupuk sebagai suatu kewajipan berusaha sedaya upaya membebaskan negara daripada penjajahan kolonialisme atau neokolonisme atau untuk menanam harga diri dan jatidiri dalam jiwa anak watan dalam mencapai atau  mengisi kemerdekaan tanahair maka ianya adalah sesuai dengan fitrah dan tuntutan Islam sepertimana firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Munafikun ayat 8:
Ertinya: `Padahal bagi Allah jualah kemuliaan  dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman, akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)`.
Dan lagi Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Mumtahanah ayat 8-9 :
Ertinya: `Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana (agama) kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu`.
Walaupun negara sudah merdeka tetapi ancaman tetap ada sama ada dari dalam atau dari luar samada kemungkinan secara langsung atau tidak langsung. Contohnya kuasa-kuasa barat senantiasa mahu menjadi `colonial master` dari segi ekonomi atau budaya dalam dunia moden ini. Mereka juga boleh melakukan penjajahan secara neokolonialisme iaitu menguasai dunia secara agresif atau melalui pengaruh dengan menguasai sesebuah regim yang memerintah dalam sesebuah negara walaupun sesebuah negara yang pemerintahannya dipilih secara demokrasi.
Dari zaman kemaraan Barat  ke Timur (1500M) hinggalah ke hari ini penduduk di rantau Timur senantiasa menerima layanan buruk daripada Barat hingga mereka hilang harga diri dan kemerdekaan. Segala harta benda dan nyawa turut dirampas dan terkorban. Oleh kerena mereka terpaksa menjalani hidup sensara menerima tekanan kuasa imperialis barat lalu mereka cuba membebaskan diri dengan berbekalkan akidah (saperti ayat 8-9 surah Al-Mumtahanah) dan segala kekuatan yang ada, perjuangan dan pengorbanan dengan semangat jihad dan patriotisme. Kesalahfahaman yang timbul antara dua blok (Barat dan Timur) ialah apabila Timur cuba memahamkan Barat bahawa penduduk Timur yang menganut Islam bahawa Islam itu adalah cara hidup lebih baik, lebih bersih, murni, lebih tinggi dan lebih mulia daripada apa yang lahir di Barat atau di Yahudi. Tetapi Barat dan Yahudi menolak kata-kata itu dengan sikap fanatik dengan tradisi mereka secara membuta tuli. Malah mereka menuduh Islam itu hanyalah suatu cara hidup ganas dan memecahbelahkan perpaduan ummat  manusia malah sebaliknya kesatriaan (patriotisme) Barat menganggap bahawa mereka mempunyai kewajipan `white man burden` iaitu mentamaddunkan negara-negara Timur dengan acuan peradaban dan cara hidup mereka iaitu yang dianggap ialah yang paling `ideal` sekali. Kesalahfahaman dan juga sikap fanatik Barat dan Yahudi (Yang dogmatisnya mengatakan bangsanya paling mulia dipilih Tuhan di antara bangsa-bangsa manusia) inilah yang menjadi ancaman besar kepada penduduk Timur terutama umat Islam semenjak dahulu kala hingga kini.
Oleh yang demikian kuasa-kuasa Barat menganggap mara untuk  menguasai Timur sama ada cara kolonialisme atau neokolonialisme adalah suatu pengorbanan kesatriaan (Patriotisme) mereka demi untuk keagongan, bangsa, negara, agama mereka yang mana mereka memikul tugas mentamaddunkan manusia seluruhnya. Tetapi Timur (Islam) tetap berpegang dengan panji-panji Allah yang mana Firman Tuhan dalam Al-Kitab pada ayat 9 surah Al-Munafikun tersebut. Malah Islam juga mempunyai semangat kesatriaan (patriotisme) meluaskan juga empirenya dengan cara yang terbaik iaitu dengan bersyarat  tidak menyalahi etika agama dengan tidak melakukan penganiaya`an, kezoliman, keganasan, pemusnahan dan lain-lain lagi dalam pemerintahannya sebagaimana perintah Allah s.w.t dalam surah Al-Anfal ayat 39:
`Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata`
Patriotisme yang betul dari perspektif Islam adalah sesuai dengan fitrah kemanusiaan sendiri iaitu semangat dan usaha mengukuhkan hubungan antara masyarakat  dalam rantau yang sama malah dunia seluruhnya dan para pemimpin menggunakan hubungan ini untuk kepentingan bersama ada perkara-perkara yang benar dan baik malah Islam menganggap dan melihat bahawa perkara sebegini sebenarnya suatu kewajipan sabagaimana sabda Rasulullah s.a.w-
`Kuunuu `ibaadallahi ikhwaana`. Ertinya: `Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara`
Dan dalam Al-Quran (Surah Aali Imran:118) Allah ada menyatakan:
Ertinya: `Wahai orang orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu (ahli taqwa-P) menjadi `Orang dalam` (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.`
Andaikata semangat kesatriaan (patriotisme) itu menghalalkan perbuatan memecahbelahkan ummah kepada beberapa puak dan parti yang saling bertelagah, saling berhasad dengki, saling caci mencaci, saling tuduh menuduh, ugut mengugut, kafir mengkafir, saling dendam-mendendam dan jika bersatu atau berpecah berlandaskan kepada fahaman manusiawi yang didorong pula oleh hawa nafsu, di atur oleh matlamat berbeza, digerakkan oleh fahaman yang hanya berlandaskan kepentingan peribadi atau kroni-kroni dan dalam masa yang sama pula pihak musuh mengambil kesempatan dengan menyemarakkan lagi api permusuhan dan musuh-musuh juga dapat memecahbelahkan mereka dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu atau menyatupadukan mereka dalam perkara yang tidak betul serta musuh dapat menghalang mereka daripada saling berhubung dan bekerjasama dan sebaliknya musuh mahu mereka hanya berhubung dan berpaut padanya dan menyebabkan ia akan senentiasa bertandang dan berhimpun di tempat musuh atau kumpulan musuh. Patriotisme begini adalah karut semata dan tidak menepati konsep patriotisme Islam yang suci.
Fenomena patriotisme yang menyeleweng dari landasan suci Islam begini wujud dengan tebalnya lagi dalam kalangan bangsa Melayu atau Bumiputra di Malaysia dan di setengah-setengah negara Islam lain dalam dunia ini. Sebab  besarnya ialah kerana masih wujud suasana `politik kekampungan` semenjak negara ini mencapai kemerdekaan 1957. Jelasnya wujud patriotisme dalam perjuangan politik yang banyak berdasarkan emosi kelompok tanpa berdasarkan nilai intelektual dan pengetahuan Islam yang rasional tetapi berdasarkan pengetahuan Islam yang `bertaklik buta kepada kata kata  pemimpin` yang banyak memutarbelit fatwa secara tidak rasional dan ada  yang tidak ikhlas kerana Allah kerana berkepentingan peribadi atau kroni dalam perjuangan parti mereka. Oleh sebab-sebab yang tersebut di atas jugalah masyarakat Islam di Malaysia hari ini  contohnya masih tinggal dalam bentuknya yang ekstremis berpecah kepada dua blok utama yang satunya dianggap blok idealisme dan yang satu lagi di anggap blok rasionalisme namun ada satu kelompok rakyat lagi yang berada dalam `garis hijau` atau dalam kelompok berkecuali atau blok naturalisme. Oleh sebab yang demikian boleh dikatakan patriotisme bangsa Melayu Islam di Malaysia masih tidak menepati kehendak patriotisme Islam yang suci sejati sebagaimana kehendak sabda Rasulullah s.a.w. ia itu:
 `Kuunuu `ibaadallahi ikhwaana` iaitu; `Jadilah kamu hamba hamba Allah yang saling bersaudara`.
Dan lagi sabda Rasululah s.a.w.
`Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, dia tidak akan menzaliminya dan tidak membiarkannya`
`Orang-orang mukmin yang saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayangi sesama mereka umpama satu tubuh, apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit (tidak dapat tidur dan terasa demam)`.
`Orang mukmin ibarat sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.`
Dan Firman Allah dalam surah Al-Hujurat:
انما المنون اخوة
Ertinya: `Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.`
Maka bagaimana hendak boleh bersaudara dan bersatu bagi penyokong dua blok politik yang berbeza ini sedangkan perkara remeh temeh pun menjadi semacam perkara besar atau tembok penghalang persaudaraan yang menimbulkan kerengganan perhubungan bangsa Melayu sendiri  dan menjadi perkara yang sangat  emosional seperti `penggunaan warna warna tertentu` (yang berkaitan dengan pengenalan warna lambang parti tertentu) dan `cara-cara seseorang  berpakaian` atau `gayawajah` personaliti individu pun amat sensitif juga kepada mereka yang menyebabkan menjadikan tidak bertegur sapa antara satu sama lain hinggakan putusnya silaturrahim walaupun dalam keluarga sendiriJangankan pula hendak bersembahyang berjumaah bersama dan berbincang dengan tulus ikhlas kerana Allah semata. Malah jika seseorang pegawai kerajaan yang berpakaian menunjukkan saperti berpakaian umum orang-orang  parti lawan pun ia akan dipandang  negatif atau terkadang dipinggirkan dari naik pangkat dalam jawatannya atau ia akan `ditouching` dilempar jauh dari kampong halamannya dalam bertugas atau pun diganti terus oleh individu lain penyokongnya manakala pegawai yang terdahulu dibuang kerja. Subhanallah... maka jika begini, bukanlah nilai baik dalam pandangan hidup Islam yang sejati dan ini hanyalah perbuatan `extremity- political-emosional`  yang benar-benar melanggar aturan kemanusiaan dan perintah Allah s.w.t.:
واتقوا الله الذى تساءلون به والاءرحام ان الله كان عليكم رقيبا
Ertinya  `... Dan bertaqwalah kepada Allah yang selalu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah senantiasa memerhati (mengawas) kamu.' (An-Nisa`:1)
Padahal Allah memuji orang orang yang beriman beramalan baik sesama mereka:
وأمرهم شورى بينهم
Ertinya: `Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka'. (Al-Shura:38).
Islam menghendaki patriotisme atau semangat kesatriaan sejati yang berdasarkan taqwa dan akidah yang sama bagi seluruh ummah bukan meletakan patriotisme dalam taklukkan emosi melampau yang berpuak berparti, kepentingan kroni dan juga kepentingan peribadi. Keretakan hubungan sesama umat Islam dalam negara  masih parah yang melemahkan bangsa umat Islam itu sendiri. Hingga hari ini kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tulin belum terlaksana. Di negara-negara Islam lain pun dalam dunia ini berlaku juga pertentangan-pertentangan sama sendiri dan peperangan bersenjata  sesama sendiri yang lebih dahshat  daripada apa yang berlaku di negara ini sering sahaja berlaku lantaran semangat kastaria atau patriotisme Islam yang murni sejati dalam dada umat Islam belum lagi zahir dalam realiti secara menyeluruh terutama kerana tidak mentaati perintah Allah s.w.t:
ولا تنا زعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم واصبروا ان الله مع الصا برين
Ertinya: `Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah smanagat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah(menghadap segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (pada jalan yang benar mengikut perintah Ilahi).' ( Q.s.AL-Anfal:46).
Kemerdekaan negara telah pun tercapai yang mana itulah salah satu matlamat utama setiap pejuang patriotisme bangsa. Kesatuan patriotisme bangsa ini pernah dirasai bangsa Melayu semasa menentang gagasan Malayan Union yang lalu. Tetapi malangnya apabila mereka berusaha memajukan negara ini dalam pengisian kemerdekaan berlaku bermacam-macam masaalah dan kerenah [perpecahan bangsa] seperti yang disebutkan terdahulu. Golongan yang dapat berkuasa lebih banyak mengambil peluang-peluang untuk diri sendiri dan kroni. Untuk negara mereka lebih banyak  menumpukan kemajuan  terhadap aspek kebendaan bagi membaiki taraf hidup rakyat tetapi tidak menitik berat kepada kemajuan keagamaan dan pendidikan  keruhanian Islam serta keluhuran budi  lantas melahir generasi yang bersifat materialistik  mengejar kemajuan duniawidan bersifat hipokrit sebagaimana tatacara hidup bangsa-bangsa Barat yang berpaksikan sistem kapitalisme dan sosialisme yang telah meninggalkan pembangunan keruhaniaan. Dalam menikmati kuasa mereka kebanyakan  memenuhi kepentingan diri sendiri dan kroni. Mereka juga  cuba memupuk perpaduan kaum-kaum melalui pelbagai ukuran rasional fikiran manusiawi dan memenuhi kehendak-kehendak hidup beragama tiap kaum sekadar yang perlu supaya tidak timbul keributan kaum.
Manakala gulungan lawannya pula yang ingin merebut `kuasa yang sama` telah menggunakan pelbagai kaedah tektik serta propaganda bagi menawan hati rakyat untuk memenangi kerusi pegundian (secara demokrasi) sama ada dengan kaedah menggunakan atau mengambil peluang kecetekan pengetahuan agama dengan `dogma keagamaan` bangsa Melayu untuk senang memanipulate fatwa `dosa-pahala-surga-neraka` yang boleh menjerat `pengundi-pengundi kampungan` dalam nada mencari keredhaan Ilahi kononnya wahal kalau yang gulungan ini pun memegang kuasa perkara yang di utamakan mereka sama sahaja saperti lawannya malah boleh jadi lebih teruk lagi andaikata keikhlasan dan takwa terhadap Allah s.w.t. tidak diletakkan di hadapan dalam memegang amanah kuasa rakyat di samping kurangnya pengalaman dan ramai pemimpin yang kemiskinan `intelektual rohaniah` tidak dapat mengekang kuda liar di dalam jiwa masing-masing pemegang amanah kuasa. Dan jika sungguh mereka (pemegang-pemegang amanah kuasa rakyat) ini patriotik Islam sejati adakah mereka ini rela mengorbankan darah, nyawa dan harta benda mereka dalam usaha dan pengorbanan melaksanakan amanah Allah iaitu memimpin manusia dengan cahaya Islam dan mengibarkan panji-panji Islam keseluruh negara dan dunia iaitu dilakukan tanpa mengharapkan kekayaan harta benda, kuasa peribadi dan pangkat kebesaran tetapi yang ia mahu ialah membawa kesejahteraan kepada negara dan untuk dunia dan menegakkan suara agamanya dan menegakkan keadilan dan nilai mulia dalam tatacara kehidupan manusia menurut wahyu Ilahi. Apa yang pernah berlaku dan dibuktikan mereka hanyalah `Kehampaan: cakap tidak serupa bikin` kerana apabila diberi berkuasa mereka juga seperti lawannya meletakkan kekayaan peribadi, kuasa, dan pangkat sanjungan untuk duniawinya jua terkadang ada yang mengenepikan keadilan serta nilai mulia keagamaan tidak sepertimana peribadi manusia yang ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. yang semestinya taat kepada perintah Ilahi:
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفر قوا
Ertinya: `Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah(Agama islam zohir dan batin),dan janganlah kamu bercerai berai'. (Q.s.Aali-Imran:103)
Prinsip patriotisme Islam sejati adalah perpaduan bangsa dan masyarakat walau pun latarbelakangnya berlainan agama tetapi bukan semangat yang membawa perpecahan tanpa toleransi. Islam adalah agama perpaduan dan kesaksamaan dan ianya adalah cukup untuk menjamin keharmonian semua anggota masyarakat dan negara selagi mana mereka saling berkerjasama untuk kebaikan seperti mana perintah Allah dalam surah Mumtahanah ayat 8. berikut:
Ertinya: `Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil`.
Dengan ini hendaklah semangat patriotisme di samping cintakan kebaikan untuk negara dan bersedia berjihad demi kemerdekaan tanahair, kebaikan serta kemajuan dan kegemilangan negara hendaklah berjuang dan terus berusaha bagi memartabatkan panji negara Islam tulin sebagaimana yang diperintah oleh Allah s.w.t. Dan kita semua hendaklah sedar malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Padahal faktor yang boleh membantu kemenangan dan kejayaan umat Islam pula ialah saling berkasih sayang dan perpaduan ummah. Selagi perkara asas ini tidak tertanam dalam jiwa seluruh umat Islam dan umat Melayu khasnya suatu perjuangan patriotisme sejati yang suci bangsa Melayu tidak akan akan berjalan di landasan yang betul dan jati diri Melayu juga akan terumbang-ambing terdedah dipukul arus perdana duniawi daripada berbagai corak pengaruh `budaya kuning` dan daripada berbagai `isme-isme` bangsa-bangsa bukan Islam di dunia ini yang mana tetap berlomba-lomba bagi memperkuatkan pengaruh serta kekuasaan mereka ke atas timur sama ada melalui kaedah kolonialisme atau pun neokolonialisme.
Sesungguhnya sesiapa yyang mendakwa agama ini (Islam) tidak menyentuh aspek politik atau politik tidak termasuk dalam bidang Islam, dia sebenarnya telah menzalimi dirinya sendiri kerana `syariat itu adalah dasar dan kuasa (pemerintah) itu adalah penjaganya`(Imam al-Ghazali). Maka perkara yang tiada dasar akan roboh dan perkara yang tiada penjaganya akan lenyap. Jika keyakinan, ucapan serta tindakan pemerintah senantiasa memisahkan antara ajaran agama dan tuntutan politik maka inilah punca kelemahan utama dan punca banyak masalah. Pemerintah  adalah orang yang bertanggungjawab di hadapan Allah dan rakyat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. `Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanya tentang pimpinan kamu.`
Selama ini kita meminjam sistem parlimen dari negara Barat  dan menggubal segala perundangan mengikut acuan Barat dan telah melalui pengalaman dalam melaksanakan sistem ini selama setengah abad dan selama setengah abad itu apakah yang menjadi masalah besar kepada negara dan Ummah? Dan sejauh manakah hasil yang diperolehi sepanjang tempoh itu dari segi pembangunan fizik dan kerohanian (selaras dengan kehendak agama) yang diletakkan dalam perlembagaan Islam sebagai agama rasmi negara dan sejauh manakah pemerintahan negara selari dengan kehendak Islam sebenar? Semua ini perlu ditinjau dan difikirkan untuk suatu perubahan yang penuh tanggungjawab bersama dalam mengisi kemerdekaan dan semangat patriotisme Melayu sejati. Orang tua-tua Melayu dahulu ada meninggalkan simpulan kata keramat iaitu ~ 'Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih`.
Maka pemupukkan semangat patriotisme Melayu setelah merdeka mestilah di fokuskan kepada memperkasakan lagi agama Islam (sekaligus roh dan syariatnya yang tulin) yang telah pun wujud peruntukkan yang termaktub di dalam Perlembagaan negara Malaysia bahawa Islam adalah agama resmi negara, memperkasakan bangsa melalui kesedaran perintah Tuhan iaitu penyatuan bangsa  melalui hubungan kasih sayang dan persaudaraan Islam seterusnya menghasilkan sebuah negara bangsa yang maju dan kuat melalui penjanaan ekonomi yang betul (tanpa rasuah, penyelewengan dan pembaziran) dan mengambil usaha yang gigih dalam perlumbaan teknologi moden dan penemuan penciptaan-penciptaan baru dalam era globalisasi moden ini. Insa Allah.
Dengan ini telah saya sampaikan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim demi agama Islam yang telah Allah s.w.t muliakan (diakui di sisi-Nya) dan yang  Allah perintahkan melalui Nabi dan Rasul-Nya semulia-mulia makhluk dan atas kebenaran Sayyidina Muhammad s.a.w. Demi bangsa dan negara yang dicintai dan demi seluruh saudara  kaum  muslimin-muslimat yang dikasihi.
Selamat menyambut hari patriotisme malaysia dan ulang tahun memperingati kemerdekaan Malaysia yang ke 52 pada 31 August 2009 .
Wassalam.
Dari jendela kesatriaan PSSGSPMM.
Jumaat 21 August 2009
Al-Fakir Ila Llah.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.