Ahwal dan Maqamat Sufi Menuju Ilahi
Artikel ini amat bermanfaat bagi para pencinta Tuhan iaitu Pernyataan mengenai MAQAMAT [darajat di jalan ketuhanan] yang awal dan asli dalam tasauf adalah sebanyak empat puluh maqamat Sufi (maqamat-i arba`in). Manakala AHWAL pula mempunyai sepuluh yang paling dasar.
Bismillahir rahmanni rahim. Dengan nama Tuhan yang Maha pengasih dan Maha penyayang. Dan kepada-Nya kita berlindung dari sebarang kesesatan dan kebatilan. Solawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rasul pilihan wasayyidil mukminin wa`ala aalihi wasohbihi ajma`in. Amin.
Pendahuluan: Penghargaan penulis melalui sebuah sajak kenangan terhadap arwah seorang mursyid Al-Qalandiah (mursyid jalanan) di Negeri Pahang Darul Makmur-Malaysia panggilan mesra beliau ialah Tok Ayah Man.
SAJAK
(AYAH MAN SEREBEH SI PENGHADAP DINDING)
Tika pertama kali ku menjabat tangan barokahnya (1984)
aku cium dengan suatu niyyat mencapai `barokah Ilahi`
dia tetap bersila rapi ketika itu rembang mentari pagi
badan dan jubah usangnya terus tegar mewangi
diam, tenang, sunyi, sepi, menghadapi dinding semadi
sesekali terdengar letusan zikir bibir gersang nya
halus perlahan dan sungguh merawan dalam tamkim
hati ku bertanya inikah musyahadah fakir dalam talwin?
Aku menunggu dalam termangu
dari siang tadinya lagi
hingga ke dinihari
ia terus bertelekun sepi
menghadapi dinding teratak khalwati
aku si pencari masih beriltizam
demi suatu harapan
untuk suatu `kurnia surga` pencerahan
Keluh ku, oh Tuhan....!
tiba tiba tangan ku di pegang
dalam kelam gelap malam
tercetuslah suatu jawaban
dalam sirr ku pemutus bicara
Pagi itu aku di mandikan pula
di sungai telaga tujuh wilayahnya
ku harapkan suatu barokah kerohaniaan
segala noda dan dosa diampunkan Rahman
dibasahi air rahmat ketuhanan.
Dia berkata:
Kau yang terperusuk di lubang najis,
lalu hanyut di bawa arus
kau terdampar di suatu pantai
tiba tiba suatu tali telah terhulur dari langit,
kau berpegang kepadanya,
kau telah di tarik naik keatas sana,
dari sana kau pula menghulur tali ke bumi
barang siapa memegang tali terhulur mu
kau pun menariknya naik ke atas sana
maka kau terimalah itu takdir rahmat-Nya`.
Batinku bertanya:
Wahai orang tua ku yang mulia dan cendakia!
kerana aku telah tercium bau harum jubah serebeh mu
bolehkah aku mengentahui hal dan maqam mu yang sejati?
Dia menjawab:
`Hal aku bagaikan kilatan cahaya
sesaat aku tampak dan sesaat lain aku lenyap
terkadang aku duduk di langit nan tinggi
terkadang tidak dapat melihat tumit ku sendiri.`
Aku pun berkata:
`Ah , rupanya ayah tidak lagi pedulikan `dua dunia`.
bolehkah aku pun jua akan Hal dan Maqamat yang sama....?`
Suasana sunyi sepi dia dan aku bisu dan kelu........
kembali ia menghadap dinding samsaranya
muraqabah faqr dalam serebeh muraqqanya
aku pun menjadi mahw,
dan tergapailah itsbat -basth.
Secara teknisnya HAL dan MAQAM mempunyai berbezaan dasar antara keduanya. Istilah HAL terkadang digunakan untuk mengertikan tingkatan jiwa atau jalan hidup Sufi secara umum. Dalam pengertian teknisnya ia sebagai tingkatan (keadaan jiwa seseorang yang sedang menjalankan tasauf dan menempuhi jalan itu. Ada pun istilah MAQAM ialah PANGKAT yang mana jika seorang Sufi tetap dan bertahan pada satu satu tingkatan jiwa, pengetahuan Ilahi dan tindakannya. Adapun MAQAM (Pangkat) berarti `derajat` seseorang di jalan Tuhan, dan pemenuhan kewajipannya yang berhubung dengan `pangkat` itu dan pemeliharaannya sehingga dia melengkapi kesempurnaannya sejauh kemampuannya sebagai manusia.
Untuk mencapai suatu MAQAM seseorang perlukan ikhtiar tetapi watak HAL adalah sebagai suatu kurnia Tuhan. Oleh itu AHWAL adalah kurnia dari Tuhan sementara MAQAMAT diperoleh. AHWAL adalah kurnia dari musim semi kemurahan hati dan MAQAMAT dicapai melalui pelaksanaan ikhtiar. Bererti MAQAM ialah jalan pendamba dengan doa-doanya di bidang ikhtiar dan kedudukannya di depan Tuhan sesuai dengan pahalanya.
HAL (tingkatan) adalah sesuatu yang datang ke dalam hati seseorang Sufi tanpa ia menolaknya bila ia datang atau menariknya bila ia pergi, dengan ikhtiarnya sendiri. Jadi HAL adalah anugerah dan kurnia yang diberikan Tuhan atas hati hamba-Nya dan yang tidak bertalian dengan penyiksaan diri (mujahadah nafs). Jadi MAQAM termasuk dalam kategori tindakan-tindakan hamba. HAL termasuk dalam kategori anugerah. Justru orang yang memiliki suatu MAQAM hidup dengan mujahadah dirinya sedangkan orang yang memiliki suatu HAL adalah `mati bagi dirinya` dan hidup dengan suatu HAL yang dicipta Tuhan di dalam dirinya.
Hasil dari menjalani disiplin dan peta perjalanan kerohanian seseorang yang ahli dapat memperoleh suatu MAQAM tertentu dalam erti bahawa murid meningkat di dalam tangga hidupnya menuju suatu derajat baru baik kehidupan maupun kesadarannya. Memiliki suatu MAQAM adalah mencapai derajat yang luhur dan tidak semua calun di dalam tariqat SUFI mencapai keadaan sedemikian.
Suatu HAL (keadaan mistis) adalah anugerah Ilahi yang bisa muncul baik kepada seorang pemula di jalan ketuhanan atau pun kepada Sufi yang telah mencapai kemajuan keruhanian dan memiliki pangkat (maqam) yang tinggi. Maka HAL ialah kilatan sesaat cahaya Tuhan yang sesaat menerangi jiwanya dan membawanya ke dalam suatu keadaan di seberang dirinya sendiri. Dalam kenyataan ada juga didapati HAL itu muncul kepada seseorang yang yang `tidak ditahbiskan` andainya ia secara kerohanian telah dipastikan untuk menerima `kurnia surga` dengan sebab Tuhan Maha Pengasih dan Maha Pemurah.
Ada pun TASAUF adalah ilmu dan peta perjalanan Sufi yang salah satu tujuan utamanya untuk mencapai Tuhan. Maka tidak dapat dicapai kecuali melalui tingkatan-tingkatan dan pangkat-pangkat kerohanian (HAL dan MAQAM) yang menduduki peranan utama. Kehidupan sufi juga salah satunya di dasarkan atas pencapaian tingkatan-tingkatan kerohanian, walaupun sufi sejati tidak mencari tingkatan-tingkatan ini di dalam diri mereka melainkan mencari Tuhan di dalam HakikatNya yang Maha Terpuji.
Mengikut aliran klasik tasauf {Al-Luma-Abu Nasr al-Sarraj} ada sepuluh Tingkatan Jiwa (AHWAL) iaitu:
1. Muraqabah (pemusatan diri) merenung di sertai rasa takut pada Tuhan.
2. Qurb (kehampiran) kepada Zat yang bersifat Jalal, Qahhar, Jalal dan Jamal.
3. Mahabbah (cinta) adalah pijakan bagi segenap kemuliaan hal. Muhabbah pada dasarnya adalah anugerah yang menjadi dasar pijakan bagi segenap hal. Ia sebagai anugerah (mawahib). Mahabbah adalah kecenderungan hati untuk memperhatikan keindahan atau kecantikan. Ada dua -> Mahabbah am dan mahabbah khashsh (tidak dihuraikan di sini).
4. Khawf (Takut) pada zat yang Maha Agong kalau kalau pelanggaran zohiriah dan batiniah (adab terhadap Al-Haq)
5. Rajaq`(Harapan) kepada Zat yang Maha Pengasih.
6. Shawq (rindu kerohanian) adalah serangan tuntutan kebahagiaan kerana Kekasih dalam hati si pecinta. Syawq adalah buah mahabbah, seorang yang mencintai Allah selalu ingin bersatu dengan-Nya. Ada dua macam syawq; 1.Syawq para pencinta berbagai sifat dengan memahami perkara-perkara seperti berkah, rahmat, dan kebaikan Allah. 2. Syawq para pencinta zat melalui kebersatuan dengan, dan kedekatan pada sang kekasih. Syawq yang berasal dari kemuliaan ini bagaikan `belerang merah` langka. Sebab biasanya manusia mencari rahmat Allah dan bukan Allah sendiri.
7. Uns (karib). Kedekatan dan berdampingan dengan Tuhan.
8. Itmi`nan (Ketenangan) atau tamkin berarti keabadian manifestasi hakikat dengan tujuan untuk menenangkan hati di tempat kedekatan dengan Allah.
9. Mushahadah (Perenungan). Musyahadah afaal, musyahadah asma, musyahah sifat dan musyahadah zat.
10. Yakin (kepastian). Keyakinan mempunyai tiga tingakatan. contohnya seseorang tidak akan meragukan keberadaan matahari apabila; 1.Beroleh petunjuk dari kecemerlangan cahaya matahari dan merasakan kehangatannya (ilm al-yaqin) 2. Melihat wujud matahari (ayn al-yaqin) 3. Memancarakan cahaya matahari dalam matahari (haqq al-yakin) ATAU i. Nampak sesuatu kerana tersuluh oleh matahari kerana cerahnya cahaya matahari ii. Rasa panas matahari iii. Melihat zat matahari.
Oleh kerana HAL adalah sesuatu yang merupakan anugerah Ilahi ia dapat mengambil banyak bentuk dan warna dan jenis-jenisnya dan sukar untuk dihitung. Yang tersebut di atas adalah yang paling jelas untuk dinyatakan di antara tingkatan-tingkatan yang dasar menjadi dalam penjelajahan seorang kelana Sufi.
Sufi harus mempunyai empat puluh pangkat kerohanian atau MAQAMAT atas selidik kebenaran dan ketulusan jika penjelajahannya di jalan tasauf ingin di terima iaitu:
1. Niyyat (niat): Sufi harus memiliki niat luhur dan tulus supaya apabila mendapat anugerah dunia ini serta berkatnya dan dunia lain berserta surganya atau bahagia dan dukacitanya, ia akan memberikan dunia ini serta berkatnya kepada orang-orang kafir dan fasiq, sedang dunia lain serta surganya kepada mereka yang beriman dan menyimpan bahagia dan dukacitanya untuk dirinya sendiri.
2. Inabat (kembali dengan penyesalan). Jika pada waktu penarikan Rohaninya (khalwat) ia melihat Tuhan, perubahan di dunia tiada akan mengubah rahsia batinnya dan ketenteraman yang dikirim dari langit tidak menyebabkan cenderawasih cintanya terbang jauh.
3. Tawbat (tobat). Semua orang bertaubat kerana melakukan pekerjaan yang terlarang (haram) dan kerana makan makanan haram supaya jangan tersiksa oleh hukum. Si Sufi bertobat walaupun melakukan pekerjaan halal dan kerana makan makanan yang halal [andainya] supaya tidak tergoda oleh yang terlarang dan meragukan (subhah).
4. Iradat (kendalian diri). Seseorang mencari kesenangan dan dengan itu kekayaan dan berkat duniawi. Si Sufi mencari penderitaan (tabah menerima penderitaan) dan dengannya kedaulatan memerintah dan kesucian.
5. Mujahadah (perjuangan batin) umpama: Orang biasa berusaha melipatgandakan yang sepuluh menjadi dua puluh. Si sufi cuba mengubah yang dua puluh menjadi kosong {buang jiwa kebendaan}.
6. Muraqabah (perenungan yang terus menerus). Perhatian yang terus menerus adalah untuk menjaga jiwa seseorang sufi di dalam penarikan rohaninya sehingga mendapat ketentuan di mana Tuhan Alam Semesta melindunginya dari perbuatan dosa.
7. Sabr (sabar). Jika bencana dua dunia menimpa si sufi maka mereka tak akan begitu mempedulikannya dan jika cinta penduduk bumi menyerbunya maka ia tidak berhenti berjalan di jalan kesabaran.
8. Dhikr (zikir). Dalam hati sufi mengenalNya dan dengan lidah ia menyeruNya. Di mana pun ia buntu tak ada jalan untuk menyelamatkan diri (melainkan) yang membawa mereka menuju Hadirat Tuhan.
9. Ridha (kepuasan). Jika ia dibiarkan tampa kain (oleh kehendak Tuhan) mereka berbahagia dan jika ia dibiarkan lapar ia bahagia. Ia tak pernah berada di rumah keinginan diri (nafsu).
10. Mukhalafat-i-nafs (melawan nafsu badani). Selama tujuh puluh tahun nafsu jasmaninya menjerit pedih ingin mendapatkan kurnia (bangsa nafsani) semata-mata dan tidak menerima apa pun kecuali kepedihan dan kesukaran (jika di bangsakan kepada kehendak pada orang orang yang mengikut kehendak nafsu jasmani).
11. Muafaqat (mufakat). Bencana dan kesejahteraan, kurnia dan kepentingan peribadi adalah sama baginya.
12. Taslim (penyerahan). Jika panah nasib terarah kepadanya dari tempat tenteram dan tersembunyi maka ia menempatkan dirinya di dalam ali-ali penyerahan dan membuka diri di hadapan panah nasib, menjadikan jiwa dan hati mereka sebagai perisai di hadapannya. Di muka panah nasib ia tegak berdiri.
13. Tawakkul (Percaya dan yakin) Ia tidak menuntut sesuatu apapun dari makhluk Tuhan atau dari Tuhan. Ia memujaNya hanya demi Tuhan sendiri. Tak ada tanya jawab. sebagai hasilnya Tuhan Penguasa Alam memberi peluang kepadanya untuk mencapai sasaran keinginannya bilamana ia memerlukannya dan tak ada perhitungan untung rugi.
14. Zuhd (penyangkalan) dari semua kekayaan dunia ini. Ia hanya memiliki jubah bertambal sulam terbuat dari robekan-robekan kain muslim atau pakaian kain kasar, tikar sembahyang dan tali tasbih. Jubahnya itu beribu kali lebih karib baginya dibanding kain halus pakaian serba mewah dan cantik.
15. Ibadat (bakti kepda Tuahan). Sepanjang hari ia duduk membaca al-Quran atau menyeru nama Tuhan [meditasi] dan sepanjang malam ia tegak di atas kakinya. Tubuhnya diusahakan supaya melayani, hatinya melimpah cinta kepada Yang Esa. Kepalanya bertalu-talu oleh damba akan Tuhan yang direnunginya.
16. Wara' (rendah diri). Ia tidak makan makanan apa pun, tidak memakai kain apa pun {tidak berkerenah memilih-milih}. Ia tidak ikut berkumpul dalam pergaulan sembarangan orang dan ia tidak memilih persahabatan dengan siapa pun kecuali Tuhan, maka terpujilah ia di sisi Tuhan.
17. Ikhlas (Ketulusan). Sepanjang malam ia berdoa atau munajat, beribadat. Sepanjang hari ia berpuasa. Jika nafsu badaninya tidak patuh maka ia akan mengusahakan supaya taat.
18. Sidq (terpecaya). Ia tidak mengambil suatu langkah tanpa terpercaya dan tidak menghela nafas kecuali di dalam kebenaran. Lidahnya hanya mengutarakan apa yang dikandungi hatinya dan hatinya memiliki rahsia batinnya dan rahsia batinnya milik Tuhan.
19. Khawf (takut). Bila ia menatap keadilan-Nya maka ia meleleh ketakutan dan ia mentaati perintah Tuhan tanpa berharap sesuatu apa pun.
20. Rajaq` (harapan). Bila ia menyeru kurnia-Nya ia melakukannya penuh dengan kegembiraan dan ia tidak memiliki rasa takut atau ketegangan.
21. Fana` (Peniadaan diri). Ia meleburkan nafsu jasmaninya dalam peniadaan diri dan menjadi hapus dari segala yang berada di bawah-Nya. Lidahnya tidak mempercakapkan benda-benda keduniaan. Tidak ada apa pun di lidah mereka kecuali Nama-Nya. Tubuhnya tidak bergerak kecuali untuk menjalankan perintah-Nya dan fikirannya tidak lahir menjadi tindakan kecuali demi Tuhan Rabbul Alam.
22. Baqa` (kekekalan hidup ). Jika ia memandang ke kanan ia lihat Tuhan dan jika ia memandang ke kiri ia lihat Tuhan. Ia melihat-Nya di dalam keadaan apa pun. Ia hidup kekal di dalam kebaqaan-Nya. Mereka puas hati dengan apa yang diberikan Tuhan kepedanya. Ia riang gembira oleh kerana kurnia dan kemurahan-Nya.
23. Ilm al yaqin (ilmu yakin). Bilamana ia memandang dengan mata ilmu yakin ia melihatnya dari langit yang amat tinggi ke bumi yang amat rendah tanpa suatu dinding apa pun.
24. Haqq al-yakin (Kebenaran sejati yang di yakini). Bila ia memandang dengan mata yakin ia melampaui semua barang buatan dan makhluk-makhluk dan melihat Tuhan tanpa bagaimana dan mengapa dan tanpa tirai apa pun.
25. Ma`rifat (mengenali). Dalam semua makhluk dari dua dunia dan dalam diri semua orang mereka melihat Tuhan dan tak ada keluhan yang timbul kerana penglihatannya.
26. Jahd (akhtiar terus menerus). Ia memuja Tuhan dalam hati dan jiwanya. tidak ada keraguan dalam ketaatan menjalankan perintahnya.
27. Wilayat (Kesucian jiwa). Dunia ini dan yang akan datang tidak sepantasnya dirangkul dengan kehendak batin mereka (himmat) dan semua surga dan kemurahannya tidaklah begitu berharga hanyalah bagaikan sebutir debu di matanya.
28. Mahbbah (Cinta). Di seluruh dunia ia hanya mempunyai satu Sahabat. Cintanya adalah satu, kerana baik secara lahir maupun secara batin ia adalah bersama dengan Yang Satu. Tubuhnya meleleh di dalam kegembiraan dan hatinyan selalu bahagia dalam hadirat Yang Suci.mereka tak memikirkan anak isteri, dunia atau kekayaan dunia.
29. Wajd (ektase). Ia tidak dijumpai berada di dunia atau di kuburan atau di hari kebangkitan atau di Jalan Lurus (sirat-jambatan di atas neraka menuju surga). Ia berada di Hadirat Yang Paling Syahdu. Di mana ia berada di situ hanya Tuhan dan dia.
30. Qurb (kehampiran). Jika ia berkata, `O Tuhan! berilah ampun kerana kami semua orang kafir serta mereka yang engkar dan semua orang yang menyembah banyak tuhan dan mereka yang menentang Mu`. `mata` Tuhan Semesta Alam tak akan menolak permohonan mereka.
31. Tafakkur (tepekur). Teman akrabnya ialah Nama-Nya. kedamaiannya berada di dalam pesan-Nya.
32. Wisal (penyatuan). Meskipun peribadinya berada di dunia hatinya bersama Tuhan.
33. Kashf (tersingkap tirai). Tak ada tirai pemisah antara Tuhan dan hatinya. Jika ia menjengok ke bawah ia ingin melihat sejauh Gau-mahi (makhluk yang mengangkat bumi). Jika ia memandang ke atas ia ingin melihat Arasy dan Kaki-Nya, Pena dan Lauhul Mahfudz sejauh Hadirat Suci (hadirat al-quds). Tiada sesuatu pun yang tersembunyi dari mereka.
34. Khidmat (pelayanan). Ia tidak henti-hentinya memberi pelayanan sekejap mata pun. tidak pula absen sedikit pun dari kehadiran Sahabatnya.
35. Tajrid (bersih diri dari sebarang ikatan). Baik bahagia atau sengsara ia tetap mengatakan`Syukur`. Ia tidak memiliki segala hal yang ada di dunia ini. Ia tidak pernah berpaling dari persahabatan-Nya
36. Tafrid (kesendirian). Di dunia ini ia asing di antara makhluk-makhluk. Jika ia dipukul ia tidak akan meninggalkan Jalan dan jika ia tidak diendahkan ia tidak menjadi tolol.
37. Inbisat (perluasan). Ia berani mati di depan Tuhan. Jika Tuhan Penguasa Alam mengirim malaikat maut kepadanya pada waktu kematiannya, ia tidak akan tunduk sebelum ia mendengar dari Sahabat dunianya yang membolehkan jiwanya meninggalkan dunia. Ia tidak takutkan Mungkar dan Nakir dan ia tidak memikirkan Kebangkitan. Ia juga tidak meletakkan kakinya di Langit tinggi dan juga tidak peduli kepada wajah para huriyah serta mahligai surga yang indah sebelum ia memiliki visi (penglihatan) mengenai Raja Yang Maha Pengampun.
38. Tahqiq (ketentuan tentang Yang Benar). Ia di dalam keadaan takjub dengan jerit dan ratap. Ia menjauh dari makhluk-makhluk dan tergantung oleh rantai gapura-Nya.
39. Nihayat (tujuan yang luhur). Ia telah mencapai rumah penginapan di tepi jalan dan telah putus dalam gurun ketenteraman. Dengan mata hati ia telah melihat Tuhan.
Semoga para pembaca artikel akan tersentuh terhadap semua maqam-maqam atau melampaui semua maqam menuju Maqam tertinggi dari terlaksananya Kesatuan (tauhid) yang sepenuhnya iaitu yang merupakan akhir dari suatu kehidupan kerohanian di dalam Islam. Pengalaman tingkatan-tingkatan kerohanian ini tetap mungkin bagi siapa yang ikhlas ingin mengabdikan diri sepenuhnya dalam kehidupan kerohanian dan ingin mencari tingkatan-tingkatan serta maqam-maqam kerohanian tersebut dengan niat yang benar-bukan tujuan sendiri tapi sebagai langkah yang membawanya kepada Yang Maha Tunggal yang berada di atas dan melampaui segala tingkatan dan maqam-maqam jiwa dan pada saat yang sama berada di pusat wujud manusia di dalam sumber asas (dasar-hakikat) nya yang menyatukan semua tingkatan kehidupan manusia, kehidupan jasmani, kejiwaan dan kerohanianya pada Prinsip umumnya. Dengan itu mendapat darjat Sufi seperti maqam ke empat puluh ini iaitu:
40.Tasawwuf (tasauf). Ia adalah Sufi, manusia yang telah bersih dari semua keinginan. Kehidupan batinnya bersih dari kemalangan. kata-katanya bebas dari kelalaian, kealpaan dan fitnah. Fikirannya bersinar-sinar dan matanya mengelak dari dunia. Ia telah mendapat petunjuk dari Yang Maha Benar.
Madah seorang pujangga Arab:
Cukuplah kemuliaan bagi diriku
dengan gelaran sebagai `hamba`
Dialah Tuhan
Yang akan mematikan ku
tanpa sesuatu perjanjian.
Dalam kesucian Zat
Dia lah Yang Teragung
tetapi aku
akan dapat menemui-Nya
bila dan di mana sahaja
yang aku suka.
Wallahu a`lam.
Jumaat 17 July 2oo9 Bersamaan 24 Rejab 1430.
Sempena mengingati peristiwa agong dan mukjizat agong Rasul pilihan pembawa rahmat semesta alam Nabi Yang Mulia Sayyidina Muhammad s.a.w. iaitu peristiwa Isra`-Miraj malam 27 Rejab. Peristiwa yang telah mengangkat darjat dan maqamnya yang paling tinggi di antara seluruh makhluk ciptaan Allah SWT di seluruh alam semesta ini.
Ertinya: `Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) dari Masjidil Haram ke masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat`. (Q.S, al-Isra`:1).
Wassalam.
Al-Fakir ila Rahmatillah
Tiada ulasan