Allah Yang Maha Esa Tuhan Semesta Alam
Membetulkan akidah mengenai penggunaan nama Tuhan `ALLAH` (الله) mengikut agama Islam serta menangkis kecelaruan fahaman yang mungkin timbul akibat daripada akidah pemahaman penganut agama lain yang juga memakai nama `Allah` dalam sebutan terhadap tuhan dalam agama mereka.
بسم الله الحمن الرحيم Segala puja dan puji hanyalah bagi Allah Tuhan semesta alam. Tiada daya dan upaya hanyalah dengan Allah dan kepadaNyalah sahaja kita pohon pertolongan. Shalawat dan salam kepada penghulu para rasul, pemimpin orang orang taqwa, yang telah engkau ciptakan dengan kebesaran-Mu, dan Engkau menghiasi dengan keelokkanMu dan Engkau mahkotai dengan kesempurnaanMu, dan dan Engkau jadikan ia ahli untuk memandang Dzat-Mu dan Engkau jadikan ia sebagai tempat bagi asma dan sifat-Mu, dan Engkau gandingkan namanya dengan namaMu, dan ketaatan kepadanya dengan ketaatan kepada Mu, Muhammad bin Abdillah, serta para keluarga dan sahabatnya yang menyeru kepada Allah. Ya Allah, ya Tuhan ku limpahkan shalawat kepada sayyidina Muhammad, wakil hadrat Dzat-Mu, yang memastikan dengan asma dan sifat-Mu, yang mengumpulkan antara yang ada dan tiada, pemisah antara yang baru dan yang lama, yang pemimpin orang-orang yang terbuka dengannya segala yang terkunci, dan menjadi pulih setiap yang pecah, dan menjadi merdeka kembali setiap yang dikalahkan, pemberi sufaat di hari akhirat. Aamin.
Assalamu a`laikum warahmatullahi wabarakaatuh. Selamat sejahtera semua anda yang dirahmati Allah.
ALLAH Tuhan Yang Maha Esa ialah pencipta dan penguasa seluruh alam samesta. Ialah yang menamakan nama-Nya sendiri ALLAH sepertimana Firmannya di dalam Al-Quran yang suci:
الله لآ 1له الا هو له الأسماء الحسنى ( QS. Thaha:8)
'Allahu laa ilaaha illa hua lahul `asmaa ul husnaa' .
Ertinya : `Allah,tidak ada Tuhan melainkan Dia, Dia mempunyai Asma`ul Husna (nama-nama yang baik).
Dan lagi firman Allah dalam al Quran:
انا الله لآ اله الا انا (QS. Thaha:14)
`AnalLaahu Laaha illaa Ana`.
Ertinya: `Akulah Allah tidak ada Tuhan (yang di sembah sebenar benarnya) melainkan Aku`.
ALLAH SWT juga berulang ulangkali menyatakan yang Dialah Tuhan bagi semesta alam contohnya:
`Maka datanglah kamu berdua kepada Fir`aun dan katakanlah olehmu: `Sesungguhnya kami adalah rasul Tuhan semesta alam.` (26:16)
Mereka berkata:`Kami beriman kepada Tuhan semesta alam.` (26:47)
`Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan semesta alam`. (26:77)
`...upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam`. (26:109)
`Sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam`. (26:192)
`...dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.` (27:8)
`...iaitu:`Wahai Musa,sesungguhnya Aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.` (28:30)
`(sesungguh kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama nenggoncangkan alam' . (81:29)
`(iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam.` (83:6)
`ALLAH` lafaz yang Maha Mulia adalah Sultanul Asma (Raja nama di antara segala nama-nama Tuhan Allah SWT). Inilah nama yang menunjukkan di atas ketuhanan yang sebenar dan meliputi segala makna-makna bagi nama-nama yang lain. Pendek kata bahawa lafaz ALLAH itu nama Yang Maha Agong atau nama Yang Maha Besar yang menempati bagi sekelian nama-nama dan sifat-sifatNya dan Yang Wajib WujudNya dan yang berhak ke atas segala jenis pujian.
Bahawa memadailah keagongan nama ALLAH jika dikatakan `Ar-Rahman `(Yang Maha Pengasih Maha Pemurah) itu daripada nama ALLAH tetapi tidak boleh dikatakan ALLAH itu daripada nama Ar-Rahman. Maka Allah itu adalah semulia-mulia nama yang terpilih kerana menunjuk ke atas Dzat yang mempunyai segala sifat-sifat ketuhanan. Oleh kerana itu nama-namaNya yang lain [misalnya 98 nama lagi daripapada 99 nama Allah asma al-Husna] adalah menunjukkan juzu` daripada sifat maaniNya dan nama-nama yang zahir dari sifat-sifat perbuatanNya jua.
Ada pun keagongan, kemuliaan, keutamaan nama ALLAH ini tidak boleh dipernamakan sesuatu makhluk pun dengan namaNya ini. Pada Zaman dahulu kala ada diriwayatkan adalah seorang perempuan menamakan anaknya `ALLAH` maka turunlah api daripada langit membakar hangus anaknya. Justeru itu bagaimana pula akibatnya yang lebih teruk jika ada seseorang manusia mengiktiqadkan bahawa ada sesuatu benda atau pun seseorang manusia itu ialah ALLAH? atau dikatakan sebahagian dari ALLAH? Tunggulah akibat kemurkaan, siksaan dan azabnya dari ALLAH Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa sekarang di dunia atau pun di akhirat nanti kerana i`tikad kafir dan syiriknya.
Ismul-Jalaalah `ALLAH` digelarkan juga al-Ismul `adhzom` ialah Sultan bagi segala nama dan baginya kelebihan yang terutama daripada nama-nama yang lain kerana tiap-tiap juzu` daripada lafazul-Jalaalah `ALLAH` mengandungi makna ismul-jalaalah `ALLAH`. Contohnya apabila diceraikan tulisan hurufnya, menunjuk juga huruf yang diceraikan itu atas nama ketuhanan, misalnya jika diceraikan LAM yang pertama jadilah ILAAHUN [Tuhan]. Jika kedua LAM diceraikan jadilah AH (اه) [maksud, Tuhan] jika LAM dan HA ditinggalkan berupalah AL (ال) iaitu Tuhan dengan sebutan bahasa seriani dan jika diambil HA (ه) sahaja berbunyilah huruf itu HU (هو) pada sebutan. Adapun Hu pada sebutan ialah `Isim` menunjukkan di atas semata-mata Dzat dan menghimpunkan segala isim yang bergantung denganNya [Dzat].
Dalam akidah mengenai ketuhanan agama Islam ALLAH adalah Tuhan bagi semesta alam yang Maha Esa yakni satu Dzat Yang Maha Kuasa Yang Maha Abadi dan Maha Tunggal (Maha Esa). Seorang penganut Islam adalah ahli Tauhid Sejati yakni mengesakan Ketuhanan ALLAH pada DzatNya (DiriNya) SifatNya, AsmaNya` dan AfaalNya.
Adapun Tentang Keesaan DZAT ALLAH ini ditegaskan dengan Firman ALLAH di dalam wahyunya surah al-Ikhlas:
بسم لله الرحمن الر حيم
قل هو الله احد . الله الصمد . لم يلد ولم يو لد . ولم يكن له كفوا احد
Ertinya:
`Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang'. `Katakanlah! Dia adalah ALLAH (Tuhan) Yang Maha Esa.ALLAH adalah tempat bergantung. Dia tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan (sebagai anak) dan tidak sesuatu pun yang ada persamaannya dengan Dia`.
`In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.` Say: He is ALLAH, The One Only. ALLAH the Eternal, Absolute. He begetteh not, Nor is He begotten, And there is none Like unto Him.`
Imam Abusy Syekh di dalam kitabnya `Al-Azhamah` ada mengatakakan hadits dari Anas r.a. menceritakan, bahawa orang-orang Yahudi Khaibar datang kepada Nabi saw lalu mereka berkata: `Hai Abul Qasim (nama Julukan Nabi Muhammad saw.) Allah telah menciptakan malaikat dari nur (cahaya) al-Hijab, Nabi Adam dari lumpur hitam yang diberi bentuk, iblis dari nyala api, langit dari asap, dan bumi dari buih air. Maka ceritakan kepada kami tentang Rabbmu (Tuhan mu).
Nabi tidak menjawab kata-kata mereka, maka datanglah malaikat Jibril dengan membawa surat ini yaitu FirmanNya: `Qulhu Allahu Ahad...` (surah al-Ikhlas tersebut).
Hubaya-hubaya pada hari ini ada beberapa agama lain dari Islam yang menggunakan nama tuhan mereka juga `ALLAH` contohnya agama Bahai dan Kristian dan juga beberapa agama lain. Walau pun begitu konsep [Akidah] ketuhanan `ALLAH` mereka tidak sama denga konsep tauhid dan juga tasawwur serta syariat agama Islam yang maha suci.
AGAMA BAHAI atau Kalta Bahaiyah diasaskan oleh seorang pengikut syiah bernama Mirza Ali Muhammad yang digelar al-Bab (pintu). Kalta ini sebenarnya telah mula muncul sejak tahun 1853 di Sirazi, Iran. Kemudian aktif di Palestin dengan imam barunya Mirza Hussein Ali Bahaullah. Dari Palestin anaknya Abdul Baha` menyebarkan ajaran kaltanya ke Eropah dan Amerika yang mana ramai menjadi pengikutnya di kedua benua ini. Sebutan terhadap Tuhannya ialah `ALLAH`. Tetapi ajaran kalta ini termasuklah kepercayaannya `Bahawa agama yang benar di dunia ini ialah Dinullah (Agama Allah), yaitu agama Yahudi, Nasrani dan Islam.` Maka tiga agama itu harus disatukan. Malah ia menganjurkan penyatuan semua agama di dunia.
Agama Bahai ajarannya jauh menyimpang dari ajaran Islam yang murni tulen. Antara ajarannya asasnya ialah perhatian istimewa kepada angka 19. Angka 19 disifat sebagai `PUSAT ALAM` kerana pengasasnya Mirza Ali Muhammad yang bergelar AL-Bab itu dilahirkan tahun 1819 maka dihitung angka-angkanya 1+8+1+9 berjumlah 19 menjadi angka suci agama Bahai.
Agama Bahai mempunyai kitab sucinya yang dipanggil BAYAN. Kandungan kitab ini dibahagi kepada 19 WAHID. Setiap Wahid dibahagi kepada 19 bab. Hukum hakam dalam agama bahai berkisar kepada angka 19. Misalnya sesiapa yang menyebabkan penderitaan kepada orang lain dikenakan hukum membayar 19 mithqal emas atau pun perak. Ibadat puasa pula adalah selama 19 hari sahaja. Taqwimnya pula membahagi setahun kepada 19 bulan. Tiap sebulan mengandungi 19 hari.
Dalam kitab Bayan bahawa angka 19 ialah huruf hidup atau huruf hayy yang datang dari kalimah arab `Wahid` bererti SATU atau Esa (Sifat Tunggal Tuhan- ALLAH). Bila huruf huruf dalam kalimah Wahid diberi nilai, jumlah nya juga adalah 19. Mengikut Kitab Bayan angka 19 yang dianggap angka suci itu mengalir dalam segala benda. Dalam kitab agama Bahai yang kedua iaitu `Kitabul Aqdas` tidak menyebut langsung kepercayaan kehidupan hari akhirat (Kehidupan setelah mati-Hari kebangkitan semula setelah mati) Hari akhirat disifatakan sebagai `takwilan` (allegorical) saja. Kepercayaan Bahai ialah menolak adanya syurga dan neraka atau balasan baik dan buruk di akhirat.
Para ulama Bahaiyah berusaha pada mulanya untuk menyatukan tiga agama iaitu agama Nasrani (kristian), Yahudi dan Islam atas alasan ketiga-tiga agama itu datang dari Tuhan (Allah) yang sama. Motifnya ialah untuk mewujudkan suatu Agama Internasional. Cadangan ini adalah atas dasar untuk menghapuskan permusuhan dan menamatkan peperangan manusia iaitu antara penganut daripada perbezaan agama. Tetapi anjuran ini tidak mungkin berjaya kerana antara ketiga agama yang tersebut berbeza banyak dari segi masing-masing akidah. Agenda Bahaiyah ini berlawanan benar dengan akidah suci agama Islam yang tidak boleh menerima samasekali dogma konsep `TIGA TUHAN DALAM SATU` dan Tidak boleh menerima dan membenarkan sama sekali kepercayaan dan juga pemujaan terhadap `PATUNG BERHALA` sebagai wakil Tuhan. Dan tidak boleh menerima konsep tasawwur dan syariat agama lain hasil rekaan manusia yang tidak berdasarkan wahyu Allah SWT.
Dalam al-Quranul Karim banyak wahyu Ilahi yang menegaskan bahawa agama Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah terpesong jauh dari dasar agama asal mereka yang (yang sejati benar dari Allah swt) diajar oleh Nabi Musa a.s. (untuk Yahudi) dan Nabi Isa a.s. (untuk Nasrani).
Ditegaskan bahawa orang Yahudi percaya Nabi Uzair a.s. sebagai anak Tuhan, sedangkan Nabi Isa a.s. (JESUS) pula dipercayai oleh orang kristian sebagai anak Tuhan. Kepercayaan akidah saperti ini berlawanan dengan akidah Islam yang percaya bahawa Nabi Isa dan Nabi Uzair adalah hanya Nabi dan Rasulullah sepertimana para Nabi dan Rasulullah yang lain-lain juga.
Kaum Bahaiyah mempercayai bahawa pengasasnya al-Bab atau Mirza Ali Muhammad dan Khalifahnya Mirza Husein Ali adalah Jelmaan Tuhan di dalam konsep wahdatul wujud. Dogma ini berlawanan dengan akidah Islam ahli sunnah waljamaah bahawa Tuhan itu Mukhalafathu lil hawaadits yakni Tuhan tidak menyamai makhluk atau sesuatu kejadian yang baharu ini. Dogma bahaiyah juga mengumumkan bahawa Tuhan menjelma dalam tubuh Baha`ullah iaitu mahagurunya pada peringkat kedua. Dogma makhluk jelmaan Tuhan ini selaras dengan dogma kaum keristian dengan akidah `TRINITI` atau `TRITUNGGAL` Bahawa Tuhan itu terdiri dari tiga juzu` yang berlawanan sama sekali dengan akidah ketuhanan suci Islam yang mengimami KESAAN ALLAH SWT sebagai Tuhan semesta alam.
AGAMA KRISTIAN ORTODOKS penganutnya berpegang kepada Injil Perjanjian Lama (The old Testament) Memang menggunakan nama `ALLAH` sebagai Tuhan mereka. Penganut Kristian mendakwa bahawa Perjanjian Lama ini sampai kepada mereka melalui perantaraan nabi-nabi yang diutuskan Tuhan sebelum Nabi Isa a.s. Mereka mendakwa mengetahui kisah-kisah zaman silam dan syariat syariat keagamaan dan kemasyarakatan orang-orang Yahudi dalam kitab ini termasuk juga apa yang dikatakan `Dosa Warisan`, syair, kata-kata hikmat dan lain-lain lagi. Daripada kitab ini mereka juga mengetahui perkhabaran tentang nabi-nabi yang akan datang. Sungguh pun begitu syariatnya tidak lengkap sebagaimana lengkapnya syariat agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w penutup segala nabi dan Rasul dan yang melengkapkan segala syariat Allah yang dibawa oleh para nabi dan Rasul-Rasul yang terdahulu. Oleh itu semua syariat agama agama terdahulu secara personel adalah mansukh kerana semua lengkap terkandung dalam syariat Muhammad s.a.w. Sebab itu apabila Nabi Isa a.s. turun pada akhir zaman dia pun akan menjalankan syariat Muhammad s.a.w. dan berakidah sebagaimana akidah pengangan Islam umat Muhammad s.a.w. juga.
Dalam INJIL PERJANJIAN BARU (The New Testament) yang menjadi penganut kristian KATOLIK, LUTHERAN, ANGLIKAN dan lain-lain mereka pada mulanya tidak menggunakan nama `ALLAH` dalam panggilan Ketuhanan mereka. Namun begitu pada hari ini gulongan kristian yang BUKAN Mazhab Ortodoks telah pun ada yang menggunakan nama `ALLAH` termasuklah di dalam Bible mereka (Perjanjian Baru ). Asal kitab `Perjanjian Baru` adalah salah satu kitab yang dikarang dalam bahasa Greek (Yunani) yang ditulis di luar Palestin (Negeri Kelahiran Nabi Isa a.s.). Semua Perjanjian baru ini dibukukan dan dijadikan satu kitab agama Kristian yang pada asalnya diambil daripada karangan-karangan, surat-surat dan catatan-catatan dalam bahasa Greek dan Aramiya yang timbul banyak percanggahan. Ia mempunyai konsep `Tiga Tuhan Dalam Satu` seperti mana konsep ketigaan dalam konsep ketuhanan agama Hindu.
KONSEP TIGA TUHAN DALAM SATU dalam agama Hindu ialah tuhan-tuhan yang bernama Brahma, Visnu dan Siva. Dalam kitab RAJAPANABURANA di kisahkan saorang sami bertanya kepada tuhan-tuhan Brahma, Visnu dan Siva: `Yang manakah di antara kamu tuhan yang sebenar?` mereka semua menjawab, `Ketahuilah wahai sami, di antara kami tidak ada perbezaan langsung. Tuhan yang satu lahir dengan tiga rupa mengikut tugas-tugasnya, iaitu MEMELIHARA, MENCIPTA, dan MEMBINASAKAN. Tetapi sebenarnya dia adalah satu. Siapa yang menyembah salah satu daripada yang tiga maka seolah-olah dia menyembah mereka semua atau pun menyembah yang tunggal maha tinggi.`
TRINITI: Brahma, Visnu, dan Siva muncul hasil berlakunya suatu evolusi dalam penganutan agama Hindu. Sebab itulah didapati dalam teks VEDA yang klasik itu ketiga-tiga nama tuhan agama Hindu ini tidak ada atau tidak wujud. Padahal tuhan-tuhan yang banyak di dalamnya itu dikenali dengan nama VARUNA di langit, INDRA di udara dan AGNI di bumi dan ia berpadu menjadi satu dalam tiga tuhan saperti yang diterangkan. Sebenarnya konsep dan dogma kepercayaan sami-sami Hindu inilah yang merintis jalan kepada orang agama Kristian mengeluarkan konsep dan dogma ketuhanan dalam agama mereka sebagai TRINITI atau TRITUNGGAL dalam ajaran Kristian!.
PENGANUT ISLAM: Berdasarkan ayat surat al-Ikhlas yang mana Allah menegaskan bahawa, `Katakanlah (Muhammad) Dialah Allah Yang Maha Esa..` Maka orang Islam menggunakan kalimat `ALLAH` sebagai Tuhan Rabbul Jalil yang mana Allah itu satu dan tidak ada Tuhan melainkan ALLAH. Dialah yang menciptakan langit dan bumi juga seluruh alam yang zahir dan alam ghaib. Bergantung perwujudan makhluk kepada-Nya [tidak dapat dipandang mata kasar manusia]. Tidak beranak dan tidak juga diperanakkan dan Dia tidak menyamaiNya dengan sesuatu. Konsep ini berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang menyebut nama tuhan `ALLAH` tetapi konsep dan dogma ketuhanannya itu adalah TUHAN BAPA, TUHAN ANAK dan RUHUL-QUDDUS. Walau pun mereka sebut juga `ALLAH` tetapi tetap bertuhankan kepada JESUS ( tuhan anak).
Sebagai contoh penggunaan kalimat ALLAH misalnya dalam kitab Bible Perjanjian Baru (New Testament) dalam kejadian 1 ayat 1-3 ia mencatatkan: `Allah menciptakan langit dan bumi serta isinya, pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi, bumi belum berbentuk dan kosong, gelap gelita menutupi samudra raya dan roh Allah melayang-layang di atas permukaan air`
Dalam surah lain Bible Perjanjian Baru, Metthew 27:46: Jesus berteriak dengan suara lantang `Eli-Eli [Tuhanku] mengapa engkau tinggalkan aku`
Dalam dua penceritaan Bible ini timbul kekeliruan dalam menggunakan kalimat nama Tuhan. Yang satu menggunakan kalimat ALLAH yang satu lagi menggunakan kalimat Eli-Eli. Perkara ini pun menimbulkan kekeliruan penganut kristian sendiri. Dalam Bible dan risalah-risalah mereka sekarang ada mereka menggunakan kalimat ALLAH terhadap tuhan mereka sedangkan dalam masa yang sama mereka masih bertuhankan JESUS (Nabi Isa a.s) maka hal ini amat bersalahan dengan konsep ALLAH dalam akidah dan dogma penganut Islam [kerana berlaku syirik dan batil dalam akidah mengikut konsep ketuhanan dalam Islam]. Mengikut kajian dan pandangan Islam, Bible pada hari ini bukan ajaran sebenar yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Maka ia bukanlah agama ALLAH lagi. Ia [Agama Kristian] hanyalah tulisan dan ajaran Paulus, Matthew, Lucas dan Yahones semata. Sungguh banyak penipuan dan kebatilan apabila diselidiki mengenai kisah-kisah penulisan oleh mereka ini terutama jika hendak dijelaskan bilakah Isa [Jesus] mulai dianggap Tuhan dan bilakah Roh Kudus itu dianggap Tuhan dalam agama Kristian.
Nabi Isa a.s. dengan ajaran-ajarannya adalah mendidik rohani dan budi pekerti luhor tetapi sedikit sekali memberi perhatian kepada jasmani dan pembangunan material, bahkan dalam banyak aspek ia meremehkan nilai kedua hal tersebut. Namun seruan-seruan baginda hampir hilang sesudah ketiadaannya di kalangan manusia. Kemudian dari itu muncullah Saul seorang Yahudi Rumawi dari gulongan Farisi (gulongan kasta tinggi di kalangan Yahudi). Dia tidak pernah melihat Isa a.s. (Jesus) dan tidak pernah pula mendengar tabligh baginda (pada mulanya ia musuh besar terhadap ajaran Isa a.s. dengan mengenakann bermacam-macam siksaan kepada pengikut-pengikut Isa a.s dengan pelbagai tekanan malah juga melakukan pembunuhan) Kemudian ia berpaling semula kepada `Agama Kristian` bikinannya [kononnya agama Kristian anutannya itu dari ajaran Isa a.s.] dan menggunakan akal dan pengalaman serta kedudukannya sosialnya bagi mempopularkan agama tersebut di samping untuk kepentingan diri dan keuntungan peribadinya sendiri.
Saul telah membentuk agama Kristian atas nama Isa (Jesus). Saul yang kemudiannya diberi nama Paulus itu pada hakikatnya adalah sebenarnya pendiri agama Kristian [Bukan dari ajarana Isa a.s]. Dari agama Yahudi ia mengambil fikiran `Kebapakan antara Tuhan dan manusia` iaitu kebapakan Tuhan bagi manusia dan fikiran `Persaudaraan sesama manusia`. Begitu juga ia mengambil sifat sifat `keutamaan` yang dibicarakan oleh agama Yahudi [walau pada hakikatnya orang-orang Yahudi sendiri tidak mengikutinya] iaitu `kecintaaan, kasih sayang, dan keadilan`. Dari kebudayaan timur diambilnya kesenian dan gambar-gambar yang dijadikan menghiasi gereja-gereja sebegitu juga mereka memakai manik-manik, gambar-gambar, perasapan, dan nyanyian-nyanyian. Dari budaya Rumawi, gereja mengambil peraturan cara membahagi kekuasaan dan tatatertib gereja dan lain-lain lagi.
Pendek kata Paulus memasukkan ke dalam `Agama Kristiannya` [Isa a.s. sebelum ini tidak pernah pun menamakan ajaran dan seruan baginda kepada para pengikutnya dengan nama agama Kristian] itu beberapa ajaran Yahudi untuk menarik rakyat umum bangsa Yahudi, sebagaimana juga memasukkan gambaran-gambaran dari filasafat Yunani untuk menarik bangsa Gerik. Dan lain-lain unsur lagi itu dengan tujuan mempopularkan ajaran agamanya. Kemudian ia mulai pula menyebarkan kepercayaan dalam agamanya bahawa Isa a.s. atau Jesus adalah seorang juru selamat, seorang pembebas. Maksudnya dengan perantaraan Isa manusia dapat mencapai keselamatan. Istilah-istilah yang dipakai oleh Paulus dikenal oleh kebanyakan golongannya, terutama sekali oleh Mithras dan Cybele. Gulongan-gulongan ini sangat kuat menyokong pada agama Kristian Paulus. Untuk menarik kaum terpelajar bangsa Yunani ia telah meminjam filasafat Yunani dari Philo tentang butir-butir buah fikiran mengenai hubungan Tuhan dengan bumi dalam filsafat Al-Kalimat (The Logos) atau anak Tuhan (The Son of God) atau (The Holy Ghost).
Paulus memulaikan penyiaran agama bikinannya di kota Antioki. Di sanalah untuk pertama kalinya dalam sejarah agama di dunia ini kata yang masyhur CHRISTIAN diguna pakai. Pada mulanya agama `Kristian Paulus` ini mulai tersebar di kota-kota yang para penduduknya kebanyakan dari golongan miskin dan sensara. Kemudian barulah tersebar ke kota-kota dan tempat-tempat yang lain. Dari risalah-risalah yang dikirimkan Paulus kepada para pengikut dan penyokongnya didapati sebahagian besar dari ajarannya itu merupakan bahan-bahan yang melahirkan Bible Perjanjian Baru [The New Testament].
Selain dari risalah risalah Paulus, Perjanjian baru itu terdiri dari empat Bible yang dinamakan dengan nama empat orang pengikut setia Isa a.s. walaupun kitab Bible itu hakikatnya BUKAN hasil karya mereka berempat itu. Ada pun sejarah hidup Isa a.s. dan segala seruan pengajaran baginda adalah tertulis dalam bahasa Aramia mengikut kajian ahli-ahli sejarah. Tetapi bukunya yang aslinya telah hilang. Tetapi ada kemungkinan besar kebanyakan isi Bible yang empat itu diambil dari buku yang asli itu. Adapun Bilble yang empat itu mulanya ditulis dalam bahasa Yunani setelah berlalunya satu atau dua generasi selepas ketiadaan Isa a.s. Yang tertua di antara keempat-empatnya ialah Bible Markus (65M) dan yang terakhir ialah Bible Yahya (100 M).
Paulus adalah pendiri hakiki agama kristian [Masehi] bukanlah Nabi Isa a.s. pendirinya. Paulus telah mengembangkan pemikiran agama ciptaannya dalam segi ketuhanan dan dari segi kemanusiaan serta menyesuaikannya dengan idea penyelamatan purba. Idea ini diaplikasikan sebagai akidah pegangan gereja Kristian kemudiannya saperti mana tulisan Gerald Berry dalam bukunya Religions of the World (hal.68-76): `Menurut pendapat gereja, Al Masih adalah Tuhan yang berubah menjadi manusia, hidup dengan manusia lain sebagai seseorang di antara mereka untuk mengajarkan cara utama di dalam kehidupan. Tuhan ini dibunuh oleh komplotan yang diatur oleh musuh-musuhnya, lalu dikuburkan. Setelah itu ia bangkit dari kuburnya dan naik kelangit. Dia memikul segala penderitaan untuk membebaskan manusia yaitu orang-orang yang percaya kepadanya dari segala dosa...`
Pernyataan akidah ketuhanan seperti di atas amat tidak logik dan amatlah melucukan jika dipandang dari konsep akidah ketuhanan ALLAH SWT Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa serta Maha Pengampun dalam Islam. Konsep ketuhanannya itu juga didapati berlawanan dengan akal fitrah suci (latifah Rabbaniah) manusia. Sebab itulah ahli-ahli fikir rasional Barat dari dahulu hingga sekarang banyak menentang kekuasaan dan pegangan akidah gereja Roma Katolik. Mereka mereka ini kebanyakannya tidak menganut agama Kristian seperti yang dianut oleh orang umum dan tidak menurut membuta tuli dengan `kebodohan` apa yang diajar oleh gereja dan pendeta [yang berkepentingan diri ini] mereka ini walaupun pada zaman dulu ada yang dihukum bunuh tetapi sekarang gereja (mulai 1929) hanyalah melarang dan `mengharamkan` saja daripada membacanya [sebab gereja sekarang sudah tidak ada kuasa menghukum secara autokrasi lagi] terhadap penulisan oleh ahli-ahli fikir rasioanal ini [mereka dianggap sesat dan ilhad oleh gereja] Tulisan-tulisan pemikiran rasional yang menggugah dogma akidah Kristianiti ini dianggarkan lebih dari lima ribu jenis dari tulisan tulisan karya pemikir misalnya Maeterlinck, Emile Zola, Ernest Renan, Jean Jacque Rousseau, Ramus dan anaknya, R.Descartes, Le Mannais, Victor Hugor `The Decline and Fall of Roman Empire` karya Edward Gibbon. `The History of the English Litrature` Karya H. Taine. Risalah-risalah pendapat Pascal dan banyak lagi. Akibat dari ketidakrasionalan akidah Kristian yang berasal dari `akalan Paulus` ini muncullah gulongan-gulongan cendekiawan yang lahir dalam masyarakat Kristian yang hanya percaya akan kewujudan TUHAN ALAM SEMESTA sahaja tetapi tidak percaya kepada kitab-kitab suci, terhadap syiar gereja itu sendiri. Golongan ini terkenal dengan nama DEISTS (yang percaya hanya kepada Tuhan sahaja) dan agama mereka disebut Agama NATURE yang jauh berbeza dengan agama gereja. Pelopor aliran ini ialah seperti Lord Herbert Cherbury, Anthony Collins, Polter dan Benyamin Franklin. Cuma golongan ini tidak mahu mengkaji dan mendalami Prinsip dan akidah ketuhanan Islam [untuk mencari kebenaran beragama] yang mana makin mendalam sesaorang mempelajari dan mengkaji Islam berserta dengan prinsip-prinsip Ketuhanannya, tassawwur, filsafat, kebudayaan, dan ajaran budi pekerti yang terdapat di dalamnya akan makin bertambah cinta dan keyakinan kepada agama Islam. Sebaliknya bagi agama Kristian makin sesaorang mendalami ajaran Kristian yang asli makin jauhlah ia dari agama gerejanya. Jika kajiannya sampai pada hakikat Mesehi[Ajaran Isa a.s.] yang sebenarnya maka ia akan tahu akan kebenaran Agama Islam di bawah panji-panji Muhammad s.a.w. dan mungkin ia akan meninggalkan agama Kristian secara keseluruhannya atau jika tiada hidayah Islam ia akan memilih agama lain yang mana pada pemikirannya lebih baik dari Kristian untuknya atau mungkin pula ia akan memilih terus cara kehidupan Atheisme [Tidak beragama] walaupun pada anggapan masyarakat ia masih tergolong dalam beragama Kristian.
Pada hari ini jika penganut Kristian benar-benar mengakui ALLAH sebagai Tuhan Yang Maha Esa maka mengapa pula dalam masa yang sama mereka mereka ini menyekutukan Dzat ALLAH dengan menjadikan Isa (Jesus) sebagai tuhan juga [masih puja palang-cross] serta mempertuhankan juga Ruhul-Quddus. Dan apakah agenda Kristian yang bersungguh-sungguh ingin menggunakan nama ALLAH dalam kitab Bible barunya [terutama yang berbahasa Melayu-Indonesia] dan risalah-risalahnya mengenai kristian. Dan apakah agendanya mereka yang mahu menjadikan nama ALLAH sebagai sebutan nama tuhan mereka secara rasmi melalui undang undang negara? adakah agenda ini berkait rapat dengan anjuran George W.Peters dalam makalahnya, An Over View Of Missions To Muslim?. Dalam makalah ini Peter telah mengakui betapa besarnya pengorbanan serta tugas yang terpaksa mereka lakukan demi untuk mengkristiankan orang-orang Islam dengan ungkapan saperti berikut:
`...(for those) who labored in blood, tears and sweat, and with prayer and patience in the muslim world...`
Manakala dalam sebuah buku terbitan Universities And Colleges Christian Fellowship di England pada tahun1981 berjudul: Light on Islam: `Reaching Out To Muslim Student In Britain` Telah digariskan beberapa kaedah pendekatan umum untuk tujuan menawan orang Islam agar memeluk agama Kristian antara isinya ialah: `Terangkan tentang Jesus sebagai kalimah tuhan, tidak sebagai anak tuhan kerana banyak masaalah yang timbul`. Al-Kalimat yang dimaksudkan terhadap Jesus ini sebenarnya berasas fikiran Yunani yang diambil oleh agama Kristian yang mana Al-Kalimah sinonimnya di dalam bahasa Yunani ialah Al-Ilah oleh kerana Al-Kalimat itu (kata-kata) tidak musnah sebagaimana Al-Ilah (Tuhan) yang tidak musnah pula. Jadi apa bezanya dengan menganggap Jesus sebagai anak tuhan dalam kristian?
Dari keterangan untuk berdaayah ugama Kristian sebagai agama yang benar di sisi ALLAH nampaknya sangat lemah untuk berhujah dengan kebenaran Islam dan menampakkan kebatilan Kristian untuk menjadi sebagai agama yang haq di sisi ALLAH maka pelbagai daayah dan cara yang lain dibuat untuk memerangkap orang Islam supaya memeluk agama Kristian iaitu seperti menggunakan kalimat `ALLAH` sebagai Tuhan orang beragama Kristian, iaitu Mengalihkan kefahaman tentang Ketuhanan Isa seperti yang mereka klaim selama ini. Menggunakan kalimat Salam yang penuh seperti salam orang-orang Islam. Menggunakan kalimat Bismillah penuh seperti orang Islam gunakan pada muka depan risalah-risalah penyebaran agama Kristian. Perkara begini boleh menjadi terkeliru kepada golongan orang Islam yang cetek pengetahuan agamanya. Adakah perbuatan begini bertujuan mengelirukan untuk menyatakan akidah Kristian itu sama dengan Islam? Atau pun memang bertujuan mengkristiankan orang Islam yang baru belajar atau cetek agama kemudian diumpan dengan kemewahan kebendaan? Atau adakah orang Kristian sekarang benar-benar untuk mencari kebenaran beragama dan ingin bertuhan yang sebenar dengan menggunakan kalimat `ALLAH`? Jika begitu, kebenaran sejati ketuhanan tidak lain mestilah berketuhanan ALLAH mengikut akidah ketuhanan dalam Islam. Inilah konsep ketuhanan yang benar suci dan sejati semenjak bapa manusia diciptakan ALLAH SWT iaitu ADAM a.s. Ia diciptakan ALLAH tanpa BAPA dan IBU. Siti Hawa isteri Adam pula diciptakan oleh Allah SWT. tanpa IBU. Maka apa susahnya bagi ALLAH SWT mencipata Isa a.s. (Jesus) dengan ada IBU tanpa BAPAnya sebagai suatu makjizat kepada Isa a.s. yang diutus menjadi Rasulullah? maka Jesus atau Isa a.s. bukanlah Tuhan atau anak Tuhan!! Nauzubillahi min zaalik daripada berpegang dengan akidah ketuhanan yang menyeleweng dan sesat yang boleh membawa siksa dan bencana di hari akhirat kerana murkanya ALLAH SWT. Sesungguhnya `ad-dinu nasihah`. maksudnya bahawa `agama itu nasihat` untuk penyelamatan diri setiap orang. Jika seseorang itu masih juga mahu kufur dan engkar atas apa yang diserukan (oleh Muhammad s.a.w) maka apa boleh buat. Tanggunglah sendiri nasib. Apabila sampai masa dan waktunya nanti maka terimalah pembalasan dari ALLAH SWT. untuk diri sendiri masing-masing.
Dalam sebuah hadits Qudsi (Wahyu ALLAH secara langsung kepada Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Penutup sekelian Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dan penutup kepada semua Riasalah wahyu (agama) yang dibawa dari Tuhan ALLAH SWT berbunyi begini:
Ertinya: `Anak Adam mendustakan Aku, padahal itu bukan haknya, adapun pendustaannya terhadapku: Bahawa ALLAH tidak dapat mengembalikan kejadianku sebagaimana semula, padahal nyata bahawa ciptaan pertama itu tidak lebih ringan (mudah) daripada mengulanginya kembali. Adapun makiannya terhadap-Ku yaitu pernyataannya: Bahawa ALLAH BERANAK, padahal AKUlah yang ESA, TUNGGAL dan diperlukan (dibutuhkan) oleh semua makhluk, TIADA BERANAK dan TIDAK DIBERANAKKAN, dan TIDAK ADA SEKUTU, SETARA bagi KU seorang pun` (HR.BUKHARI).
Untuk menutup penulisan membetulkan akidah beragama semua manusia ini saya akhiri dengan suatu surah al-Quran yang menasihati ummat Islam jangan berdukacita jika orang-orang bukan Islam mencabar kebenaran agama Islam yang benar-benar agama yang diakui di sisi ALLAH SWT . [Innaddina indallahi Islam] dengan surah al kafirun saperti berikut:
بسم الله الرحمن الرحيم
قل يا يها الكافرون . لا اعبد ما تعبدون . ولا انتم عابدون ما اعبد .ولا انا عا بد ما عبد تم .ولا انتم عابدون ما اعبد . لكم دينكم ولى دين
Ertinya: `Katakanlah, Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kalian sembah. Dan kalian pun tidak pula menyembah apa yang aku sembah. Dan aku bukan penyembah apa yang kalian sembah. Dan kalian pun bukan pula penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk kalian agama kalian dan untukku agamaku!`
`Say: O ye that reject faith! I Worship not that which ye worship, Nor will ye worship That which I worship. And I will not worship that which ye have been wont to worship. Nor will ye worship That which I worship. To you be your way, And to me mine.'
Sekian, wabillahi taufiq walhidaayah. Wallahu a`lam.
Wassalam,
Al Fakir Ila Rahmatillah.
Tiada ulasan