Budaya Menaruh Bunga Di Atas Kuburan
Mengenai meletakkan bunga dan membuat binaan di atas kuburan apakah ia diharuskan dalam Islam?
Bismillahir rahmaanir rahiin. Segala puji adalah semata-mata bagi Allah Tuhan semesta alam. Solawat dan salam kepada Nabi yang mulia dan Rasul Pilihan Sayyidina Muhammad s.a.w. dan terhadap ahli keluarganya serta sahabat-sahabatnya yang menjadi bintang petunjuk terhadap kebenaran ajaran Islam yang di redhai Tuhan. Amin.
Budaya meletakkan bunga di atas kuburan si mati adakah ianya berasal dari sunnah nabi Muhammad s.a.w. ataupun ia dari budaya Yahudi atau Kristian?
Banyak sekali hadith Nabi yang menyuruh kita supaya berpegang teguh kepada Sunah dan mengikuti jejaknya. Antara hadith tersebut termasuklah seperti hadith ini:
`Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda dalam salah satu khutbahnya: Amma ba`du! Sesungguhnya sebaik- baik perkataan ialah Kitaabullah, sebaik-baik pimpinan ialah pimpinan Muhammad. Hanya saja kamu akan membuat model baru dan diadakan model baru untuk kamu. Sedang tiap-tiap model baru ialah sesat dan tiap-tiap kesesatan di neraka`
Adapun bentuk bid`ah [model baru berkaitan agama] yang dilakukan orang berbeza-beza. Sebabnya, timbulnya dari kebengkokan yang berbeza-beza pula. Para ulama banyak tidak menaruh perhatian dalam soal-soal tersebut dan dianggapnya remeh. Dengan itu pintu bid`ah terbuka luas baik di bidang aqidah, hukum, ibadah, mahupun moral (akhlak). Padahal sebesar-besarnya seksaan api kemurkaan adalah kerana menganggap kecilnya kemaksiatan.
Zaman moden ini kita dapati ramai gulungan Islam yang menaruh bunga-bunga atau menabur bunga di atas kuburan atau pun menanam pokok-pokok tertentu atas kuburan apakah tujuannya? adakah ia perbuatan sunah Rasulullah s.a.w dengan tujuan meringankan siksaan kubur kepada si mati andainya ia dalam siksaan? iaitu kias dari perbuatan Nabi yang mencacakkan belahan pelepah kurma di atas suatu kuburan pada zaman Baginda itu? Atau pun ini perbuatan tiruan budaya asing seperti Yahudi dan kristian atau budaya Agama Memuja Roh Datuk Nenek mereka atas kuburan?
Diriwayatkan dalam salah satu hadith bahawa Nabi s.a.w. melewati di dekat dua kuburan, lalu baginda berkata: `Penghuni kedua kuburan ini sedang mengalami siksaan. Mereka disiksa bukan kerana mengerjakan dosa-dosa besar, yang satu suka menyebarkan fitnah dan yang satu lagi kurang bersih bersuci (selepas buang air kecil)'. Selepas itu Baginda s.a.w. mengambil pelepah kurma, lalu dibelahnya dua dan kemudian diletakkan pada masing-masing kuburan itu sebelah pelepah kurma tersebut. Setelah itu baginda berkata:
`Mudah-mudahan siksaan mereka diperingankan, selama daun ini belum kering` (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis inilah yang dijadikan dalil oleh sebahagian orang jika mereka ditanya tentang meletakkan karangan bunga atau menanam pepohonan di atas kuburan. Itulah `kiasnya`.
Namun maksud hadith tersebut adalah berlainan dari yang dikiaskan tersebut. Ada pun Rasulullah s.a.w. dengan pemberitahuan daripada Allah SWT kepada baginda, yakni dengan jalan wahyu atau suatu cara tertentu yang lain khusus untuk baginda mengetahui bahawa penghuni kedua kuburan tersebut sedang diseksa, selepas itu Baginda bermaksud akan memberi syafaat untuk mereka berdua selama waktu tertentu untuk meringankan siksaan ke atas mereka. Lamanya ialah sampai daun pelepah kurma itu menjadi kering. Tapi hal seperti ini tidak mungkin dilakukan oleh selain Nabi s.a.w. Sebab selain daripada Baginda tidak ada seorang pun yang mengetahui keadaaan sebenarnya dari penghuni kubur tertentu, apakah ia berada dalam kenikmatan atau dalam kesiksaan alam kuburnya. Dan seseorang tidaklah pula mempunyai syufaat sebagaimana Rasulullah s.a.w.
Hari ini ada orang-orang yang menaruh bunga-bunga di atas kuburan tetapi bukanlah bermaksud atau punyai wibawa syufaat saperti Rasulullah s.a.w. Tetapi perbuatan mereka hanyalah suatu ikutan budaya luar Islam yang bertujuan untuk menunjukkan kemuliaan si mati sebagai idolanya atau kerana menunjukkan kecintaan hatinya terhadap si mati atau pun dengan maksud membezakan status si mati dari orang kebanyakan yang tidak ditaruhkan bunga-bunga atas kuburan mereka. Atau dengan kata lain adalah untuk mengagungkan penghuni kuburan itu, maka apakah hukumnya jika perbuatan seperti ini tidak bid`ah?
Apakah nilainya pula perbuatan itu semua kepada si mati dan apalah gunanya? Sedang kepada si pembuat telah melakukan suatu bid`ah dalam hal penguburan dan si mati pula sedang menghadapi perhitungan apa-apa yang telah dilakukannya semasa dalam kehidupan dunia ini sama ada amalan-amalan baik atau amalan-amalan buruknya. Di alam kubur itu si mati menyendiri dengan amalnya dalam erti yang sebenar-benar. Di mana ia telah bertemu dengan amalnya yang baik atau yang buruk. Segala bungaan atau bangunan kemegahan namanya tiada bererti apa-apa dan tidak memberi apa-apa petolongan kepadanya sebagaimana kata-kata hadith Rasullah s.a.w. ini:
Hadith 2491 Shahih Muslim: Dari Anas bin Malikr.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: `Yang mengantar jenazah tiga macam. Yang dua kembali, satu tinggal menemaninya. Yang mengantar ialah keluarganya, hartanya, dan amalnya. Keluarga dan hartanya kembali pulang dan yang tinggal menemaninya ialah amalnya.`
Kalau begitu, semua yang diadakan di atas kuburan dengan berbagai binaan cantik mahal dan megah dan membuat adat menaruh bungaan penghormatan atau tanda kecintaan boleh menyusahkan dan menjadi bid`ah sahaja lebih-lebih lagi jika dengan niat-niat mempamerkan maksud keduniaan. Manakala azab kubur [azab barzah] tetaplah juga dikenakan berdasarkan amalan buruknya, samada ia dikuburkan atau tidak, dimakan oleh binatang buas atau ia terbakar sehingga jasadnya menjadi debu dan ditaburkan di udara atau ia mati dengan disalib atau mati hancur kerana tenggelam di lautan atau mati ditelan ikan maka roh dan tubuhnya tetap akan menerima azab sebagaimana yang dikenakan kepada orang yang sempurna dikuburkan. Begitulah juga nikmatnya akan diterima di alam barzah bagi orang-orang yang mulia dan baik dan mendapat keredhaan Allah SWT. Namun apa-apa yang dibina dan penaruhan bungaan di atas kuburan walaupun kepada orang yang mulia amal baktinya tidaklah juga boleh menambahkan kepada kemuliaan dan kebaikannya itu disebabkan perbuatan-perbuatan bid`ah itu.
Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalam.
Alfakir Ilaa Rahmatillah.
Tiada ulasan