Puji dan Syukur Pada Ilahi
Memahami konsep puji dan syukur serta untuk apakah pujian dilakukan dan di atas dasar apakah kesyukuran itu perlu dilaksanakan.
Bismillahir rahmaani rahim. Segala puja dan puji bagi Allah Tuhan alam semesta. KepadaNyalah kita meyembah dan memuji dan kapadaNya lah kita memohon taufiq dan hidayah serta pertolongan. Ya Allah, limpahkanlah shalawat, salam dan berkat kepada sayyidina Muhammad dan keluarganya, sebanyak kesempurnaa Allah dan segala yang sesuai dengan kesempurnaan-Nya itu.
PUJI DAN SYUKUR
Biasanya apabila seorang muslim mahu menyatakan perasaan syukurnya terhadap Allah Yang Maha Mengurnia ia akan mengucapkan perkataan `al-Hamdulillah'... Ada pun perkataan `al-Hamd` mengandungi makna memuji dan menyanjung perkara yang baik, dengan menyebut-nyebut keelokan-keelokan yang terdapat di dalam perkara-perkara yang baik itu, samada berbentuk ihsan daripada orang yang memuji atau tidak. Syukur tidak berlaku kecuali sebagai mengingati kebaikan pihak yang disyukuri. Allah SWT sendiri memuji nama-namaNya yang baik, sifat sifatNya yang maha agong dan perkara-perkara yang terdapat di akhirat dan juga di dunia. Firman Allah SWT:
(AL-Quran:ayat 1 surah al-An`am).
Ertinya:
`Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi,dan menjadikan gelap dan terang, dalam pada itu,orang orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.`
(Al_Quran: Surah Saba:1)
Ertinya:`Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,dan bagi Nyalah juga segala puji di akhirat, dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuan Nya.`
(Al-Quran:Surah Fatir:1)
Ertinya:`Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat, Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.`
Syukur tidak berlaku kecuali terhadap pemberian nikmat. Kedudukanya lebih khusus berbanding puji. Ia berlaku dari sudut hati, anggota dan lisan. Kata seorang ahli hikmah:
`Tidak aku perolehi nikmat daripada tangan manusia kecuali daripada tiga perkara ia itu daripada tangannya, lidahnya dan hatinya.'
Kiasnya, Allah ada berfirman dalam Al Quran surah Saba` ayat 13:
Ertinya: 'Golongan jin itu membuat (untuk Nabi Sulaiman) apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu kami perintahkan): `Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!` Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKU yang bersyukur.`
Adapun puji berlaku dengan hati dan lisan sahaja. Pandangan dari sudut ini Syukur lebih umum dari segi jenisnya, menekala puji lebih umum dari segi sebab sebabnya. Oleh itu timbul kata-kata, `Segala puji bagi Allah itu adalah kepala segala syukur. Sesiapa yang tidak memuji Allah adalah tidak bersyukur kepadaNya. Demikianlah sebab hadith Nabi (Dalam al-Sahih) ada mengatakan bahawa sabda Baginda:
`Sungguhnya Allah redha hamba yang memakan satu suapan makanan, kemudian memujiNya dan meminum satu teguk minuman, kemudian memujiNya'.
Abu Ali Aruzbariz bersyair:
Jika semua anggotaku ada berlidah
memuji Mu kerana kurnia mu
nescaya tiap tiap nyanyianku itu
mendatangakan kurniaan baru
tidak perlu lagi melagukan pujian padamu
(Maksud:Kerana ubudiah memuji tidak akan terputus).
Sebab tiap-tiap kurniaan daripada tuhan mewajibkan kesyukuran yang tidak akan habis.
Abul Hussein An Nuri mengatakan:
`Tuhanku, aku bersyukur kepada Mu
bukanlah dengan itu terbalas cinta mu terhadapku
tetapi ialah supaya dikatakan kepadaku
`Ia bersyukur dengan kurniaan Tuhan`.
Setiap detik yang aku gunakan kerana Mu
telah menjadi ingatan ku
kerana inilah khazanah syukur yang terakhir
keserunokan nikmat mengingati Mu.
Wallahu a`lam. Wassalam!
Aku yang hanya debuan di kaki Nabi.
Tiada ulasan