Genta Rohani Seruan Rabbani
Membina peribadi bertauhid dan luhur adalah kunci keselamatan di dunia dan akhirat.
بسم لله الرØÙ…Ù† الرØÙŠÙ…
Segala puji dan puja itu hanyalah bagi Allah s.w.t.Tuhan yang memiliki sifat Ihsan dan Rahmat kepada sekelian alam dan salam kesejahteraan ke atas junjungan kita Nabi besar Muhammad s.a.w. yang beramal mengikut dengan apa yang wahyukan Tuhan iaitu Al-Quran dan keatas seluruh ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekelian para pengikutnya yang mempunyai `arfan hingga hari kemudian. Amin Ya Rabbal aalamin.
Segala puji dan puja itu hanyalah bagi Allah s.w.t.Tuhan yang memiliki sifat Ihsan dan Rahmat kepada sekelian alam dan salam kesejahteraan ke atas junjungan kita Nabi besar Muhammad s.a.w. yang beramal mengikut dengan apa yang wahyukan Tuhan iaitu Al-Quran dan keatas seluruh ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekelian para pengikutnya yang mempunyai `arfan hingga hari kemudian. Amin Ya Rabbal aalamin.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh dan selamat sejahtera sidang pembaca yang di hormati dan di kasihi semua.
MARILAH BERSAMA KITA MENYEMPURNAKAN KEMUDI MELURUSKAN HALUAN HIDUP KITA
يا ملك يوم الدين .ايا ك نعبد وايا ك نستعين.اهدنا الصراط المستقيم
"Wahai yang memerintah di hari pembalasan. Hanya engkau yang kami sembah dan kepada engkau kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus....."
O, Master of the Day of Judgment. Thee do we Worship, And Thine aid we Seek. Show us the Straight way.....
1. Jangan engkau membesarkan nilai penghargaan terhadap makhluk tetapi besarkanlah nilai penghargaanmu terhadap Allah semata-mata kerana ialah yang amat berhak ke atasnya maka Ia akan membalasnya setimpal kepadamu.
2. Tidak akan merasa manisnya (bahagia paling puncak) pada hari akhirat bagi seseorang yang bersifat egoistik dan suka bangga diri kerana ia saolahnya merampas hak ketuhanan yang bersifat al-Jabbar. Dan apabila tertariknya penglihatan pada diri sendiri menyebabkan terdindingnya diri daripada makrifatullah.
3. Jika engkau berdoa, berdoalah dengan penuh keikhlasan serta konsentrasi kerana sedikit sekali orang yang berdoa dengan penuh keikhlasan dan konsentrasi tidak dikabulkan doanya.
4. Jiwa yang jernih itu selalu dalam musyahadah. Memandang tidak ada takdir selain takdirNya dan tidak ada zikir minda dan jiwa melainkan melainkan zikir kepadaNya.
5. Sedarilah bahawa semulia-mulia hal di sisi Zat yang paling ditakuti dan Zat yang paling diharapkan rahmatNya ialah ucapan yang senantiasa BENAR (as-siddiq) dalam semua situasi dan dalam semua perkara yang ditangani.
6. Allah s.w.t. Maha Esa dan kuasa. Jangan engkau menunduk diri sesama makhluk. Hendaklah engkau selalu mendekat diri kapadaNya dan mengarahkan semua tujuan hanya kepadaNya dan keredhaanNya. Jika engkau membesarkan Allah dalam hati dan jiwamu pasti tampak kecil sahaja makhluk ciptaanNya.
7. Sebenar bertauhid ada bertawakkal. Keduanya itu budi pekerti muliamu terhadap Allah jika kau hayati kerana meletak kepercayaan penuh terhadap segala yang telah ada, yang sedang ada dan yang akan ada di sisi Allah dari azali.
8. Sabda Rasulullah, `Sesiapa yang merendah diri terhadap orang kaya kerana kekayaannya nescaya hilang 2/3 daripada agamanya`. Jika kau tunduk merendah beserta seluruh jiwamu kepadanya maka mungkin akan hilanglah seluruh agamamu.
9. Kebaikan budi pekerti dari jiwa yang lohor itu laksana bumi walau dilontar dengan segala benda keburukan dan kebusukan namun ia tetap menumbuhkan pokok keindahan dan kewangian.
10. Binakan Mahligai Nurani dalam dirimu melalui empat pintu maut;
I. Maut putih - Kuatkan cintamu padaNya.
II. Maut Hitam - Terima baik segala takdirNya.
III. Maut Merah - Beramal dengan penuh keikhlasan kepadaNya.
Jangan perturutkan hawa nafsu `Amarah Bissu`mu.
IV. Maut Hijau - Senantiasa merasa fakir terhadapNya.
11. Apabila ternyata bagimu suatu aib pada diri saudaramu muslim sejati (bukan yang`asyi dan munafiq`) hendaklah engkau mencari 70 pintu alasan untuk menutup aibnya itu, moga dosamu diampuni Allah dan aibmu juga ditudungi Allah s.w.t.
12. Berputus asa jangan, mengeluh pun jangan, bersabarlah menunggu keputusan Tuhanmu. Sungguhnya setiap detik dan ketika engkau berada dalam pengawasan Tuhanmu.
13. Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Kerana sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah itu resamnya orang kafir.
14. Ingatlah, jika kau telah bermaqam di sisi Allah s.w.t. jangan tersasul hatimu terikat kepada makhluk nanti kau akan mendapat seksa seketika itu juga.
15. Ketahuilah jika kau tidak mengetahui bahawa Ia melihat kamu maka kerosakan telah berada dalam iman kamu. Tapi jika kau mengetahui bahawa sesungguhnya Ia melihat kamu, awas takutilah daripada menjadikan Ia `Serendah rendah` yang melihat kamu.
16. Hati selalu terganggu kerana kebodohan dan kelalaian. Tetapi hati menjadi lapang melalui ilmu dan makrifat.
17. Jika di dunia ini engkau berendah dirimu kerana Allah s.w.t. Nescaya Ia akan mengangkat darjatmu di akhirat.
18. Jika engkau melihat dan menganggap dirimu mulia, jelas sekali engkau dalam kehinaan di sisi Allah. Andaikata engkau melihat kehinaan dirimu di sisiNya nescaya engkau akan dimuliakanNya.
19. Jika sungguh engkau ahlullah, `bertutur katalah bersama Allah` jangan berkata-kata dengan manusia (cth; batinmu bersama Allah selalu) kalau tidak engkau terhijab.
20. Hendaklah engkau selalu merasa cukup dengan penglihatan dan pendengaran Allah s.w.t. Sebab tindakan Allah maha bijaksana untuk dirimu.
21. Jangan engkau mengaitkan semua kejadian kepada selain Allah walau pun terhadap waktu dan masa, nanti engkau kan merasa letih dan susah gelisah. Tenggelamkan dirimu dalam penyaksian kepada Tuhan yang menjadikan waktu dan masa.
22. Waspadalah terhadap perbuatan dan tutur katamu dan percayalah sepenuhnya apa sahaja yang telah dipilih oleh Allah untuk dirimu kerana kebijaksanaan Allah tidak siapa yang ketahui arah tujuanNya melainkan Dia.
23. Jika engkau kata engkau cintakan Allah tetapi tidak boleh bersabar dengan gigitan seekor semut merah dengan menyumpahnya, bolehkah di percayai kata-kata manismu?
24. Jika engkau mengutamakan hak Allah s.w.t. daripada hak dirimu sendiri, insaAllah Ia akan menundukkan semua makhluk terhadapmu dan akan mengkhidmatkan diri kepadamu percuma andainya ada keperluanmu.
25. Kesabaran boleh menjadi bekal bagi orang yang terpaksa tetapi kerelaan adalah darjat tertinggi bagi pencinta terhadap Sang Kekasih.
26. Jika engkau mati demi untuk Tuhanmu sebenarnya engkau adalah hidup bahagia. Andaikata engkau hidup tetapi dalam pelanggaran terhadap hak Allah s.w.t. sebenarnya engkau mati dan binasa walaupun bernafas dan menjadilah dirimu bangkai bernyawa.
27. Fahamkah engkau terhadap wahyu Ilahi berfirman, `Hual awwalu walakhiru wazzhohiru walbaatin?'. Inilah percikan makrifat yang dituntut engkau mengerti;
Al-Awwalu: Yang pertama adaNya sebelum sesuatu wujud
dan tiada permulaanNya.
Al-Akhiru: Tetap wujud setelah segala sesuatu itu berakhir-Musnah.
Ia tiada kesudahan dalam wujudNya.
Az-Zhohiru: Yang nyata (dapat disaksikan kekuasaanNya).
Maha menakluki terhadap semua makhlukNya.
Al-Bathin: Yang tidak dapat dilihat mata akan ZatNya -
Maha mengetahui terhadap semua makhluk ciptaanNya.
Maka Ialah yang paling awal dengan ihsanNya yang Akhir dengan keampunanNya yang Zhohir dengan nikmatNya yang Bathin dengan rahmatNya. Justru Rasulullah s.a.w. bersabda:
`Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menyiksa dengan api neraka melainkan kepada mereka yang enggan mengucapkan لااله الاالله`. (berserta maarifatnya - p, Wallahualam)
28. Jika engkau telah mencecah kakimu ke atas permaidani makrifat jangan lagi engkau memandang kepada lain dari Maha Ratu Agong yang engkau telah berada di majlisNya itu dan jangan kau harapkan pemberian selain daripadaNya.
29. Jika engkau telah memohon keperluanmu kepada Maha Ratu Agong jangan lagi kamu berpaling memohon kepada yang lain, nanti Ia akan mencabut rahmatnya dari hatimu lalu engkau di biarkan dengan perasaan senantiasa mengharapkan kepada makhluk. Oh, alangkah hinanya martabatmu di kala itu.
30. Hendaklah tindakanmu senantiasa selari dengan wahyu Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kalau tidak Dia tidak akan memelihara hati sanubarimu di jalan yang lurus walau pun `keduniaan` ini kau takluki.
31. Agama mempunyai dua dimensi. Dimensi ketuhanan dan dimensi kemanusiaan. Yang pertama hendaklah kamu berlaku benar (Siddiq) terhadap Allah dan menghambakan diri kepadaNya sahaja. Yang kedua hendaklah kamu berbudi luhur sesama makhluk.
32. Ketinggian budi pekerti ialah engkau selalu berwaspada agar tidak menghambakan diri kapada selain Allah. Tetapi keindahan budi itu ialah boleh berlapang dada apabila engkau terkena oleh segala sesuatu hal yang engkau benci atau yang nafsu jahat kau tidak ingini.
33. Lebih baik engkau berkawan dengan si-fasik tetapi indah budi pekerti dan baik budi bahasanya daripada engkau berkawan dengan si abid (ahli ibadat) tetapi buruk budi pekertinya dan jahat tingkah laku serta celupar mulutnya. Kerana budi luhur itu adalah kalung keredaan Allah tetapi budi yang buruk itu adalah kalung kemurkaan Allah. Namun jika engkau bertemu dengan saorang fasik yang memang buruk budi pekertinya dan jahat tingkah lakunya hendaklah engkau lari seperti larinya engkau dari dikerkah anjing gila kecuali engkau tampak ada taufik hidayah Allah terhadapnya melalui tangan barokahmu.
34. Jika engkau menjunjung sunnah Rasulullah s.a.w. dan wahyu Tuhan sebagai pemerintah yang menguasai dirimu dalam ucapan dan perbuatan nescaya tutur katamu penuh dengan hikmah. Tetapi jika kau menjadikan hawa nafsu jahatmu sebagai penguasa ke atas dirimu nescaya perbuatan dan tutur katamu penuh dengan bidaah. Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w. ini:
`Sesiapa yang menyukai sunnahku maka ia menyintai diriku dan sesiapa yang telah menyintai diriku nescaya akan bersamaku di Syurga`. Hal ini selari dengan berfirman Allah: Ertinya: `Katakan lah (wahai Muhammad-p) jika engkau menyintai Allah, maka ikutilah aku, Allah akan menyintaimu`.
Dan ketahuilah bahawa Syafaat Rasulullah dikurniakan kapada sesiapa yang dengan ikhlas menghidupkan sunnah-sunnah beliau yang telah terpinggir atau yang telah padam.
35. Jika engkau mahu persoalanmu selesai dan hajatmu sampai hendaklah hatimu di penuhi dengan tawakkal, mohon berlindung dengan Allah dan jarum hatimu tekun menanti isyarat daripadaNya.
36. Jika sungguh engkau ingin mencapai darjat ahlul-haq hendakalah engkau zahid, arif, wajdan dan muwahid. Andainya telah nyata (kasyaf) padamu rahsia asma-asma Ilahi maka engkau sebenarnya sudah termasuk dalam gulungan tingkat tinggi dalam keimanan.
37. Nabi yang Mulia bersabda: `Bertafakurlah akan ciptaan Allah tetapi jangan bertafakurkan DzatNya`. Kalau kau faham ada dua pengertian dari sabda yang mulia iaitulah `transendensi` dan `imanensi` iaitu tanzih dan tasybih. Di situ wajah Tuhan tidak mungkin diketahui tetapi di sisi yang lain engkau dapat memahami DiriNya melalui asma-asmaNya, inilah suatu pengetahuan yang haq tentang Tuhan.
38. Hadis al-Qudsi ada menyatakan, `Aku adalah khazanah tersembunyi, aku ingin (cinta) untuk dikenal, maka kuciptakan makhluk agar mereka mengenalku`. Tahukah tuan harta tersembunyi itu ialah manifestasi seluruh perwujudan mumkinat ini termasuklah dirimu dan diriku?. Semuanya dicakup oleh asma-asma Tuhan sesuai dengan wahyuNya Yang Maha Perkasa dan Maha Agong iaitu: `Sesungguhnya Ilmu Allah benar-benar meliputi sesuatu` (QS AL-Thalaq(65):12). Maka benarlah bahawa engkau dan aku dijelmakanNya (diciptakan) sebagai manifestasi agong ilmu pengetahuanNya yang azali. Alangkah berertinya diri setiap kita ini jika mengenal hakikat diri.
39. Sabda Rasulullah s.a.w. `Sembahlah Allah seakan-akan engkau melihatNya, dan jika engkau tidak dapat melihatNya, ketahuilah bahawa Ia melihat kamu`. Sebenarnya itulah Semboyan hidup bagi mukmin atau mukminat yang `defacto` sesungguhnya jika kau merealisasikan selalu kesedaran batinmu pesanan Paduka Yang Mulia Penghulu kita ini ia akan membersihkan jiwa dan memurnikan hatimu selalu.
40. Wahai sahabatku, hendaklah engkau `matikan` dirimu dari seluruh manusia nanti kau akan hidup dengan lakuan Tuhanmu. Sebab jikalau engkau tidak lagi memiliki keberadaan (fana`) maka kelenyapanmu itu menjadi keberadaan pula bersamanya Tuhan Rabbanimu.
41. Wahai tuan yang kusayangi, jikalau sungguh engkau pemburu kesedaran ketuhanan engkau mestilah menyerahkan kehidupanmu, keinginanmu dan segala urusan kebendaanmu kepada Tuhan seru samesta alam ini. (gunakan selari dengan cara yang Allah redhai).
42. Ingin aku berpesan padamu dan juga diriku sendiri wahai kawan, jika kau sudi kau lakukanlah suatu sebutan suci mulia iaitu `Allah`. Ia adalah sultanul Asma`. Satu nama Tuhan nan agong yang serba mencakupi (al ism al-jami`). Jika kau sanggup melantuninya sebanyak 4,000 kali setiap hari tanpa putus-putus selama dua purnama kemungkinan besar engkau akan memiliki kualifikasi menggapai suatu pengalaman spiritual yang tidak seorang pun meyangkakannya.
43. Wahai diriku dan dirimu, jangan engkau berpaut di dahan nan rapuh (makhluk) kerana segala sesuatu selain Dzat Tuhanmu merupakan suatu fatamorgana tidak kukoh. Ia akan selalu sering berubah ubah. Hari ini si dia berada di samping mu penuh cinta dan rindu puja puji padamu... tapi hari esok mungkin engkaukan terluka lara pula oleh tindakan dan kebenciannya padamu serta cela kejinya pula. Berpegang teguhlah pada Maha Perkasa dan Bijaksana Tuhanmu.
44. Sungguhnya kita tidak ketahui apakah takdirNya kapada kita sebelum perkaranya terhadir. Maka tidak ada jalan lain untuk suatu penyelamatan diri kecuali mengikuti perintah Tuhan dan bersandarlah sepenuh jiwa kapadaNya. Kerana FirmanNya yang Maha Abadi:
`Kemudian kepada Tuhan mu lah kamu kembali` (Qs Al-An`am(6):164)
45. Maksud `Khalifah Allah` samalah dengan `Insan kamil`. Jika sesaorang yang tidak mencapai darjat ini ia hanyalah berdarjat `Haiwan rasional` iaitu bukan `Manusia Sejati` berdarjat khalifatullah itu. Maka untuk mencapai maqam manusia sempurna mestilah ada menempuh jalan spiritual iaitu perjalanan ke alam batin dirinya dan kembali ke sumber asalnya.
46. Tahukah kawan bahawa setiap individu mengandungi `Ruh` dalam dirinya? Begitulah engkau dan aku yang datang dari Tuhan Maha Penguasa semesta dan dibekaliNya dengan pemilikan intelegensi sepertimana firman Tuhan Yang Maha Mulia:
`Dan kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati` (QS Al-Ahqaf(46):26). Maka marilah kita berterima kasih kepadaNya. Ketahuilah bahawa Roh Insaniah dibekali dengan tujuh sifat yang perlu dipelihara oleh setiap orang daripada kita yang mengaku Allah Tuhan kita iaitu: kepercayaan, cinta, pengetahuan, kesabaran, ingin kedekatan (dengan Tuhan), sifat permanen, dan kehidupan....
47. Katakanlah sebagai terimakasihmu, `Bahawa akulah yang mempamerkan indahnya kelembutan Tuhan. Sungguh Ialah Maharaja Yang Mulia tapi aku hanyalah sebutir debu di kuburan'.
48. Hadis Rasul ada mengatakan: `Allah adalah indah dan mencintai keindahan` Seerti dengan `Allah adalah Indah` ialah `Tidak ada keindahan lain selain keindahan Tuhan` maksudnya keindahan yang hakiki hanyalah milikNya tetapi keindahan yang lain hanyalah suatu fatamorgana yang majazi sahaja. Dan maksud Tuhan `mencintai keindahan` ialah oleh kerana realitas segala hal yang memikat (indah) seperti setiap inci kejelitaan tubuh si bidadari syurga dan kecomelan mata jelita nurul `ain adalah perpanjangan dari kebijaksanaanNya jua iaitu ialah sebab yang Ia mencintainya, selari dengan salah satu firman Tuhan:
`Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak anak Adam' (QS Al-Isra`(17):70). Maka kewajiban seorang hamba hendaklah membalas cinta penciptanya dengan membakar hangus dengan api cinta ketuhanan akan segala realitas yang tidak sejati seperti hangusnya semak samun (Ruh) di Bukit Tursina oleh Cinta Musa a.s. kepada Zat yang sejati.
49. Cinta memerlukan pengorbanan `Berkorban apa saja harta (keduniaan serta nafsu haiwaniah) atau pun nyawa (bersihkan rohani) itulah kasih mesra (cinta Ilahi) sejati dan mulia (menjejak mertabat insan kamil)`. Cinta yang sungguh luhor membezakan kekasih yang sejati daripada kekasih yang palsu, memotong segala yang ilusif dan tidak abadi dengan pedang kalimat thoyyibah لااله الا الله dan hendaklah hadapkan dirimu sepenuhnya kepada Sang Kekasih dan ingatlah namaNya selalu mesrakan keseluruh maujud dan dalam jiwamu.
50. Hamba berpesan pada diriku dan dirimu, sedarilah bahawa kesalahan yang terjadi kepada manusia kebanyakannya bukan sahaja masalah kecintaan kepada kehidupan dunia dengan keduniawiaannya tetapi tertudung dek ketidakmampuannya untuk merasakan bahawa segala sesuatu di dunia ini tidak lain hanyalah bayangan kepada kekasih sejati. Maka janganlah asyik mengejar bayangan ataupun gilakan bayang fatamorgana saja, ini suatu kejahilan yang merugikan... marilah kita jadikan juga diri kita ini manusia spritual dan kejarkanlah cinta Ilahi, itulah hakikat tujuan hidup kita sebenar yang sejati untuk keberuntungan hidup di alam abadi di samping Ilahi dan di dunia fana ini pun ia tidak benci.
51. Semua orang tahu bahawa solat (sembahyang) itu otak ibadat. Siapa yang meninggalkannya adalah meruntuhkan agamanya. Kalau begitu tentulah sembahyang itu sesunggohnya suatu perkara agong meliputi banyak aspek dalam hal agama dan makrifatullah. Sembahyang juga perkara utama dalam penyempurnaan keagamaan seseorang. Tetapi adakah setiap orang yang bersembahyang itu benar-benar sembahyang? Setiap kita sewajibnya kena faham betul-betul mengenai perkara menghadapkan diri rohani dan jasmani ke hadharat Kekasih atau Allah Yang Maha Agong yang bertilik pandang pada kita ketika berada di majlisNya itu. Jangan buat lebih kurang dan main-main saja dan janganlah melakukan dengan tidak berilmu yang sempurna mencakupi ilmu syariat, tarikat, hakikat dan maarifat iaitulah empat unsur sempurna agama yang mesti dipelajari dan difahami seseorang Islam dan mukmin mukminat untuk mencapai sebenar maqam sempurna Islam, iman, tauhid dan ihsan. Sesungguhnya amalan yang dipersembahkan kepada Tuhan kita Allah s.w.t dengan cara seberono, ikut-ikutan, atau tanpa ilmu yang cukup ditakuti menjadi sia-sia... tidak diterima dan hanya mendapat lelah saja. Nauzubillahi min zaalik. Sementara mencari kefahaman dari mana mana Sang Guru Mursyid anda tiliklah dulu tulisan `hamba Allah` yang dhoif ini:
Sembahyang itu ibaratnya sebuah kapal sedang berlayar yang ingin menuju ke sebuah pangkalan indah. Maka isyarat badan kapal itu ialah syarat dan rukun sembahyang yang tiga belas dengan sempurna. Muatan kapal yang hendak diniagakan pula ialah sifat Ilahi yang tiga belas. Tiang layarnya empat iaitu iman, Islam, tauhid dan maarifat. Kain layarnya juga empat iaitu wahdatu zat, wahdatus-sifat, wahdatul asma, wahdatul afaal. Ada pun tali utama layar kapalnya yang terkembang pula adalah empat unsur kesempurnaan dalam pengertian beragama: syariat, thorikat, hakikat dan makrifat dan tahu asas kejadian diri sendiri (semesta) si pelayar iaitulah tanah, air, api, angin yang `membentuk gerakan` kapal. Arah haluan kapalnya mestilah wahdaniah iaitu keesaan (tauhid) dan kemudinya ialah maarifat. Barulah sempurna kapal belayar dengan musik merdu Alhamdu dan sama`nya wahyu. Mudah-mudahan tidaklah karam (syirik) di tengah samudera dan selamat sempurnalah kapal berlabuh di pangkalan indah (hadhrat Ilahi) ertinya sempurnalah ihram, munajat, tabaddul dan mi`raj. Lalu tambatlah atau hulurkan sauhnya dengan tali tawwakkal berserah kepada Tuhan yang disembah. Tapi yang paling pokok ialah mesti tahu erti sebenar sembah menyembah siapa dan bagaimana hakikatnya yang menyembah dan yang disembah, itulah kepala modalnya perniagaan sebab pengertian sembahyang (solat) dalam Islam tidaklah serupa kaedah dan makna dengan dengan sembahyang orang beragama Keristian atau Hindu - Budha atau Yahudi mahu pun Majusi dan lain-lain lagi dalam dunia ini. Subhanallahi amma yasifun wasalamamun alalmursalin walhamdullillahi rabbil aalamin. Sungguh sempurna dan indah serta tinggi sekali martabat sembahyang dalam islam kalau kita benar-benar faham. Tuan-tuan saudara-saudariku yang dikasihi sekalian, jika anda membaca hal-hal tersebut di atas tetapi kurang faham betul jangan cepat menganggap salah nanti bahaya diri sendiri kut-kut Allah murkai. Carilah guru yang mengerti dan faham untuk menjelaskan makna dan memberi pengertian sempurna kepada tuan-puan - InsaAllah. Wabillahi taufiq walhidaayah.
52. Salah satu buah hasilan sembahyang yang benar kau laksanakan ialah kesedaran diri adalah hamba yang taat (patuh tunduk). Maka jika engkau telah bersembahyang jangan lagi kau langgar apa yang diatur oleh Tuhan dalam ciptaanNya. Biarkan sesuai dengan apa yang telah diaturNya. Engkau lihatlah segala sesuatu dengan kaca mata yang sama dengan yang digunakan Allah melihat segala sesuatu.
53. Zahidkan hatimu jangan engkau mengecam orang lain kerana dosa orang lain tidak dicatat dalam buku amalanmu. Tapi boleh kau nasihati dia kerana ada nasihat Tuhanmu kepadamu melalui wahyuNya, perhatilah makna surah Al-Asr. Itulah hablum minannas. Maka tanggungjawab hubungan sesama manusia ini perlukan engkau mengambil peranan demi kabaikan ahli keluarga kamu, jiran- jiran kamu, ahli masyarakat kamu, bangsa kamu, negara kamu dan dunia kamu setakat yang terdaya olehmu walau pun sepatah kata yang baik.
54. Ertian dari sembahyang juga bermaksud, jangan engkau menyembah berhalamu sendiri. Tahukah apa berhalamu? Berhalamu adalah egomu sendiri. Sahabatku, jangan kau simpan lagi berhalamu dalam dirimu hancurkan dia sama sekali sebagaimana Sayyidina Ibrahim Khalilullah memusnahkan berhala Raja Namrud!
55. Sembahyang juga mengajar engkau menjadi pencinta kepada kekasih sejati sehingga engkau dan Dia bagaikan `sama` sungguh pun berbeda. Kan begitu orang dalam bercinta seia sekata?
56. Andai kata engkau hilang (fana) dalam wujud, engkau menjadilah bahagian (takluk) dari sifat-sifat Yang Maha Kuasa dan Maha Abadi. Jika kau sungguh berada di tahap ini, kau kan berada di mana-mana kerana lenyapnya `AKU` menyebabkan berkuasanya `DIA`. Ketika itu orang akan berkata padamu `Pencinta dan yang dicinta adalah cerminan antara satu sama lain'.
57. Tahukah tuan bahawa `Cinta` adalah asas segala perwujudan?
Api itu sebenarnya cinta yang menyala
Angin (udara) adalah gelora cinta
Air adalah gerak cinta
Bumi adalah keabadian cinta.
Api, angin, air, bumi itu adalah membawa gerak dalam setiap rakaat sembahyang kamu dan adakah engkau aplikasikan maknanya dalam perbuatan sembahyang kamu terhadap Yang diCinta? Jika kau tahu bermakna engkau sudah termasuk ke dalam golongan yang mengerti salah satu daripada maksud perbuatan solat yang terpuji.
58. Saudaraku, jika kau menyelami lautan mistis kau bersedialah untuk dilanda api cinta sungguh pun kau hangus dengan nyalaannya tapi kau beroleh kegembiraan dan kebahagiaan luar biasa dari wajah Sang Kekasih Sejati. Maka cubalah jadikan dirimu saorang kastria spiritual!.
59. Wahai kastria spiritual, cintamu perlukan pengorbanan, kerana pengorbananlah melahirkan watak kesatriaan. Sebagaiman indahnya percikan darah merah pada baju putih Sang pahlawan kembali dari medan tempur, begitulah kau untuk berjuang bagi mendapat `Mata air kehidupan spiritual` yang abadi. Pengorbanan itu senang saja menyebutnya tapi melaksanakan bergantung kepada semangat juang dan kesaterianmu iaitu `Jauhkanlah dirimu dari godaan duniawi`!.
60. Jika kau ingin mula memasuki alam kesatriaan spiritual fakta yang seharusnya menjadi pola pembawaan budi bahasa dan sopan santunmu ialah: Taubat, Dermawan, Rendah hati, Bersikap damai, Jujur, Mohon pertunjuk, Memberi dan menerima nasihat, dan Kesetiaan.
61. Berdakwah bertabligh itu kerja budiman islam. Menyuci diri rohanimu jangan kau pandang ringan. Bunuhlah ular naga nafsumu dulu sebelum mengajak orang menempuh jalanan pulang. Kalau kau sendiri kecundang bagaimana kau hendak mengajar dan mengajak seseorang kepada kecermerlangan iman, Islam dan ihsan? sementara engkau sendiri masih pondan jalanan?.
62. Jika sunggah di kau satria spiritual bunuhlah ular naga mu itu (Nafsu ruhani). Menjadilah engkau singa Allah sejati. Jangan jadi singa hawa nafsu kerana segala perbuatan menjadi saksi agama mu. Moga kau dapat bersatu kembali dengan `Al-Imaamul Mubin` (alter-ego) di situlah lautan jiwa (Ruhul Adzim) tempat keutuhanmu yang semula di mana engkau bermandi dunia cahaya dari Cahaya Asli Sejati.
Allah Tuhan Yang Maha Tinggi berfirman, `Aku adalah teman bagi orang yang mengingatKu dan Aku bersama hamba Ku ketika ia mengingati Ku dan menyebut Asma`Ku` (Hadits kudsi). Rasulullah pula ada bersabda, `Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah gerbangnya` Maka bagaimanakah kita dapat melewati gerbang dan memasuki kotanya untuk mendapatkan khazanah kekayaannya serta menikmati keindahan istananya kalau tidak dibunuhkan dulu ular naga dan singa nafsu yang menerkam di jalanan kita?
63. Oh, sahabatku dan diriku, janganlah malu untuk menerima sesuatu kata-kata `kebenaran` walau pun dari seorang anak kecil atau pun saekor anjing kurap di jalanan. Jika sungguh engkau arif membaca kitabul alam ambillah daripadanya apa sahaja `kebenaran` itu dan muliakanlah dia kerana setiap kebenaran itu adalah perkara mulia di sisi Tuhan Al-Haq.
70. Sahabatku, percayalah segala sesuatu memiliki aspek zohir (asma`az-Zohir) dan batin (asma` al-Bathin). Maka musyahadah adalah suatu proses yang penting dalam bertauhid iaitu memandang kepada yang lahir menuju yang bathin.
71. Rasulullah s.a.w. itu laksana mutiara antara bebatuan. Ialah model universal bolehkah kita tiru satu daripada tingkah lakunya yang indah dalam perjalanan spiritual? Iaitu ketika sahabat beliau berbicara ia diam memberi penuh perhatian dan setiap orang Islam yang dijumpanya diberikannya salam. Jika itu pun tidak dapat kita lakukan bagaimana mahu ikut jalanan beliau dalam kerohanian?
72. Sahabatku, gubahlah lagu mu (zikir thariqat mu) yang boleh menjadi makanan jiwa dan rasa sakral mu. Nanti engkau memasuki suatu wilayah jiwa (zauk) yang boleh engkau mendengar suara lain dari singgahsana Abadi iaitu tatkala wilayah jiwamu terbuka pada dimensi batin yang menuju pada suatu perjumpaan (makrifat) kehadiran Tuhan.
73. Fahamilah sahabatku, sungguhpun Tuhan itu pada ideanya transedensi namun Tuhan bertakhta jua pada pusat batinmu `dengan caraNya yang tersendiri - sebab zat Tuhan bukanlah benda sepertimu`. Ingatkah kata-kata Rasulullah s.a.w. iaitu, 'Qalbu mukminin baitillah` maksudnya `Hati orang mukmin itu rumah Allah` tidakkah begitu maknanya?.
74. Wahai tuan saudara yang kukasihi dengarlah umpamaan hamba ini, Kaabah itu umpamanya hati kita manusia, berhala-berhala yang mendiaminya sebelum dibersihkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ibaratnya hawa nafsu yang tertanam dalam hati kita yang menghalangi untuk ingat kepada Tuhan Yang Suci. Oleh itu penghancuran berhala-berhala itu adalah wajib supaya yang wujud hanya satu iaitu Yang Wajib dalam hati kita. Maka penyucian hati demi tauhid ialah dengan bersaksi dan menyedari `Tiada Tuhan Melainkan Allah`. Namun kesedaran batin seorang muslim sejati ialah kehadiranNya yang di dasarkan pada rasa `Ketidakterbatasan` dan menolak semua objektivikasi terhadap Tuhan. Walaupun begitu sedarlah tuan bahawa `Mihrab` itu merupakan simbul dari kehadiran Tuhan.
75. Ayuhai kawan, Tuhan kita Yang Maha Penyayang terlalu dekat `Lebih dekat dari urat leher kita'. Ia terlalu baik memberikan kita berbagai kenikmatan. Tapi ia juga menggerakan setiap zarah alam dan meliputi Ia akan segala sesuatu. Maka hendaklah kita banyak bersyukur dan takwa kepadaNya selalu.
75. Saudaraku, Ruhmu dan Ruhku sediakalanya memang mempunyai fitrah. Di sebut juga fitrah al-munazzalat. Ia suci dan ialah yang disebut `Amar Rabbi` seperti firman Tuhan Yang Mulia `Katakan ruh itu termasuk urusan Tuhan ku` (QS,Al Isra` 17:85). Oleh yang demikian inginku tegaskan `pangkal iman dan ilmu ialah Zikirullah (Ingat kepada Allah)'.
76. Oleh itu jika kau dan aku boleh memunculkan kejiwaan yang baik dan mulia mengikut fitrah al-munazzalat itu maka akhlakmu akan selari dengan perintah Al-Quraan. Kerana jika sungguh-sungguh engkau berjalan dengan fitrah al-munazzalat itu, InsaAllah engkau dapat membaca rahsia-rahsia ghaib (bermukasyafah) melalui pancaran cahaya murnimu saperti sabda Rasulullah s.a.w., `Bahawa firasat orang mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah' (HR.At Tirmizi).
77. Oleh itu sebenarnya apa-apa pengetahuan kebaikan dan kejahatan yang tersebut di dalam Al-Quran yang suci sudah ada gambarannya dalam fitrah ruhmu yang sejati yakni jiwa sucimu. Oleh itu rujuklah selalu Al-Quraan kerana ia memperkuatkan lagi keyakinanmu kepada kebenaran Tuhan dan kebenaran RasulNya dan kebenaran kata-kata ku ini. Firman Allah Tuhan kita, `...demikianlah, supaya kami perkuatkan hatimu dengannya` (AL-Quran:25:32.).
Demikian 77 mutiara genta jiwa yang dapat menjadi pedomanku dan juga saudaraku. Jika tuan/puan merasa betul dan bermanfaat sebagai pengantar untuk mencapai tingkat seruan Rabbani yang lebih tinggi, kita bacalah setiap hari atau seminggu sekali atau sebulan sekali insaAllah Tuhan akan limpahkan lagi ilmu dan makrifat sejati. Sesungguhnya, hamba mengetahui bahawa barangsiapa yang memperkatakan tentang agama Allah menurut hawa nafsunya maka dia mengundang kemurkaan Allah dan azabNya di Akhirat. Oleh itu jika ada salah dan silap segala bicaraku di atas, tolong saudara-saudaraku yang lebih arif menjelaskannya dan hambamu yang fakir ini bermohon keampunan daripadaMu Tuhanku Yang Maha Mengetahui Allah azzawajalla. Andai kata semuanya benar maka semua itu adalah dengan taufik hidayah pertolongan Allah semata dan marilah kita ucapkan `Alhamdulillah`. Hamba yang dhaif dan fakir kepadaMu ini ya Allah, yang menyampaikan kata-kata ini untuk manfaat diriku sendiri dan saudara-saudari hamba yang muslim lagi mukmin yang menerimanya dengan dada yang lapang berharap semoga mendapat balasan Rahmat dari Yang Penyayang di hari kemudian. Dan bagi sesiapa sahaja saudara-saudaraku yang membaca dan mengambil pelajaran dengan ikhlas kata-kata ini akan mendapat bimbinganMu di jalan yang lurus dalam beragama, iman, Islam dan ihsan. Kepada sesiapa saja saya memgambil kata-kata hikmah atau pernah berguru, belajar, bersahabat dengannya, atau dari buku dan kitab mana pun yang terbaca terambil mutiara katanya selain ilham dariMu, kurniakanlah balasan baik dan rahmatMu kepada mereka sekalian yang berkaitan.Wassalallahu ala sayyidina wamaulaana Muhammadin sayyidin naashihin waala aalihi wasahbihi ajmain. Amin ya Rabbal aalamin.Wassalam.
Al-Fakir ila Rahmatillah
Syeikh Thariqat Syathariah Nupusiah (M).
Malam Khamis 24.3.2009. Gelugor.
Tiada ulasan